Apple
Computer baru-baru ini melancarkan komputer desktop iMac futuristik sebagai
langkah mengukuhkan usahanya menandingi penguasaan pelantar Microsoft-Intel.
``Hari ini kita memperkenalkan iMac baru, diubah suai sepenuhnya dari mula,'' kata ketua eksekutif Apple, Steve Jobs pada konvensyen MacWorld di San Francisco pada 7 Januari lepas.
imac baru itu mempamerkan kubah putih dengan monitor panel datar 15 inci terapung-apung di atasnya, dan dipasang pada sebuah tangan teleskopik.
Jobs mendakwa, skrin itu menandakan ``kepupusan rasmi'' tiub pancaran katod (CRT), teknologi yang menguasai bidang paparan komputer dunia.
iMac baru itu dijana cip pemproses PowerPC G4 pada kelajuan 700 MHz atau 800 MHz, sekali dengan peranti SuperDrives untuk memain dan mencetak CD dan DVD. Komponen-komponen tersebut ditempatkan di dalam kerangka separuh kubah berukuran 10.4.
Apple mengambil masa dua tahun membangunkan mesin baru itu, dan dari awal lagi telah memilih garapan perubahan revolusioner dan radikal dalam reka bentuk iMac baru itu berbanding model asal iMac dan menjauhkan diri daripada mengikuti trend semasa yang condong kepada pengecilan kerangka.
Semua wayar - termasuk kabel kuasa, bas serial universal (USB) dan lain-lain lagi - adalah melalui belakang pelantar kubah putih iMac. Aksesori seperti pemacu DVD dan CD terletak di bahagian depan, di bawah logo Apple besar berwarna perak.
Perbezaan paling menonjol antara iMac lama dan iMac baru ialah teknologi paparan kristal cecair yang jelas dan tidak berombak (nonflickering). Bidang skrin monitor itu ialah 38 sentimeter dan jelas tidak kalah berbanding dengan kebanyakan monitor-monitor CRT tradisional berukuran 43 sentimeter.
Monitor panel datar itu boleh dicondongkan ke semua arah dan boleh berpusing di atas paksi tangan teleskopik tersebut. Manakala pelantarnya pula cukup berat untuk mengelakkan unit itu daripada tumbang - ataupun digunakan sebagai pengganti komputer laptop.
``Ini pada pendapat saya adalah model paling agresif yang mereka pernah perkenalkan,'' kata Charlie Wolf, penganalisis dari Needham & Co.
``imac baru ini akan menjadi pusat hub digital,'' kata Jobs. ``Kami fikir kami dapat melihat masa depan, era emas baru pengkomputeran peribadi.''
Rancangan `hub' Apple itu telah diterima oleh Intel dan syarikat-syarikat teknologi yang lain. Strategi itu memerlukan komputer pusat berkelajuan tinggi, seperti iMac, yang bertindak sebagai storan pusat untuk muzik dan video digital, dan boleh saling dipindah ke dalam peranti-peranti audio dan video digital.
Sejak melancarkan strategi hub digitalnya tahun lepas, Apple telah mengotakan janjinya dengan memperkenalkan pelbagai program dan gajet khusus Mac sahaja, termasuk pemain muzik popularnya dipanggil iPod dan perisian muzik iTunes.
Imac baru itu menuruti jejak PowerMac G4 Cube yang dilancarkan tahun lepas tetapi terbukti gagal mencetuskan keghairahan pengguna.
Walaupun begitu, Apple masih memasarkan iMac sebagai komputer tahap permulaan berbanding dengan siri Macintosh.
Apple juga melancarkan komponen hub digital iaitu perisian iPhoto barunya, yang membolehkan pengguna memindah, menyimpan, mengedit dan berkongsi gambar-gambar dirakam menggunakan kamera digital.
Ia juga boleh disambungkan ke Internet untuk mendapatkan perkhidmatan pencetakan gambar atau menerbitkan buku.
Produk lain yang dilancarkan ialah barisan komputer mudah alih iBook yang popular dengan skrin 14 inci.
Jobs juga mencanangkan peningkatan bilangan aplikasi-aplikasi berasaskan Mac OS X, yang berasaskan sistem operasi Unix. Semua model terbaru Macintosh akan dilengkapi dengan OS X, walaupun Mac OS 9.1 masih tetap menjadi opsyen kepada pengguna.
Dipetik dari Utusan Online