![]() |
Mengurangkan rasa sakit gigi |
SAKIT gigi atau gusi bengkak, sememangnya antara penyakit yang kita kurang senangi. Kerana kesakitannya sahaja boleh mengganggu sebahagian besar rutin harian kita.
Lebih-lebih lagi, kalau rutin harian kita memerlukan banyak bercakap dan bergerak ke sana ke mari. Bagaimanapun, terdapat sejenis tumbuhan herba yang dipanggil subang nenek atau butang baju siti fatimah yang boleh mengurangkan rasa kesakitan tersebut. "Tumbuhan herba ini sesuai digunakan sementara untuk ke klinik pergigian," menurut Pegawai Penyelidik MARDI Hilir Perak, Mohd. Jelani Bahaudin. Menurut beliau, keberkesanan tumbuhan ini adalah berdasarkan pengakuan pengamal perubatan tradisional yang ditemui. "Saya sendiri yang menemui dan selepas menemubual beberapa pengamal perubatan tradisionai tentang khasiat pokok tersebut. "Mereka menyatakan keberkesanannya sudah terbukti sejak beberapa generasi sebelum ini, kata beliau ketika ditemui, baru-baru ini. Jelasnya tumbuhan yang nama saintifiknya, Sthenodesme Temtanara ini adalah senang tumbuh, khususnya di kawasan yang lembap seperti tepi-tepi longkang yang berair. Lebih-lebih lagi ujarnya, di kawasan kampung-kampung. Ia ditanam di tepi-tepi rumah sama ada sebagai landskap ataupun herba. "Pokok ini sememangnya senang tumbuh. Ia tidak memerlukan kita menyiram atau membajanya setiap hari," katanya. Oleh itu tambahnya lagi, tidak hairanlah cara untuk menjadikannya sebagai bahan rawatan adalah agak mudah. "Caranya adalah ambil beberapa helai daunnya dan bersihkan daun-daun tersebut terlebih dahulu. Kemudian, tumbuklah daun-daun tersebut sehingga lumat dan selepas itu, sapulah di gigi atau gusi yang terasa sakit itu. Selepas itu, anda pasti akan terasa semacam kebas di bahagian gigi atau gigi yang sakit, dan secara tidak langsung ia boleh mengurangkan rasa sakit gigi," jelasnya lagi. |