Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor (Pemenang tempat ketiga kategori B (Tingkatan 4-6) Pertandingan Mengarang Esei Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga 2001 Peringkat Sekolah Menengah)

TENAGA penting dalam kehidupan masyarakat dunia dan khususnya kepada rakyat Malaysia dalam menuju era glonalisasi. Setiap hari kita sering menggunakan tenaga tanpa kita sedari. Perkataan tenaga itu berasal daripada dua patah perkataan Yunani yang bermaksud keupayaan bekerja.

Mengikut sejarah, idea moden mengenai ciri tenaga ini telah diilhamkan oleh Sir Isaac Newton pada abad ke-17. Berdasarkan kajiannya mengenai Hukum Gerakan, beliau menyatakan bahawa tenaga tidak dapat dibina atau dibinasakan tetapi boleh bertukar kepada bentuk lain.

Malaysia juga bergantung kepada tenaga untuk pembangunan dan perkembangan ekonominya. Malaysia adalah adalah sebuah negara membangun yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik untuk menjalankan perindustrian.

Pada masa yang sama, penggunaan tenaga telah meningkat dari tahun ke tahun. Pada 1995, jumlah permintaan tenaga yang diperlukan ialah 22,164 ktoe dan telah meningkat kepada 25,558 ktoe pada 1998.

Sumber utama tenaga yang digunakan ialah minyak mentah dan produk berasaskan petroleum yang yang akan kehabisan.

Walaupun Malaysia mengeluarkan minyaknya sendiri untuk kegunaan tempatan tetapi dalam jangka masa panjang, negara perlu membangunkan sendiri sumber tenaga yang diperbaharui untuk memastikan bekalan tenaga ini dapat dipertahankan dan seterusnya negara dapat terus membangunkan ekonominya.

Seperti yang kita ketahui, bahan api fosil tidak dapat diperbaharui. Ini bermakna, lama kelamaan bahan api ini akan kehabisan. Bahan api fosil ini adalah seperti minyak, arang batu dan gas asli. Oleh itu, kita perlu berfikir mengenai masa depan tenaga yang perlu digunakan sekiranya bahan api fosil kehabisan dengan mencari sumber tenaga yang dapat diperbaharui.

Sumber ini boleh digunakan oleh manusia untuk selama-lamanya. Ini adalah penting untuk generasi akan datang. Malaysia juga turut membangunkan penggunaan tenaga diperbaharui ini walaupun berada pada peringkat permulaan.

Ini terbukti apabila Malaysia turut menyatakan polisi bahawa tenaga diperbaharui sebagai sumber yang berpotensi di dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RM-8) –(2001-2005). Ini adalah kerana penggunaan tenaga diperbaharui sebanyak lima peratus dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM5 bilion untuk tempoh lima tahun, menurut akhbar tempatan.

Tenaga diperbaharui ini sumber terhad terdiri daripada sumber seperti matahari, angin dan haba dari permukaan bumi. Tenaga diperbaharui ini berbeza dengan bahan api fosil kerana bekalan tenaga akan kekal untuk selama-lamanya. Terdapat lima sumber tenaga diperbaharui yang dikenal pasti iaitu tenaga suria, tenaga hidro, tenaga angin, tenaga geoterma dan tenaga biomass.

Tenaga suria ini diperolehi melalui pancaran cahaya matahari. Malaysia berpotensi untuk projek menjana tenaga suria kerana menerima pancaran cahaya matahari selama enam jam sehari dan tenaga ini adalah percuma serta menyeluruh.

Tenaga ini banyak digunakan di kawasan pedalaman untuk mendapatkan bekalan elektrik dengan menggunakan panel Solar PV. Penduduk di kawasan pedalaman Sarawak dapat menikmati bekalan elektrik dengan adanya kemudahan solar. Selain itu, tenaga suria ini juga membekalkan tenaga untuk alat perhubungan telefon awam seperti di Pulau Aman dan kawasan pedalaman Sawarak.

Tenaga ini juga digunakan dalam bidang pertanian iaitu ia digunakan untuk mengasingkan kepingan getah. Di kawasan bandar, penggunaan alat pemanas solar adalah popular di rumah serta di hotel. Di Malaysia, projek menjana tenaga suria telah dibina di Teluk Apan di Pulau Langkawi dan Kampung Hulu Tembeling di Pahang.

Selain tenaga suria, tenaga hidro juga adalah tenaga yang amat penting sebagai salah satu sumber tenaga diperbaharui. Tenaga hidro ini diguna sebagai bekalan air, kawalan banjir, pengairan dan tujuan rekreasi. Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk menjana tenaga hidro. Melalui tenaga hidro inilah terjadinya hidroelektrik. Hidroelektrik ialah nama yang diberikan kepada elektrik yang dijana oleh kuasa air.

Sistem ‘hidro’ dunia yang pertama telah dibina pada 1882 di Wisconsin, Amerika Syarikat. Projek menjana kuasa elektrik hidro ini sesuai dijalankan di Malaysia kerana menerima hujan sepanjang tahun dengan jumlah hujan melebihi 2,000 milimeter (mm) setahun.

