3.1 (ii) Kesan Tauhid Dalam Kehidupan
1.0 Kesan Tauhid Dalam Kehidupan
2.0 Membentuk Peribadi Yang Seimbang
3.0 Tauhid Sebagai Sumber Ketenangan Jiwa
4.0 Tauhid Sumber Kekuatan Jiwa
5.0 Tauhid Asas Persaudaraan Dan Persamaan
1.0 Kesan Tauhid Dalam Kehidupan
Sesungguhnya tauhid yang bersih daripada unsur unsur syirik yang dicapai dalam kehidupan seseorang atau umat, akan mendatangkan sebaik baik hasil dan kesan dalam kehidupan. Di antaranya ialah:
Syirik dalam apa jua bentuk dan simbol adalah merupakan kelemahan dan kehinaan diri seseorang, kerana dengannya membuatkan seseorang itu tunduk kepada makhluk dan mengabdikan diri kepada sesuatu atau kepada manusia. Makhluk tersebut tidak mampu mencipta sesuatu sedangkan ia sendiri diciptakan, atau tidak mempunyai hak untuk diri mereka sama ada untuk memberi manfaat atau mudarat dan tidak juga memiliki kuasa menghidup atau mematikan atau menghidupkan semula setelah mati.
Dengan Tauhid dapat menyelamatkan manusia dari apa apa pengabdian selain Allah yang mencipta. Tauhid juga dapat membebaskan manusia dari berbagai salah fahaman dan khurafat, serta dengannya dapat membebaskan jiwa manusia dari tunduk, merendah, menghina dan menyerah (kepada yang lain dari Allah): juga dapat membebaskan kehidupannya dari kekuasaan golongan golongan firaun, tuhan tuhan dan orang orang yang mendakwa dirinya sebagai tuhan.
Dengan inilah para pemimpin yang mendukung syirik dan golongan thaghut jahiliah menentang dakwah nabi nabi.umumnya dan para rasul khususnya. Mereka itu semuanya telah mengetahui bahawa pengertian: (tiada Tuhan melainkan Allah) adalah sebagai pengisytiharan umum untuk membebaskan manusia dan menumbangkan setiap kekuasaan dan takhta ketuhanan mereka yang dusta, serta mengangkatlian dahi golongan mu'min yang tidak akan tunduk, sujud kecuali kepada Allah.
2.0 Membentuk Peribadi Yang Seimbang
Tauhid dapat memberi pertolongah dalam membentuk peribadi yang seimbang di mana ini akan ketara dalam kehidupan dan lapangan hidup. Dengannya dapat menyatukan matlamat serta menentukan jalan kehidupan, di mana tiada bagi kehidupan ini kecuali satu tuhan sahaja yang dituju sama ada ketika sembunyi atau terang, kepadanya sahaja yang dipohonkan, baik ketika senang atau susah, dilakukan segala aman sama ada kecil atau besar menurut apa yang diredai Nya.
Berlainan dengan orang yang syirik yang hatinya dipecah pecahkan oleh berbagai Ilah, dan kehidupannya pula dicabangi oleh berbagai sembahan mereka. Kadangkala menghadap Allah dan di waktu yang lain pula menghadap berhala berhala atau kadangkala menghala kepada berhala ini dan di waktu yang lain menghala kepada berhala yang lain.
Berkata Nabi Yusuf:
"Hai kedua temanku dalam penjara, manakah yang baik, tuhantuhan yang bermacam macam itu ataukah Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa?" (Yusuf: 39)
"Allah membuat perumpamaan seorang laki laki yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersekutu yang dalam perselisihan dan seorang budak yang menjadi milik penuh daripada seorang laki laki (saja). Adakah kedua dua budak itu sama halnya? (Al Zumar: 28)
Umpama seorang mu'min yang menyembah satu tuan (tuhan) dan mengetahui apa yang diredai dan apa yang dimurkai tuhannya, maka ia merasa tenang dan reda. Seorang musyrik (yang syirik) yang mempunyai sembahan lebih dari satu, tuan ini memerintahkan supaya menghala ke timur, yang lain mengarah supaya ke barat, yang lain pula memerintah ke kanan dan yang lain pula ke kiri. Kesemuanya, bersalah salahan, di antara mereka tidak sekata dan tidak thabat (tetap).
