ðH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/artikel7.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel7.htm delayed x ØEÔJ ÿÿÿÿ ÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÈ à}º L0 OK text/html ÀÃg L0 ÿÿÿÿ b‰.H Tue, 27 Mar 2001 07:33:53 GMT d Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * ×EÔJ L0
|
Cerpen : Salahuddin |
Sutradara : Ahmad Fadhli Shaari
(6 Ogos 1998)
Cahaya mentari yang membolosi celah-celah dedaun pohon menyedarkan aku dari
tidur. Aku membuka mata dan memandang sekeliling.
`Di mana aku sekarang..?" Hatiku membisik. Ya, segala-galanya cukup asing
bagiku. Bagaimana aku boleh sampai ke sini. Padang pasir yang cukup tandus dari
sebarang pohon kecuali pohon kurma tempat aku tertidur tadi. Aku cuba memerah
ingatanku. Semalam, selepas pulang dari majlis ceramah, aku tidur di asrama.
Bertakbir di tengah hujan lebat memang cukup memenatkan apalagi di tengah ribuan
pendengar ceramah politik yang cukup berapi-api, aku terpaksa mencelah-celah
untuk mendapatkan sudut yang terbaik. Ya, aku cukup letih semalam menyebabkan
aku tidur terlalu nyenyak, namun aku begitu pasti bahawa aku tidur di atas
katilku. Tapi, pagi ini aku dah sampai ke sini, tempat yang cukup asing bagiku.
Sedang aku terpingga-pingga, datang dua orang berkuda yang berpakaian seperti
tentera Arab dahulukala.
"Assalamualaikum.." Aku memberi salam dengan penuh harapan.
"Apa yang anda lakukan seorang diri di sini.." Salah seorang dari
mereka bertanya (tentunya dalam bahasa Arab) selepas menjawab salamku.
"Saya tidak tahu bagaimana saya boleh sampai ke sini. Err… di manakah
kita berada sekarang ini..?" Aku bertanya juga dalam bahasa Arab. Untung
juga aku agak boleh menguasai bahasa ini. Salah seorang dari mereka turun dari
kuda lalu memeriksaku.
"Maafkan kami, setiap orang yang tidak dikenali tiba ke sini terpaksa kami
periksa dengan teliti untuk melindungi kota itu daripada ejen tentera
salib.."
"Kota itu? Kota mana?" Aku meminta kepastian.
"Saudara, kami dalam perjalanan untuk ke kota Jurusalem. Tentera muslimin
pimpinan Sultan Salahuddin telah berjaya merampas kembali kota Jurusalem. Hari
ini, solat Jumaat pertama kali akan didirikan di Masjidil Aqsa. Adakah anda juga
mahu ke sana?"
Jurusalem? Salahuddin? Masjidil Aqsa? Adakah aku bermimpi? Aku mencubit lenganku
secukup rasa untuk memberi kepastian. Boleh tahan sakitnya.
"Saudara, saudara mahu ke sana? Kami boleh tumpangkan."
"Err.. er… ya. Tapi.. saudara, aku sudah lupa tarikh hari ini."
"4 Sya’ban tahun ke 491 Hijrah.."
Aku terlopong.
************
Mereka adalah singa di siang
hari dan abid di malam hari, itulah penialaianku terhadap mereka. Beberapa hari
di perkhemahan tentera Salahuddin Al-Ayubi memberi kesan yang cukup mendalam
terhadap diriku sendiri. Aku bergaul dengan mereka seperti biasa. Walaupun
mungkin pertuturan dan pengenalan diriku masih tidak diketahui oleh mereka,
namun ikatan ukhuwwah Islam telah mengikat hati-hati kami. Barisan tentera
inilah yang berjaya menakluki Baitul Muqaddis. Tentera-tentera seperti inilah
yang diberi pertolongan oleh Allah SWT.
Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh tegap berjalan menghampiri pasukan tentera.
Itulah Salahuddin Al-Ayubi, seorang yang agung sebagaimana yang telah diukir
oleh pena emas sejarah Islam. Sebagaimana yang tercatit di lembaran suci
keagungan Islam, dialah Salahuddin. Haruskah aku memberitahunya identiti diriku?
Masih tidak perlu rasanya.
"Saudara-saudara sekalian.." Salahuddin Al-Ayubi memulakan ucapannya.
