Daun nilam mencegah serangga
Dari Keratan Akhbar Mingguan Malaysia
NYAMUK, lalat, tikus, lipas malah apa jua jenis serangga perosak sekalipun, memang mengganggu keselesaan kita.

Ini kerana kebanyakan serangga bukan hanya membawa penyakit, bahkan kemunculannya di rumah boleh menjejaskan kerja seharian dan imej kita yang mungkin dianggap pengotor oleh orang lain.

Pelbagai cara diamalkan untuk menghapuskan kemunculan serangga, namun cara yang paling lazim adalah menggunakan racun pemusnah serangga yang dijual di pasaran.

Walaupun penggunaan racun serangga itu memang berkesan, tetapi biasanya ia hanya sebagai langkah sementara dan kesannya hanya untuk jangka masa yang singkat.

Bagaimanapun, mungkin ada kalangan kita yang menggunakan tumbuhan tertentu untuk menghapuskan makhluk perosak tersebut.

Antaranya adalah pokok NILAM atau dari segi botani dikenali sebagai Pogostemon cablin yang dikatakan sesuai untuk menghapuskan serangga perosak.

Pokok ini adalah dari jenis renek dengan batang bercabang dan tumbuh dalam bentuk rimbun. Ia sering ditanam di kawasan kampung.

Daunnya pula berbentuk bujur dan bergigi di tepi serta mempunyai permukaan yang seolah-olah berbulu.

Menurut pegawai di Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Biosains UPM, Tajuddin Abdul Manap, tumbuhan yang jenis payah berbunga ini dikatakan mempunyai bau yang tidak digemari oleh serangga perosak.

"Ia seolah-olah bersifat antiserangga. Bendasarkan pengakuan beberapa pengamal perubatan herba, pokok ini bagi manusia mempunyai bau yang wangi semerbak.

Mungkin benar kerana serangga perosak tidak gemar suasana yang wangi. Mereka cepat membiak jika kawasan rumah kita busuk dan kotor", katanya.

Malah jelas beliau, daunnya juga bersifat antiseptik yang sesuai untuk mencuci dan mengembalikan kewangian kepada pakaian kita.

Tajuddin berkata, air ramasan daunnya yang dicampurkan air hampas teh-O sering digunakan sebagai air bilasan bagi mengambalikan kewangian kain batik.

"Selain itu, daun pokok ini juga dikatakan mengeluarkan pati minyak yang boleh dibuat minyak wangi", katanya.



Previous : Home : Next