3.0 Tauhid Sebagai Sumber Ketenangan Jiwa
Dengan tauhid hati seseorang dapat dipenuhi dengan keamanan dan ketenangan, ianya tidak akan ditindas dan dizalimi oleh berbagai perkara yang menakutkan dan yang menguasai ahli syirik. Tauhid telah menutup pintu ketakutan tentang rezeki, takut kepada ajal, takut pada diri, takut kepada keluarga dan anak anak, takut kepada manusia, jin dan takut kepada mati dan apa yang akan berlaku setelah mati.
Adapun seseorang mu'min yang mentauhidkan Allah, ianya tidak takut kepada sesuatu atau seseorang kecuali hanya kepada Allah. Dengan sebab itulah kamu lihat mereka sentiasa dalam keadaam tenteram di saat orang lain ketakutan, dan ia dalam keadaan tenang di saat orang lain kegelisahan.
Al Qur'an menceritakan dialog di antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya (golongan musyrikin); mereka menakutkan Nabi Ibrahim dengan berhala berhala dan tuhan tuhan palsu mereka, maka dijawab oleh Nabi Ibrahim dengan jawapan yang sungguh menakjubkan:
"Bagaimana aku takut kepada sembahan sembahan yang kamu persekutukan (dengan AIIah), padahal kamu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan sembahan yang Allah sendiri tidak menurunkan hujjah hujjah kepadamu untuk mempersekutukannya. Maka manakah di antara dua golongan itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari mala petaka), jika kamu mengetahui." (Al An'aam: 81)
Kemudian Allah menerangkan siapakah di antara dua pihak yang mencapai ketenteraman dan ketenangan, firman Allah yang mafhumnya:
"Orang orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orangorang yang mendapat petunjuk." (Al An'aam: 82)
Keterangan yang seumpama ini adalah lahir dari hati bukan daripada jagaan dan pengawasan polis. Inilah keamanan dunia. Ketenteraman akhirat sudah tentulah lebih hebat dan lebih kekal, kerana mereka benar benar berikhlas hati kepada Allah dan tauhid mereka tidak sedikit pun dicampuri unsur unsur syirik.
Menurut riwayat Sahih Bukhari daripada Ibnu Masud berkata:
"Ketika turun ayat: "Orang orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik)." Kami pun bertanya: "Ya Rasulullah manakah di antara kami yang tidak menzalimi dirinya? la menjawab bukanlah seperti yang kamu katakan atau tidakkah pernah kamu mendengar katakata Lukman kepada anakanya: "Wahai anak kesayanganku janganlah kamu mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Lukman: 13)
Mereka ikhlas kepada agama mereka untuk Allah di mana mereka tidak mencampur adukkan tauhid mereka dengan syirik.
4.0 Tauhid Sumber Kekuatan Jiwa
Tauhid dapat memberi kekuatan jiwa yang besar kepada seseorang. Bila jiwa mereka dipenuhi sifat raja' (mengharap) kepada Allah, meletakkan thiqah (kepercayaan), bertawakkal kepadanya, reda dengan kadarnya, sabar terhadap dugaan dan ujian darinya, tidak meminta pertolongan kepada makhluk maka ia akan menjadi kuat dan kukuh laksana gunung yang tidak dapat digoyang dan digoncang oleh bencana dan tragedi. Bila ia ditimpa kesusahan atau petaka yang menimpa dirinya, ia tidak akan meminta perlindungan kepada makhluk malah hatinya terus kepada penciptanya, kepada Nya sahaja ia memohon pergantungan dan meminta pertolongan. la tidak mengharap kepada yang lain dalam menghindarkan kemudaratan dan mendapatkan kebaikan. la tidak akan meminta kepada seseorang kecuali kepada Allah dengan rasa penuh tunduk, memohon dan kembali kepadaNya. Syiar dan pegangannya, sabda Nabi s.a.w kepada ibnu Abbas yang mafhumnya:
"Apabila engkau memohon pohonlah kepada Allah dan apabila engkau meminta pertolongan maka pintalah pertolongan dengan Allah."
