KEADAAN bas yang terbalik setelah pemandunya gagal mengawal ketika menuruni bukit di Kilometer 6, dekat Kampung Setar Kiri, Batangan, Marang Terengganu, semalam. - Gambar MOHD. LAZIM ENDUT.

Oleh:LAZIM ENDUT
MARANG 13 Jan. - Sebanyak 37 orang pelajar Sekolah Menengah Tengku Lela Segara menempuh pengalaman mencemaskan apabila bas sekolah yang mereka naiki terbalik ketika menuruni sebuah anak bukit di Kilometer 6, dekat Kampung Setar Kiri, Batangan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu, lapan daripada pelajar berkenaan terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Terengganu (HKT), termasuk dua daripada mereka mengalami cedera parah.

Manakala 29 lagi hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Kesihatan Daerah Marang.

Dua mangsa itu mengalami cedera parah apabila sebahagian daripada anggota badan mereka melecur terkena tumpahan minyak hitam daripada bas berkenaan.

Mereka ialah Damirah Wahab, 14, dan Noraini Daud, 14. Kedua-dua pelajar tingkatan dua itu berasal dari Kampung Batangan, di sini.

Manakala dua lagi lagi pelajar, Mohd. Fikri Ramli dan Norazimah, 14, patah kaki dan tangan. Mereka juga dari kampung yang sama.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan, Syed Abdul Wahab A. Majid berkata, mangsa mengalami kecederaan akibat terhentak ke atas beberapa objek sewaktu bas itu terpelanting sebanyak dua kali.

Bagaimanapun katanya, pemandu bas berusia 50 tahun dan berasal dari Kampung Rusila di sini tidak mengalami sebarang kecederaan.

``Kesemua mangsa terbabit merupakan pelajar tingkatan satu dan dua dari sekolah yang sama dan mereka dalam perjalanan ke sekolah,'' katanya ketika dihubungi.

Menurut Syed Abdul Wahab, kejadian dikatakan berlaku ketika bas yang baru mengambil pelajar dari Kampung Batangan itu sedang dalam perjalanan menghala ke sekolah.

Beliau berkata, pemandu itu dikatakan gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni sebuah anak bukit, menyebabkan ia terbabas di sebelah kiri bahu jalan.

Katanya, melihat keadaan itu pemandu berkenaan telah bertindak membrek kenderaan secara tiba-tiba menyebabkan ia terpelanting ke sebelah kanan bahu jalan dan terbalik sebanyak dua kali.

``Setakat ini kita telah menerima laporan daripada pemandu terbabit dan pihak polis masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian,'' ujar beliau.

 

Utusan Online

Dipetik dari Utusan Online