Penyelidikan

Lewat mendapat anak dan kanser buah dada
HARI ini dengan tumpuan wanita yang lebih banyak terhadap karier, menyebabkan sebahagian besar daripada mereka merancang mempunyai anak dalam usia yang agak lewat.

Di negara-negara Barat misalnya, ramai wanita mula membina keluarga ketika mereka mencecah usia dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

Jika anda bercadang untuk mengikuti trend seumpama ini, anda harus menimbangkannya semula.

Kajian yang melibatkan 90,000 wanita mendapati risiko untuk mendapat kanser buah dada adalah tinggi.

Laporan yang disiarkan dalam Jurnal Kanser Britain ini juga menjelaskan bahawa kanak-kanak perempuan yang mengalami haid agak lewat pada zaman remaja juga berisiko rendah mendapat kanser buah dada.

Wanita yang mendapat anak dalam peringkat umur 30-an juga menghadapi 63 peratus kemungkinan mendapat kanser buah dada sebelum menopaus berbanding wanita yang melahirkan anak sebelum berusia 30 tahun.

Malah, risiko mendapat kanser buah dada bagi golongan ini adalah 35 peratus selepas menopaus.

Kajian tersebut menjelaskan kanak-kanak perempuan yang mula mengalami pusingan haid ketika berusia 15 tahun berisiko rendah mendapat kanser buah dada berbanding kanak-kanak perempuan yang mendapat haid pertama mereka sebelum mencecah usia 12 tahun.

Perubahan hormon yang dicetuskan oleh proses kehamilan mampu memberi perlindungan terhadap kanser buah dada.

Bagaimanapun, sel-sel kanser buah dada yang tidak matang mudah diserap oleh karsinogen yang adakalanya menyebabkan berlakunya ketumbuhan beberapa tahun kemudian.

Dalam proses kehamilan, sel-sel buah dada matang lebih cepat pada trimester ketiga dan keadaan ini menyebabkan mereka kurang sensitif pada pencetus karsinogen.

Bagaimanapun, perlindungan ini mungkin agak terhad sekiranya wanita terbabit mempunyai beberapa orang anak atau pernah mengalami keguguran beberapa kali.

Seperti penyakit jantung, kanser buah dada dianggap sebagai pembunuh senyap kerana ia hanya dapat dikesan pada peringkat lewat.

Viagra dan serangan jantung

PADA peringkat awal diperkenalkan di pasaran, Viagra, penawar untuk membantu menangani masalah mati pucuk di kalangan lelaki menimbulkan kontroversi kerana dipercayai boleh menyebabkan serangan penyakit jantung.

Tidak cukup dengan itu, pil berwarna biru itu dipercayai boleh menyebabkan kelainan pada rentak jantung, tekanan darah rendah dan serangan jantung yang boleh menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, penyelidikan yang dijalankan terhadap 105 lelaki mati pucuk yang menghidap penyakit jantung koronari yang stabil di Klinik Mayo, Rochester, Minnesota mendapati tiada sebarang perubahan yang jelas pada bekalan darah dan fungsi jantung dalam tempoh tujuh minit ujian tekanan dijalankan.

Kajian yang dijalankan ke atas marmut secara puratanya berusia 66 tahun, mendapati tiada perbezaan dalam mengalami masalah pernafasan dan sakit dada sama ada mereka diberi pil tersebut atau tidak.

Viagra, merupakan salah satu ubat-ubatan yang banyak dipreskripsikan di seluruh dunia dengan anggaran kasarnya 45 juta priskripsi yang ditulis oleh 500,000 pakar perubatan ke ataslebih 16 juta lelaki.

Tahap cemburu lelaki dan wanita adalah sama

KECURANGAN dikatakan merupakan faktor utama yang menyebabkan sesebuah ikatan perkahwinan atau hubungan boleh terlerai di tengah jalan.

Menurut pakar psikologi, Dr. Christine R. Harris baik lelaki mahupun wanita kedua-duanya akan berdepan dengan masalah besar sekiranya mengetahui pasangan masing-masing jatuh cinta dengan orang ketiga.

Sebelum ini, pakar-pakar psikologi berpendapat reaksi cemburu yang ditimbulkan oleh lelaki dan wanita adalah dalam bentuk mekanisme yang berbeza.

Dalam kajian tersebut mereka mendapati, lelaki lebih cemburu sekiranya isteri atau teman wanitanya curang dalam hubungan seks manakala wanita lebih cemburu dari aspek emosi sekiranya mengetahui pasangannya mencintai wanita lain.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan mendapati dalam isu kecurangan yang melibatkan lelaki dan wanita, kedua-duanya lebih menumpukan pada aspek emosi berbanding seksual.

Kajian tersebut juga mendapati, selain kecurangan, wanita lebih rela memutuskan hubungan jika pasangannya menipu.