Firman Allah yang mafhumnya:
"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkan kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu maka tak ada yang dapat menolak kurniaNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakNya di antara hamba hamba Nya dan dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Yunus: 107)
Tidakkah kamu mendengar kisah Nabi Hud ketika ia ditakuti kaumnya dengan bencana berhala lalu ia berkata:
"Sesungguhnya aku bersaksi kepada Allah dan saksikanlah olehmu sekelian bahawa sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan, dari selain Nya, sebab itu jalankanlah tipu dayamu semuanya terhadapku dan janganlah kamu members tangguh kepadaku. Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melatapun melainkan Dialah yang memegang ubun ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus." (Hud: 54-56)
Penyataan tersebut adalah merupakan penyataan yang tepat yang dijelmakan dari jiwa yang kukuh pejal dari keazaman yang tinggi dan iman yang tidak boleh direndah dan dilemahkan, juga ianya dari roh yang tidak kenal lemah dan takut di mana kekuatan dan tenaga adalah terbit dari bertawakkal penuh kepada Allah.
Firman Allah yang mafhumnya:
"Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Baksana." (Al Anfaal: 49)
5.0 Tauhid Asas Persaudaraan dan Persamaan
Andainya tauhid dikira sebagai asas dalam membebaskan manusia dan menyebabkan lahir rasa kekuatan dan kemuliaannya maka tauhid juga adalah sebagai asas dalam menetap dan mewujudkan persaudaraan serta persamaan di kalangan sesama manusia. Persaudaraan dan persamaan tidak akan tercapai dalam kehidupan manusia, bila terdapat di kalangan manusia ada yang menjadi tuan (arbab) kepada manusia yang lain. Tetapi bila semua manusia itu dikira sebagai hamba Allah maka ianya adalah sebagai punca dan asas persaudaraan dan persamaan di antara semua manusia. Dari sinilah seruan yang dialukan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para pemerintah dan ketua ketua negara disudahi dengan ayat yang mafhumnya:
"Marilah kepada sesuatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain daripada Allah." (Ali Imran: 64)
Di antara doa doa Rasulullah s.a.w. Yang menarik setelah melakukan solah:
"Ya Allah ya Tuhan kami. Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya aku naik saksi bahawa engkaulah Allah yang Esa yang tiada sekutu bagimu."
"Ya Allah ya Tuhan kami, Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya aku naik saksi bahawa Muhammad hambamu dan Rasulmu."
"Ya Allah ya Tuhan kami Tuhan bagi setiap sesuatu dan yang memilikinya aku naik saksi bahawa hamba hamba itu kesemuanya bersaudara."
Tiga pengakuan tersebut yang datang daripada nabi itu adalah mempunyai kaitan di antara satu sama lain.
Pengisytiharaan ukhuwwah (persaudaraan) sesama manusia secara menyeluruh (sesungguhnya hamba hamba itu bersaudara) adalah berdasarkan kepada dua pengakuan pertama tadi, pengkhususan uluhiyyah hanya untuk Allah tiada sekutu bagiNya dan tiada tuhan lain bersama Nya serta tidak ada hak untuk tunduk dan beribadah kepada yang lain kecuali kepada Nya. Ubudiah Nabi Muhammad s.a.w (pengabdian nabi Muhammad s.a.w) hanya kepada Allah dengan menyampaikan kepada manusia tentang Allah, menafikan setiap syubhah (keraguan) atau sesuatu yang berbau ketuhanan. Tiada di sana tuhan lain, atau anak Allah dan tiada satu pertiga tuhan seperti yagn disangka oleh orang orang Nasrani kepada Masih (Nabi Isa).
Apabila tercapainya dua hakikat tersebut: Ketuhanan Allah yang Esa, dan 'ubudiah (pengabdian) manusia seluruhnya kepada Allah diketuai oleh Nabi Muhammad s.a.w. Rasulnya, akan diikuti pula hakikat ketiga iaitu: hamba hamba Allah itu bersaudara, sama, tidak ada perbezaan kaum dan tak ada perbezaan warna kulit dan tidak ada kelebihan dengan sebab keturunan.
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujuraat: 13)