"Demi Allah yang jiwa kita berada di tanganNya, sesungguhnya perjuangan
untuk menegakkan kebenaran ini tidak akan selesai sehinggalah kita mengadap
Allah SWT. Yakinlah, debu-debu pepasir yang anda harungi adalah permata yang
akan menantimu di syurga kelak." Salahuddin mematikan bicaranya. Matanya
memandang sekeliling. Tiba-tiba aku sedari Salahuddin sedang memandang tepat
kepadaku dan tersenyum.
"Saudara-saudara sekalian, kita mendapat maklumat bahawa kota Aka’ yang
telah dikuasai oleh muslimin telah dikepung kembali. Esok, kita semua akan
berangkat ke kota Aka’ untuk membebaskannya.." Salahuddin menghentikan
ucapan dan pulang ke khemahnya.
*************
Malam itu, malam untuk
pertempuran keesokannya yang tentunya amat dahsyat bagaikan satu pesta bagi
tentera-tentera ini. Mereka semua bangun untuk bertahajjud memohon pertolongan
daripada Allah. Aku terharu. Amat jauh berbeza rasanya tentera Salahuddin dengan
para pejuang Islam di akhir abad ke 20. Tentera Salahuddin begitu ikhlas dalam
perjuangan mereka tapi abad ke 20 menyaksikan ramai pejuang Islam bercakaran
sesama sendiri hanya kerana pangkat di dalam parti sendiri. Noda-noda dosa
terpalit sama kepada mereka yang mengaku memperjuangkan Islam. Sudah ramai yang
hanya menjadikan Islam sebagai pentas untuk mencari makan. Keikhlasan bagaikan
permata di padang pasir, amat susah untuk ditemui bahkan untuk menemukan
perbezaan ciri-ciri pejuang Islam dengan pejuang sekular amat payah sekali.
Kalau Salahuddin berjaya mentarbiah jiwa tenteranya agar takut hanya kepada
Allah namun di abad 20, para pemuda Islam yang tidak ditarbiah hati-hati mereka
hanya dibekalkan semangat berkobar-kobar untuk mendapat kemenangan. Akibatnya,
bahtera perjuangan mereka mudah roboh bila datangnya ombak ganas yang melanda.
Kalaulah begini keadaanya, menantikan kemenangan bagaikan menunggu terbitnya
bulan di tengah siang.
Tidak semena-mena mengalir air mataku mengenangkan keadaan ini. Adakah betul
jalan yang kupilih selama ini. Adakah layak untukku menggelarkan diri ini
sebagai pejuang Islam? Aku jatuh terjelepuk di atas debu-debu kekesalan.
"Saudara.." tiba-tiba bahuku ditepuk. Aku berpaling.
"Tuan Salahuddin.."
"Sahabatku dari jauh.." Salahuddin memulakan bicaranya seraya
tersenyum. Aku tidak terkejut dengan kata-katanya. Sejak awal lagi, aku sudah
menduga bahawa Salahuddin mengetahui siapa diriku. Mungkin dengan firasat,
kurniaan Allah hanya kepada pemimpin bertaqwa yang tandus di zamanku.
"Kenapa anda menangis?"
"Tuan Salahuddin, adakah anda juga akan menangis andainya aku beritahu
bahawa Masjidil Aqsa yang tuan bebaskan akan dirampas kembali oleh bangsa
Yahudi?" Salahuddin kulihat tidak terkejut dengan kata-kataku namun riak
mukanya membayangkan kesedihan yang tiba-tiba melanda.
"Sahabatku, di zamanmu umat Islam sudah menukar kiblat mereka. Walaupun
ketika sembahyang mereka mengadap kiblat, namun pada hakikatnya mereka sudah
mengadap Barat dari semua segi.." Amat teratur sekali bicara pemimpin
lagenda di hadapanku ini. Salahuddin bangun dan merenung jauh.
"Tuan Salahuddin, bagaimanakah anda boleh berjaya?"
"Allah SWT tidak akan bertanya tentang kemenangan sahabatku, kita hanya
akan ditanya tentang usaha kita. Namun, sebagai pejuang, tentunya kita
mengidamkan kemenangan. Kami telah dikepung oleh musuh-musuh itu dari segenap
segi. Dari laut dan darat, tapi kami tidak takut. Kami memohon pertolongan hanya
kepada Allah, tidak kepada manusia, juga tidak kepada PBB.."