Bekalan elektrik di negara banyak bergantung kepada tenaga hidro ini. Antara tempat penjanaan kuasa hidroelektrik ialah di Empangan Chenderoh, Sungai Perak dan Empangan Bakun, Sarawak yang masih dalam pembinaan. Kuasa hidroelektrik ini sesuai digunakan kerana mudah diperbaharui, tidak habis, murah dan bersih serta tidak mencemarkan alam sekitar.

Tenaga diperbaharui seperti tenaga biomass cuba dipraktikkan di Malaysia. Tenaga biomass ini diperolehi daripada hampas kelapa sawit. Sisa pertanian itu menghasilkan biogas seperti metana sebagai bahan pembakar untuk tujuan memasak. Tenaga ini sesuai digunakan kerana terdapat banyak ladang kelapa sawit di Malaysia dan menghasilkan 8.5 juta tan sisa buangan buah kelapa sawit yang dapat menghasilkan dua juta tan minyak (metana).

Secara tidak langsung, ia telah menyumbangkan enam peratus keperluan bekalan tenaga negara. Penggunaan tenaga biomass ini semakin meluas diguna di seluruh negara kerana ia menjimatkan sumber tenaga dan murah.

Kerajaan Malaysia juga mengambil inisiatif dalam mempelbagaikan sumber tenaga dengan menggunakan tenaga angin sebagai sumber tenaga diperbaharui. Angin telah digunakan sebagai sumber kuasa berjuta-juta tahun dulu.

Kincir angin yan terawal telah digunakan buat pertama kali kira-kira 500 tahun dulu. Kebanyakan kincir ini diguna di negara Barat untuk mengisar jagung atau mengepam air bagi tanaman makanan di ladang. Pada 1890, kuasa angin yang pertama kali digunakan untuk menjana elektrik. Kuasa angin ini bergantung kepada kelajuan angin.

Melalui kajian yang dijalankan sejak 1983, didapati sesetengah tempat saja di Asia Tenggara yang sesuai menggunakan tenaga angin sebagai bekalan sumber tenaga. Kincir angin ini telah dibina di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak pada Rancangan Malaysia Keenam (RM-6) (1991-1995). Kincir angin ini telah membekalkan kapasiti 150 kiloWatt (KW). Jelas di sini, tenaga angin ini tidak begitu sesuai dijalankan di Malaysia.

Tenaga geoterma adalah sejenis tenaga yang dapat diperbaharui. Tenaga geoterma ialah tenaga yang menggunakan sumber tenaga haba yang amat besar di bawah permukaan bumi untuk menghasilkan kuasa elektrik.

Contoh tenaga geoterma ialah mata air panas dan geiser. Tenaga ini mula diguna secara besar-besaran bermula dengan teknologi abad ke-20. Negara Iceland telah lama menggunakan tenaga dari gunung berapi, geiser dan mata air panas.

Amerika Syarikat, New Zealand dan Jepun telah pun mengadakan stesen janakuasa geoterma yang menyumbangkan keperluan kuasa elektrik mereka. Malaysia tidak dapat mengaplikasikan tenaga ini kerana negara kita tidak mempunyai sumber tenaga geoterma seperti geiser dan mata air panas.

Secara amnya, Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha untuk mencari dan menjana tenaga diperbaharui sebagai bekalan tenaga untuk masa depan khususnya generasi akan datang.

Antara usaha yang dijalankan oleh kerajaan ialah dengan menubuhkan institusi seperti Pusat Tenaga Malaysia (PTM) pada 1998 untuk mengkoordinasi dan mengurus program kajian dan pembangunan mengenai tenaga dan mempromosikan penggunaan tenaga diperbaharui di Malaysia.

Selain itu, kerajaan turut menggalakkan penggunaan kecekapan tenaga. Kecekapan tenaga ini meliputi keefisienan dalam menggunakan kuasa, transmisi dan pengagihan elektrik dan kepelbagaian penggunaan tenaga dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7) (1996-2000).

Peraturan kegunaan kecekapan tenaga dikeluarkan untuk memberi garis panduan kepada pihak pengurusan syarikat dalam menggunakan kuasa secara efisien di antara pekerja. Kerajaan juga turut memberi keutamaan dari segi masa dan kewangan dari luar negara. Selain organisasi kerajaan, organisasi bukan kerajaan juga turut membantu dalam mempelbagaikan kegunaan tenaga diperbaharui.

Contohnya, mahasiswa dan mahasisiwi di pusat pengajian tinggi telah mencipta alat yang menggunakan tenaga solar.

Menurut Pengarah Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (Cetree), Prof Dr Kamarul Azizi Ibrahim, teknologi masa kini membolehkan lampu solar menyala pada waktu malam dan padam secara automatik pada siang (akhbar Berita Harian 26 Julai 2001).

Cetree telah membelanjakan kira-kira RM2,200 untuk menghasilkan satu protaip lampu solar yang dipasang serta diuji di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang berbanding lampu solar yang diimport ke negara ini dijual kira-kira RM20,000 seunit.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu prihatin dan memupuk kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kegunaan sumber tenaga secara cekap dan tidak membazir untuk pembangunan dan perkembangan negara pada masa depan