đHgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel4.htmgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel4.htmdelayedxÕEÔJ˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙Čđ˜ģ›OKtext/html° h›˙˙˙˙b‰.HSat, 10 Mar 2001 03:37:58 GMTaMozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98)en, *ÕEÔJ› New Page 1

Kasih-kekasih : Penyakit Baru Dunia Nasyid?

 

Kau tahu ku merinduimu

Ku tahu kau menyintaiku.... oo kasih..

bersabarlah sayang.. saat indah kan menjelma jua..

kita akan disatukan

dengan ikatan pernikahan.. oo kasih..

 

Kenalkah anda dengan rangkap-rangkap lagu di atas? Secara umumnya, remaja seperti anda tentu mengenalinya atau setidak-tidaknya pernah mendengarnya. Malah tidak hairan kalau anda seorang peminat dan lagu ini telah dihafal di dalam kepala anda dengan baik dan lebih baik dari anda menghafal ayat-ayat Al-Quran!

Tulisan ini bukan bertujuan untuk mengajak anda bermusuh dengan mana-mana kumpulan nasyid terutamanya dengan kumpulan In-Team yang sekarang sedang melonjak naik dengan lagu ini. Cuma rasanya elok kita sama-sama berfikir mengenai hakikat yang tersirat di dalam lagu yang ‘menyentuh jiwa’ ini.

Sebagai satu sorotan sejarah, lagu-lagu ‘menyentuh jiwa’ (maksud saya : jiwa orang yang sedang bercinta) seperti ini yang dimasukkan ke dalam irama nasyid sebenarnya sudah lama bermula. Tentu ramai yang masih ingat dengan arwah kumpulan The Zikr yang mempopularkan lagu Isteri Solehah pada tahun 1991 menerusi albumnya Secerah Pawarna. Walaupun ternyata sekali senikatanya tidak bercanggah dengan Islam, namun ia merupakan permulaan untuk kemunculan senikata-senikata lain yang lebih berani.

Semasa era nasyid dikomersialkan selepas upacara talkin Al-Arqam, kumpulan Hijjaz pada tahun 1997 pula mengorak langkah dengan lagu Puteriku Sayang menerusi albumnya KeizinanMu. Ternyata sekali umpan yang dipertaruhkan oleh kumpulan ini meraih hasil yang lumayan. Khabarnya, ramai muslimat-muslimat terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi yang tiba-tiba ‘menghidap’ penyakit lagu ini. Sungguh menyayat hati lagi, apabila solo Hijjaz yang masih lagi ‘solo’ ketika itu menjadi kegilaan ramai anak-anak gadis.

Sejarah lagu nasyid ‘menyentuh jiwa’ yang cuba disorotkan di sini hanyalah secara sepintas lalu. Masih banyak lagi lagu-lagu nasyid seperti ini yang muncul sepanjang sejarah walaupun sekadar melepaskan batuk di tangga. Tentu ramai yang sudah melupakan Nahwan Nur dengan lagunya Muslimah Sejati dan beberapa lagi senarai kumpulan nasyid-nasyid ‘nyamuk’ yang lain.

Namun kemunculan lagu Kasih Kekasih dari kumpulan In-Team ini agak berlainan dari lagu-lagu sebelum ini. Seandainya lagu-lagu sebelum ini menyentuh peranan muslimat secara tidak langsung atau secara langsung dalam penyebaran dakwah, maka kumpulan In-Team dengan berani sekali mengutarakan senikata yang secara terang-terang mengajak remaja berfikir mengenai alam rumahtangga. Persoalannya : tepatkah tindakan mereka? Adakah sesuai dengan label nasyid yang ada pada mereka?

Perlu diingatkan di sini bahawa anggota-anggota kumpulan ini rata-ratanya tidak lebih umurnya dari 20 tahun. Lantas demikian, wajarkah mereka bercakap tentang alam perkahwinan? Tidak dinafikan bahawa perkahwinan dan percintaan adalah hakikat kehidupan, namun dengan kemunculan lagu-lagu seperti ini sebenarnya remaja-remaja khususnya kader-kader dakwah akan lebih hanyut. Tidak cukupkah dengan kumpulan-kumpulan lagu remaja yang lain yang masyhur dengan lagu-lagu mereka yang memuja-muja percintaan dan wanita. Tidak cukupkah dengan kemunculan New Boys? Atau tidak cukupkah dengan puaka Siti Nurhaliza dalam menghanyutkan para remaja ke dalam alam fantasi? Maka sekarang remaja-remaja yang berkopiah pula sudah sanggup membicaran persoalan yang remeh temeh dalam lagu-lagu mereka? Tidak dinafikan antara senikata mereka :

Sebelum diijabkabulkan,

syariat tetap membataskan,

pelajari ilmu rumahtangga,

agar kita lebih bersedia…

Aduh.. begitu sekali indahnya impian yang cuba diutarakan. Namun, bimbang sekali kita tentang keberanian mereka ini. Mereka perlu sedar bahawa dengan memilih populariti sebagai artis, mereka sudah mula dijadikan idola. Tulisan ini sama-sekali tidak akan mengkritik mereka sekiranya terang-terang mereka muncul sebagai kumpulan rock, tetapi kerana mereka muncul sebagai artis kumpulan nasyid, maka terdapat etika-etika tertentu yang harus dijaga. Malah kemunculan mereka sebenarnya telah menjadikan mereka kegilaan anak-anak gadis. Tak percaya? Tanyalah pelajar-pelajar matrikulasi UIA!!!

Seandainya keadaan ini berteusan, maka selepas ini tentu akan muncul lagu-lagu yang lebih menggegarkan lagi. Tidakkah akan berulang kembali era syair-syair jahiliyyah yang memuja wanita dan percintaan? Sepatutnya kumpulan-kumpulan nasyid khususnya remaja memikirkan lagu-lagu yang mampu menjana semangat jihad atau sekurang-kurangnya mengajak remaja menyedari matlamat hidup mereka. Tak payahlah rasanya menggunakan senikata-senikata yang menggoda untuk meraih keuntungan singkat!!

rencana ini saja-saja nak buat gempak

- Januari 2001