đHgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel9.htmgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/artikel9.htmdelayedxŘEÔJ˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙Čŕ}şŠ.OKtext/htmlŔĂgŠ.˙˙˙˙b‰.HFri, 18 May 2001 07:55:06 GMTfMozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98)en, *ŘEÔJŠ. New Page 1

Rencana : Sampai Bila Saya Harus Kecewa?

            Sewaktu saya masih kecil, ibu saya sering membelikan saya majalah-majalah agama keluaran Al-Arqam. Kata ibu saya, beliau mahukan saya menjadi anak yang soleh. “Seperti orang-orang yang pakai serban itu.” Ujar ibu saya. Saya dapat mengagak bagaimana beliau terpengaruh dengan kumpulan nasyid Nada Murni yang anggotanya ada yang terdiri dari golongan kanak-kanak. Sekitar tahun 80-an, terlalu banyak penerbitan-penerbitan keluaran Darul Arqam untuk semua golongan. Antara yang masih saya ingat ialah Al-Qiadah, Anak Soleh, An-Nasihah, Fardhu Ain dan banyak lagi. Sehingga kini koleksi majalah-majalah tersebut masih ada dalam simpanan kami di rumah.

            Membaca majalah-majalah keluaran Al-Arqam sebenarnya mendidik jiwa saya untuk mendaulatkan Islam. Apatah lagi, saya lahir dalam keluarga yang merupakan penyokong kuat (kalaupun tidak fanatik) PAS. Sewaktu UMNO berpecah pada tahun 1987, umur saya baru 7 tahun. Cakap-cakap politik di rumah sewaktu saya masih ‘rebung’ lagi menumbuhkan rasa cinta saya kepada perjuangan Islam walapun tanpa sebarang hujah yang rasional. Lagipun, apalah sangat yang diketahui oleh kanak-kanak yang berumur 7 tahun selain dari mengatakan, “UMNO jahat!!”

            Sewaktu pilihanraya 1990, saya masih ingat betapa bersemangatnya saya untuk tidak tidur sepanjang malam bagi menyaksikan kemenangan PAS dan Semangat 46 (Allahyarham). Namun, saya kecewa untuk kali yang pertama.. Kemenangan demi kemenangan BN yang diumumkan pada malam itu menghancurkan impian saya. Kenapa tidak, saya mengikuti kempen Semangat 46 khususnya di Kelantan setiap hari menjelang pilihanraya. Saya masih ingat, bapa membawa saya  ke majlis ceramah Semangat 46 oleh Ibrahim Ali (sekarang Dato’ Paduka). Masih segar dalam ingatan saya ucapannya yang mengecam kerajaan dan frasa ‘menjilat punggung’nya yang begitu terkenal itu. Walau apapun, kemenangan PAS di Kelantan berjaya memberikan sedikit kegembiraan kepada saya yang baru berumur 10 tahun pada masa itu. Saya keluar pagi esoknya untuk melihat matahari yang terbit dalam pemerintahan yang berlainan. Pada saya, walaupun cahayanya sama seperti kelmarin namun ternyata matahari hari ini lebih bertuah dari matahari kelmarin kerana ia terbit dalam kerajaan yang berlainan.

            Seterusnya apabila saya meningkat remaja, sedikit demi sedikit saya mula memahami selok belok perjuangan sesebuah jemaah Islam. Kemenangan Anwar Ibrahim dalam pertarungan dalaman UMNO  tahun 1993 (apa yang disifatkan oleh Ahmad Lutfi Othman sebagai Operasi Nyah 2) tidak memberikan apa-apa erti pada saya dan orang lain yang seperjuangan dengan saya. Namun, tidak dapat dinafikan, sedikit kegembiraan menyelinap masuk ke sudut hati penyokong-penyokong PAS pada masa itu. Berbekalkan sedikit harapan agar Anwar Ibrahim dapat merealisasikan matlamat perjuangan Islam, kemenangannya sebenarnya disambut positif oleh penyokong-penyokong PAS. Namun, tidak dapat dinafikan kekecewaan dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke lubuk puaka UMNO pada Julai 1983 masih merupakan igauan buruk kepada rakan-rakannya di dalam PAS. Momentum kekecewaannya masih belum hilang sepenuhnya. Sayangnya, saya tidak sempat merasai kekecewaan pada masa itu ekoran umur saya baru 3 tahun!!

            Impian saya untuk melihat Islam bermartabat di Malaysia sekali lagi dikecewakan pada tahun 1994 apabila Al-Arqam diistiharkan sesat bukan setakat oleh Pusat Islam malah oleh para pemimpinnya sendiri. Saya bukan ahli Arqam namun saya menaruh harapan besar terhadap Al-Arqam. Ekoran penangkapan Ashaari Muhammad pada 2 September 1994 (2 September juga adalah tarikh keramat kepada penyokong reformasi), saya menjadi teramat marah kepada kerajaan namun apabila pengakuan Ashaari Muhammad dan rakan-rakannya (apa yang disifatkan oleh Zabidi Mohammad sebagai ‘taqiyah yang berjaya’) disiarkan di televisyen pada 20 Oktober 1994, saya menangis semahu-mahunya. Antara percaya atau tidak, harapan saya yang menggunung kepada Al-Arqam ranap sama sekali. Segala kekaguman terhadap Al-Arqam selama ini akhirnya punah hanya dengan ‘pengakuan sesat’ oleh Ashaari Muhammad. Waktu itu saya percaya ramai lagi yang bersimpati terhadap Al-Arqam kecewa dengan perkembangan ini. Apakan daya, Allah tidak menghendaki Islam berdaulat melalui Al-Arqam. Namun, sesiapa pun tidak dapat menafikan kejayaan Al-Arqam membina empayarnya membuka dimensi baru kepada gerakan Islam di Malaysia.