Aku tersentak. Salahuddin seolah-olah cuba menyindir.
"Tuan Salahuddin, adakah kami juga boleh berjaya?"
"Itu hak Allah. Namun pasukanmu masih belum cukup syarat untuk pertolongan
Allah. Kamu membelakangi Al-Quran, kamu bercakaran sesama sendiri, sedangkan
musuh-musuhmu bertepuk sorak meraikan perpecahan umatmu.
Sahabatku, sedarlah bahawa Islam tidak akan tertegak hanya melalui pidato yang
berkobar-kobar, tidak hanya melalui laungan takbir, juga tidak hanya melalui
kritikan semata-mata, tapi akan tertegak apabila pasukanmu dan juga para
pimpinanmu menepati syarat-syarat untuk digelar parti Allah. Selagi mana kau
terus terikut-ikut dengan perjuangan Islam ala-Barat, maka selagi itulah, kamu
semua dianggap menolak pertolongan. Kami tidak ada tentera nyamuk untuk
mengalahkan Namrud, juga tidak ada tongkat Nabi Musa untuk menelan ular Firaun,
namun kami mempunyai sebutir permata bernama ada keyakinan, sebiji berlian
bernama keimanan. Kunci kemenangan, jadilah singa di siang hari, abid di malam
hari." Salahuddin menatap tepat ke wajahku. Dari poketnya dikeluarkan
seutas tasbih lalu diberikan kepadaku.
"Tangan kami memegang pedang di siang hari, tangan ini jugalah yang
menggenggam tasbih di malam hari….
"Tuan Salahuddin, kami terlalu lemah untuk itu...."
"Kelemahan diri tidak menjadi alasan untuk duduk berteleku menunggu
kemenangan dari langit. Yakinlah, seandainya kamu hanya bersenjatakan sebiji
timba untuk menghabiskan musuh seperti lautan, tapi setiap kali engkau menimba
lautan, walaupun nampak tidak berkesan tetapi hakikatnya lautan itu telah
kehilangan air sebanyak sebiji timba. Walaupun usahamu tidak berkesan, tetapi
hakikatnya engkau telah berusaha.." Salahuddin berhenti seketika. Aku
merenung tepat ke wajahnya, mencari erti di sebalik kata-katanya yang penuh
makna itu.
"Bangunlah sahabatku, tempatmu bukan di sini. Kami telah melaksanakan tugas
kami, kamu pula mempunyai tugasmu sendiri. Kibarkan bendera jihad, tegakkan
syiar ini. Kami yakin dan kamu juga harus yakin, antara syurga dan kemenangan
menunggu kita. Teguhlah di atas landasan yang betul, walaupun kau keseorangan
nanti."
Aku hanya mampu tunduk dan terpaku, tidak mampu berkata apa-apa. Bagaikan Ibnu
Khattab yang terpaku apabila membaca surah Taha. Hembusan angin malam gurun kota
Jurusalem menyapu bersih keraguan di hatiku. Seolah-olah hatiku disuntik dengan
semangat baru. Aku memandang ke hadapan. Salahuddin mula beredar ke khemahnya.
Semakin lama semakin hilang dari pandagannku. Aku berpaling ke kiri dan ke
kanan. Semuanya sudah hilang..!! Khemah, kuda-kuda, tentera-tentera dan
semuanya.
Kelam.
Gelap.
Tanpa cahaya.
****************
"Lie, bangun..!!" Aku
terjaga dan membuka mata. Siapa di hadapanku? Salahuddin? Bukan, itu Rozi si
`busy body’ bilikku. Aku sudah kembali?
"Fadhli, bila kau nak bangun ha? Dah pukul 6.00 ni!! Apalah kau ni. Pergi
tempat ceramah punyalah semangat, nak sembahyang Subuh berjemaah pun
sangkut..!!" Rozi menempelak.
"Aduh.. Rozi, aku mimpi panjang la.."
"Waduh, waduh.. hei Fadhli, sejak bila kau bawak tasbih sambil tidur ni?
Ooo.. nak jadi tok wali ke?"
"Tasbih? Mana tasbih?" Aku tersentak.
"Ni… " Rozi mengambil tasbih dari tanganku. Aku terlopong seketika.
Tasbih Salahuddin!! Tapi….
"Rozi, tolong cari panadol dua biji. Aku pening."