Sebahagian daripada artis khususnya penyanyi popular masa kini adalah remaja. Daripada kelompok penyanyi remaja ini sebahagiannya pula masih di bangku sekolah menengah. Kecenderungan ini kelihatan semakin menjadi-jadi apabila peminat yang juga remaja memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Ketika rakan-rakan sebaya ke hulu ke hilir dengan nota, buku dan kelas tambahan, artis remaja yang di bangku sekolah ini berada dalam dunia yang lain. Mereka berada di dunia yang penuh kemilau dan gemerlapan. Jurang antara dua kelompok ini terlalu jauh dan terus menjadi jauh apabila si artis mendapat sedikit publisiti, dikenali peminat dan mula menganggap itulah kerjayanya.

Sememangnya suatu yang baik kalau kita mampu mengesani bakat anak-anak dan memberi dorongan untuk mendalami bakat khususnya dalam bidang seni. Tetapi pada masa yang sama perlu diakui bahawa seni tanpa ilmu apa lagi pada usia yang muda adalah seni yang terawang-awangan.

Artis remaja mungkin mampu mencipta kejayaan dalam masa yang singkat. Atau barangkali juga mereka mampu menyaingi artis-artis yang lebih senior. Tetapi itu bukanlah satu janji masa depan bahawa kejayaan dan populariti akan terus bersama mereka. Dengan pendapatan yang sangat luar biasa dalam kerjaya artis antara faktor membuatkan artis yang di bangku sekolah menjadi tawar untuk terus belajar.

Sebenarnya ini bukanlah suatu yang membanggakan sekalipun kita mampu melahirkan artis yang begitu muda dalam kerjaya seni. Sebaliknya ini satu yang seharusnya difikir semula, adakah itu satu halangan untuk melahirkan generasi remaja yang inovatif. Ini kerana yang dibimbangkan ialah populariti pada usia yang muda akan membuatkan seseorang remaja hilang hala tuju dalam hidupnya.

Sekarang bukanlah suatu yang luar biasa kalau artis yang masih bersekolah mengambil keputusan berhenti dari alam persekolahan. Juga bukan suatu yang memeranjatkan kalau mereka sebenarnya merasa sangat terseksa untuk menghabiskan persekolahan hingga tingkatan lima.

Bagi artis remaja yang popular, tamat tingkatan lima adalah sudah memadai. Mereka telah melalui satu laluan yang sangat perit untuk memenuhi tuntutan alam persekolahan sekali gus tuntutan kerjaya sebagai artis. Suatu yang perlu diakui ialah seni bukan semata-mata bakat atau satu anugerah.

Dalam kerjaya seni, bakat hanya menyumbang tidak sampai suku saja daripada usaha-usaha lain untuk mengisi tuntutan kesenimanan. Maknanya bakat terlalu kecil untuk dijadikan alasan tidak mahu meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah seni yang tanpa ilmu akhirnya menjadi seni yang popular tetapi tidak ada nilai. Seniman perlu sentiasa berada di atas pemikiran masyarakat yang ada. Untuk berada pada tahap itu, kita memerlukan seniman tidak kira sama ada penyanyi, pemuzik atau pelakon yang mampu memberikan satu nilai yang tinggi terhadap dunia kesenimanannya.

Tetapi ini bukan pula bermakna untuk menjadi seniman tersohor memerlukan sijil atau ijazah yang berkajang-kajang panjangnya.

Artis adalah kerjaya yang paling mudah diceburi. Ini kerana dunia artis ada ukuran-ukuran tersendiri yang tidak ada pada kerjaya lain. Artis itu sendiri selalu dianggap aset kepada industri dan mereka hanya digunakan apabila mereka memberi keuntungan. Bayangkan apabila mereka tidak diperlukan lagi.