Pilihanraya 1995, saya kecewa untuk kali yang seterusnya. Ia tidak mampu untuk mengulangi debaran 1990. Tiada apa yang menarik pada pilihanraya 1995 selain daripada harapan untuk mengekalkan Kelantan serta meningkatkan penguasaan di beberapa buah negeri. Kegagalan PAS dan Semangat 46 (yang semakin lesu pada masa itu) bagaikan sudah dapat diduga. Saya mula dihantui mitos bahawa ‘UMNO akan memerintah Malaysia sampai bila-bila!!”. Saya mula hilang keyakinan bahawa dalam masa yang terdekat nanti Malaysia akan dapat diperintah secara Islam atau dalam erti kata lain, Daulah (meminjam istilah Zabidi) semakin hampir di Malaysia.

            Tragedi September 1998 meneruskan episod kekecewaan saya yang seterusnya. Penyingkiran penuh misteri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan UMNO menyebabkan saya tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam. Padahal, apalah yang nak dikisahkan tentang rumahtangga orang lain. Tetapi, itulah yang berlaku. Saya merasakan masa depan bagi cita-cita Islam di Malaysia walau dengan apa cara sekalipun adalah gelap. Peluangnya adalah kosong. Segalanya akan berakhir dengan kekecewaan. Saya (dan saya percaya ramai lagi) kebingungan. Namun, penyingkiran Anwar Ibrahim sebenarnya membawa rahmat yang tidak sedikit kepada golongan pembangkang. Gelombang yang dinantikan selama ini benar-benar menjadi kenyataan. Rakyat bangun memprotes. Anak-anak muda turun ke jalananKerajaan pimpinan Mahathir bagaikan sudah sampai ke penghujung riwayatnya. Kerana itulah, pilihanraya 1999 sudahpun dianggap awal-awal lagi sebagai pilihanraya maut bagi UMNO!!

            Pilihanraya 1999 adalah merupakan pilihanraya pertama yang melibatkan saya secara langsung sebagai pekerja. Dengan harapan dan mimpi yang indah, saya turun bekerja dengan satu matlamat ; tamatkan era kezaliman. Namun, mimpi indah tersebut ternyata tidak menjadi kenyataan. Pilihanraya 1999 menyaksikan pembangkang khususnya PAS hanya dapat menawan Terengganu manakala negeri-negeri lain masih berada dalam genggaman UMNO/BN. Biarpun statistik dan kajian menunjukkan masa depan pembangkang adalah cerah, namun hakikatnya UMNO/BN masih lagi menang. Dan mereka masih bebas melakukan apa saja untuk merubah keadaan. Sekali lagi saya kecewa. Saya tertanya-tanya, “Apa lagi tragedi yang perlu berlaku bagi memastikan kekalahan UMNO/BN? Tidak cukupkah dengan segala pemerkosaan terhadap keadilan dan segala jenis penipuan yang berlaku di depan mata untuk menyedarkan rakyat? Tidak cukup lagikah dengan segala macam penindasan terhadap kemanusiaan untuk untuk menyedarkan rakyat supaya menamatkan mitos bahawa hanya UMNO yang layak untuk memerintah? Pilihanraya 1999 rupa-rupanya mengajar saya satu perkara yangsepatutnya sudah lama saya ketahui ; jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk kemenangan.

            Kerana itu sekarang apabila orang berkata bahawa tangkapan ISA terhadap para pemimpin Keadilan akan membuka mata rakyat, saya hanya mampu tersenyum tawar. Kerana itu jugalah, apabila orang mengatakan pilihanraya 2004 nanti merupakan pilihanraya terakhir PAS bergerak sebagai pembangkang, saya hanya mampu mengelengkan kepala. Maaflah, saya sering berkata kepada diri saya sendiri, apalah yang nak diharapkan kepada rakyat Malaysia yang bodoh. Kekecewaan demi kekecewaan sebelum ini membuatkan saya merasakan saat kemenangan masih jauh. Soalnya, sampai bila kita akan terus menunggu? Sampai bila saya harus kecewa?

Kalau Said Zahari dalam bukunya Meniti Lautan Gelora boleh mengatakan, “Saya tidak pernah menangis dan tidak akan menangis hanya kerana saya ditahan,”  maka saya hanya boleh mengatakan “Saya pernah menangis dan tidak mampu lagi untuk menangis hanya kerana saya kecewa..”

 

- 17 Mei 2001