ðHgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel8.htmgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel8.htmdelayedxØEÔJÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÈà}º"OKtext/html° h"ÿÿÿÿb‰.HTue, 27 Mar 2001 07:33:53 GMTeMozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98)en, *ØEÔJ" New Page 1

Cerpen : Temasik Dilanggar Todak

Sutradara : Ahmad Fadhli Shaari
(Ogos 1998)

Keperuntukkan untuk saudaraku Zahid Hamidi


Temasik dilanggar Todak!
Berita yang cukup menggemparkan seluruh Temasik. Di mana-mana saja terdengar percakapan mengenai bencana yang menimpa Temasik. Kegiatan perdagangan Temasik kini terhenti sama-sekali. Kalau sebelum ini, Temasik merupakan sebuah negeri yang pesat pertumbuhan ekonominya, kini Temasik seolah-olah kian menuju kehancuran. Wawasan Temasik yang sering diperkatakan kini kian hilang dari sebutan pemimpin Temasik. Tidak tersangka oleh pemimpin Temasik, syurga Temasik yang dibina dalam sekelip mata saja dihancurkan oleh todak-todak yang melanggar Temasik.
Maka Raja Temasik memanggil sidang menterinya untuk bermesyuarat.
"Datuk-datuk dan orang-orang kaya sekalian, sebagaimana yang kita ketahui bencana yang menimpa negeri kita sekarang seandainya berterusan akan memberi akibat kepada ekonomi Temasik. Namun ini bukan salah kita, ini angkara todak-todak celaka itu. Datuk-datuk dan orang-orang kaya sekalian perlu ingat, todak ini bukan todak sebarangan, ini todak yahudi, Yahudi Soros…!!" Merah padam muka Raja Temasik. Maklumlah, sejak akhir-akhir ini, Raja Temasik sudah tidak berani lagi bertindak kepada todak-todak ini, setiap kali Raja Temasik bertindak, maka setiap kali itulah bilangan todak yang melanggar Temasik akan bertambah berlipat kali ganda.
"Ampun tuanku.." Bendahara yang baru dilantik membuka mulut. Sebelum ini, dia pernah dibuang daripada kabinet istana. Kini apabila tiba masalah todak melanggar Temasik, khidmat Bendahara mula diperlukan semula. Bendahara dilantik sebagai Ketua Majlis Tindakan Todak. Penghulu Bendahara sedar ada orang tak senang dengan kedatangannya terutamanya Tengku Mahkota, tapi Bendahara buat tak dengar saja. Apa orang nak kata, katalah.
"Tuanku, ada orang mengatakan, bencana ini menimpa kerana kita terlalu mementingkan kemajuan dalam negeri. Kita ghairah nak buat pelabuhan pedagang hingga terlupa nak menjaga keselamatan pantai dari serangan todak.."
"Memanda Bendahara, ini tugas memanda. Memanda harus menerangkan kepada rakyat bahawa kita sudah berusaha sedaya upaya untuk menjaga keselamatan Temasik. Tapi apakan daya, mereka terlalu kuat. Oh ya, seperkara lagi, minta rakyat jelata berkorban dengan menahan betis-betis mereka di tepi pantai untuk menahan serangan todak dari sampai ke istana beta. Sekaranglah masa untuk rakyat jelata berkorban menjaga keselamatan beta dan kaum kerabat beta..!!"
"Ampun tuanku, perintah tuanku terjunjung di atas batu jemala patik…" Bendahara menjunjung titah. Menteri-menteri lain hanya mampu terdiam. Mereka ada sesuatu yang hendak diperkatakan namun apakan daya periuk nasi haruslah dijaga.
Maka keluarlah penduduk Temasik keluar beramai-ramai melaksanakan perintah Raja mereka. Betis-betis ditahan di tepi pantai sebagai tanda pengorbanan rakyat jelata sedangkan Raja Temasik masih enak bersantai di istana. Walaupun masing-masing mengetahui bahawa Raja Temasik hanya bertujuan untuk menyelamatkan dirinya dan kaum kerabatnya, kerana mereka sudah berabad-abad diperhambakan dan dijajah jiwa mereka, mereka tidak pandai untuk memprotes. Hati mereka sudah mati dari menerima perubahan. Mereka sanggup terus kekal di bawah bumbung pemerintahan sang raja walaupun jelas sang raja hanya pandai bertemu rakyat ketika kesusahan. Kalau adapun cerdik pandai di kalangan rakyat, masing-masing hanya pandai menjaga periuk nasi sendiri.
