ANDA mungkin pernah mendengar amalan meminum segelas air kosong sebaik saja
bangun dari tidur antara resipi untuk kekal awet muda.
Sejauh manakah kebenarannya tabiat meminum segelas air kosong mampu mengekal keremajaan seseorang atau seseorang itu lambat dimamah usia?
Kita mungkin tertanya-tanya apakah khasiat yang tersembunyi dan dimiliki oleh segelas air kosong.
Tentunya tidak lain dan tidak bukan ialah tubuh memerlukan air untuk mengkumuhkan bahan-bahan toksik yang terdapat dalam tubuh.
Apabila air yang diperlukan mencukupi keperluan tubuh memproses bahan kumuh ini, ia akan dapat disalirkan dengan baik.
Secara tidak langsung, apabila tubuh bebas daripada bahan-bahan toksik sekali gus ia dapat berfungsi dengan baik.
Ketua Penasihat Perubatan Pharmvision Ventures, Dr. Amran Ahmad berkata, tubuh memerlukan kurang-kurangnya antara enam hingga tujuh gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.
Menurut beliau, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.
``Pengambilan air yang mencukupi setiap hari adalah penting kerana organ-organ penting dalam tubuh seperti jantung, buah pinggang dan sebagainya dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna,'' katanya.
Peralihan monsun timur laut terutama di Semenanjung Malaysia menyebabkan cuaca berubah menjadi panas dan kering sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, dengan keadaan cuaca yang begitu panas ini yang disertai dengan pelbagai aktiviti luar boleh menimbulkan kesan pada kesihatan.
Dr. Amran memberitahu, cuaca panas yang keterlaluan ini boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi sekiranya seseorang kurang meminum banyak air.
Dehidrasi berlaku apabila tubuh kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya dari tubuh.
Secara umum, individu yang sihat akan kehilangan cecair tubuh melalui proses berpeluh, menangis, membuang air kecil dan besar.
Bagaimanapun, kehilangan air dalam bentuk ini masih boleh diganti dengan mengamalkan meminum air atau mengambil makanan seperti buah-buahan.
Menurut Dr. Amran, ramai beranggapan pembuangan toksin seperti yang difahami oleh sebahagian besar masyarakat dengan mengamalkan pengambilan makanan tambahan yang dikenali sebagai supplement detoxification.
``Ramai yang tidak memahami bahawa hanya sebahagian sahaja daripada makanan tambahan yang dimakan akan diserap ke dalam tubuh, manakala sebahagian yang lain akan disingkirkan,'' ujarnya.
Tambahnya, penyingkiran toksin dari tubuh ini bergantung pada jenis makanan tambahan tersebut.
Dr. Amran menjelaskan, toksik dalam tubuh ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuklah pemakanan, persekitaran dan minuman.
Beliau menambah, tidak ramai yang menyedari bahawa kekuatan asas sistem pertahanan tubuh bermula dari usus.
``Sistem pertahanan tubuh boleh terjejas sekiranya usus menghadapi pelbagai masalah,'' katanya.
Justeru, untuk memastikan sama ada usus kita benar-benar sihat, ia boleh diukur daripada tabiat membuang air besar.
Mereka yang menghadapi masalah sembelit kemungkinan tergolong dalam kumpulan yang kurang mengambil air sejajar dengan keperluan tubuh.
Tambah Dr. Amran, bagi mengatasi masalah seumpama ini selain perlu minum banyak air mereka juga perlu mengambil serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
``Tabiat meminum banyak air dan amalan mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi dapat membantu meningkatkan tahap kelembapan usus di samping mengumuhkan bahan-bahan toksin yang tersimpan dalam usus,'' katanya.