Hingalah satu ketika Bendahara mengadap Raja Temasik.
"Ampun tuanku, sekarang kononnya khadam Putera Mahkota, Hang Nadim telah menghasut rakyat supaya membenci tuanku."
"Membenci beta, kenapa?" Raja Temasik terkejut. Ya, memang Hang Nadim selalu menimbulkan kontroversi. Tapi tidak tersangka kini dia sanggup melawan Raja sendiri.
"Hang Nadim mengatakan, sepatutnya boleh digunakan batang-batang pisang untuk menahan serangan todak, tetapi akibat semua batang-batang pisang telah ditebang dan dibahagi-bahagikan kepada kaum kerabat tuanku, maka batang pisang sudah tidak dapat digunakan untuk menahan serangan todak. Oleh itu, menurut Hang Nadim tuanku adalah penyebab kenapa bencana todak berterusan dan menyebabkan rakyat terus menderita."
Merah padam muka sang Raja Temasik. Nampaknya anak buah Tengku Mahkota yang seorang ini kian melampau. Nampaknya Tengku Mahkota sudah tidak pandai menjaga anak buah atau memang ini arahan Tengku Mahkota? Tetapi bukankah masing-masing sudah memperolehi habuan termasuk juga Tengku Mahkota dan Hang Nadim sendiri?
"Memanda Bendahara, adakah rakyat menerima kata-kata Hang Nadim?"
"Setahu hamba, seluruh warung-warung kopi di Temasik sibuk memperkatakan hal ini. Hamba bimbang seandainya Hang Nadim tidak menghentikan hasutannya, kedudukan tuanku akan terancam.
"Panggil Hang Nadim mengadap beta sekarang..!!" Raja Temasik bertempik sekuat-kuatnya. Sang Raja tahu Hang Nadim bukannya ikhlas sangat memperjuangkan keadilan tetapi ada sesuatu yang tidak memenuhi kehendak nafsunya menyebabkan dia bertindak demikian. Hang Nadim harus dihukum!
Entah apa yang diperkatakan oleh Raja Temasik kepada Hang Nadim tidak ada orang yang tahu. Hanya selepas beberapa hari kemudian, Raja Temasik memanggil seluruh rakyat jelata berkumpul di perkarangan istana.
"Rakyat jelata sekalian.." Sang Raja memulakan ucapan.
"Beta tidak mahu mendengar lagi rakyat memperkatakan kononnya beta membahagi-bahagikan batang-batang pisang kepada kaum kerabat beta sahaja. Sebenarnya pembahagian batang-batang pisang untuk apa suja kegunaan telah dilakukan dengan seadil-adilnya sehinggakan Hang Nadim sendiri sudah beta bahagikan batang pisang…" Sang Raja melirik sebentar kepada Hang Nadim yang sejak dari tadi tunduk bermuram.
"Sekarang adalah masa untuk rakyat jelata sekalian menunjukkan taat setia kepada beta yang telah membawa kemakmuran selama ini bukannya terpengaruh dengan dakyah yang bukan-bukan.."
"Sebenarnya, Hang Nadim sendiri sudah menarik balik apa yang disebarkannya kepada rakyat jelata sesudah beta memberi penjelasan (dengan mata pedang?) kepadanya. Bukan begitu Hang Nadim?"
"Err.. er.. ya, ya.. rakyat sekalian, perkara ini dah selesai dah…." Jawab Hang Nadim. Raja Temasik tersenyum puas. Harap-harap selepas Hang Nadim dihukum tidak lama lagi, tidak akan ada lagi Hang Nadim kedua.
"Rakyat jelata sekalian, kita harus berdiri teguh di belakang kepimpinan raja kita.." sambung Hang Nadim sambil menjeling kepada Raja Temasik. Hanya Raja Temasik yang mengetahui makna jelingan itu.
Rakyat Temasik pulang ke rumah masing-masing. Todak terus melanda. Rakyat terus berkorban betis untuk raja mereka. Sampai bila? Entahlah.

- Ahmad Fadhli bin Shaari