ðH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/cerpen2.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/cerpen2.htm delayed x ÚEÔJ ÿÿÿÿ ÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÈ à}º k OK text/html ÀÃg k ÿÿÿÿ b‰.H Tue, 10 Dec 2002 00:17:26 GMT h Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * ÙEÔJ k
(oleh
: Ahmad Fadhli bin Shaari, Disember 2000)
Dum!!!" Ayah
menghempaskan tangannya ke atas meja. Terkejut kami sekeluarga. Si Tompok yang
bermain di bawah meja pun terkejut dibuatnya. Biasanya apabila ayah pulang dari
masjid, Tompoklah yang menyambut dengan menggeselkan kepalanya ke kaki ayah.
Tetapi tidak hari ini. Ayah pulang dari masjid dengan matanya yang merah. Ayah
tentu diamuk kemarahan yang teramat sangat. Ayah tentu sedang memarahi
seseorang. Ibu tidak tahu apa-apa. Begitu juga Along dan Angah. Kak Nina pun mungkin
terpingga-pingga. Semuanya terpingga-pingga kecuali aku. Aku tahu kenapa ayah
marah. Aku tahu siapakah yang membuatkan ayah marah. Orang itu ialah aku.
"Sulaiman,
kau dengar sini baik-baik. Kau jangan cuba nak bawa ajaran sesat kau ke kampung
ini!!" Ayah masih belum reda kemarahannya. Nada suaranya yang tinggi mampu
membuatkan aku kecut perut.
"Aku
hantar kau belajar jauh-jauh bukannya untuk membawa ajaran sesat. Aku hantar
kau dengan titik peluh kami sekeluarga ke Mekah supaya kau pulang mengajar manusia
erti agama. Bukan mengajar manusia supaya berpecah-belah!!" Aku tahu,
itulah yang akan dikatakan oleh ayah. Ayah akan mengatakan bahawa fahaman yang
aku bawa ialah fahaman karut dan sesat. Aku tahu inilah risikonya dan aku sudah
bersedia.
"Ayah,
apa yang saya perkatakan ialah fahaman tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad.
Saya cuma ingin membetulkan silap faham masyarakat kita. Kita sekarang
terperangkap dengan amalan bid'ah, ayah."Aku cuba bersuara dengan lembut.
"Kamu
ingin katakan tok-tok guru kita sebelum ini sebagai sesat. Kamu ingin menghukum
semua kitab-kitab pondok yang diajar dan diamalkan sebagai kitab sesat. Itu
kata kamu?!!" Ayah semakin berang. Ibu nampaknya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sekadar mengelengkan kepalanya. Along dan Angah
sejak dari tadi lagi kulihat melarikan diri ke dalam bilik. Kak Nina pula pura-pura
asyik menonton televisyen padahal aku tahu siaran berita dunia bukanlah siaran
yang digemari olehnya.
"Siapakah
tok-tok guru kita jika dibandingkan dengan nabi Muhammad, ayah. Apalah ertinya
kitab-kitab pondok sekiranya dibandingkan dengan Al-Quran. Kesesatan tetap
dihukum sebagai sesat walau apapun tarafnya!!"
"Pang!!"
Entah bunyi apa yang kuat kedengaran. Cuma yang aku tahu selepas itu pipiku
terasa amat pedih sekali.
Beri'tikaf
di Masjidil Haram sementara menunggu waktu Zohor memang merupakan rutin
harianku. Selepas kelas pengajian yang bermula sejak dari pagi lagi, di sinilah
aku sering berada. Walaupun suasana sekeliling sibuk dengan orang ramai yang
melakukan ibadat, aku tetap sendirian dengan duniaku. Dan di waktu-waktu inilah
aku akan terkenang kepada keluarga di kampung.
Aku anak yang bongsu dari tiga orang adik beradik.
Ayah memang menitikberatkan pendidikan agama kepada kami semua. Lantaran itulah
Along dan Angah dihantar ke sekolah agama sejak dari kecil lagi. Manakala aku
pula dihantar ke pusat menghafal Al-Quran sehingga aku berjaya menamatkan
hafalan ketika usia 15 tahun. Cuma mungkin kerana Along dan Angah tidak
berminat untuk meneruskan pengajian agama ke peringkat yang lebih tinggi,
mereka memilih haluan yang lain. Hasilnya, Along mencapai cita-citanya untuk
menjadi seorang peguam manakala Angah pula sedang menghabiskan pengajian dalam
bidang perubatan. Tetapi aku, aku lain dari yang lain. Ayah sering meniupkan
semangat supaya aku belajar dalam bidang agama sehingga menjadi seorang yang
mahir.
"Bukan belajar agama cukup makan sahaja. Ini
bukan kejayaan namanya". Aku ingat lagi kata-kata ayah kepadaku. Aku tahu
kata-kata itu ditujukan kepada Along yang pada masa itu sedang menonton
televisyen.
Itulah dia ayah, imam masjid kampung kami. Seorang
yang berpendidikan pondok. Membesar dalam alam pengajian kitab tradisional dan
sentiasa menjadi rujukan kampung kami. Aku sering bangga dengan ayah dan aku
juga tahu ayah berbangga mempunyai anak seperti aku. Kerana ayah mahu aku
menjadi seorang ulama, aku dihantar meneruskan pengajian ke tanah haram ini.
Namun, di sini aku menemui satu aliran tauhid yang sama sekali tidak sama
dengan aliran yang dianuti oleh ayah. Sama sekali tidak sama. Di sini aku
diajar supaya kembali kepada aliran salaf, aqidah yang dibawa oleh Nabi
Muhammad SAW. Aqidah yang tidak bercampur aduk dengan sebarang pembaharuan
akibat perbuatan manusia. Aqidah yang mengajar bahawa untuk mengenali tuhan
bukan dengan hanya mengenali sifat 20. Aqidah yang mengajar supaya beriman semua
ayat-ayat Al-Quran tanpa sebarang pentakwilan. Aqidah yang mengajar bahawa
semua perkara baru dalam agama adalah bid'ah, dan semua bid'ah adalah sesat.
Itulah yang aku cuba serapkan ke kampung kami sewaktu
aku pulang bercuti namun apa yang dapat aku bawa kembali ke tanah haram ialah
sebuah penampar sulung dari ayah. Pedihnya terasa sehingga ke tanah haram.
"Habis, kau mahu menongkah arus? Kau mahu terus
berjuang walaupun di hadapanmu ombak badai yang besar dan kau hanya mempunyai
sampan yang kecil? Begitu?" Itulah pertanyaan salah seorang rakanku semasa
kuceritakan kepadanya segala-galanya. Aku hanya mampu membisu tidak terkata.
"Sulaiman,
apa yang kau perjuangkan adalah kebenaran, namun perlu diingat pendekatanmu
juga perlulah berhikmah. Beransur-ansurlah. Dekatilah masyarakat terlebih
dahulu. Insya-Allah, masyarakat pasti berubah." Bijak sekali jawapan salah
seorang pensyarahku apabila kuajukan pertanyaan.
"Sulaiman,
ingatlah satu perkara, sunnah ialah meletakkannya pada tempatnya yang sesuai
Itulah dia sunnah."
******
"Sesungguhnya
Allah s.w.t tidak akan menerima sebarang amalan yang bercampur aduk dengan
perkara bid'ah. Perlu diingat bahawa sebarang pembaharuan dalam agama adalah
bid'ah yang tidak boleh dimaafkan. Inilah yang menjadi kelemahan kita.
Seringkali kita menganggap amalam-amalan yang baru sebagai tuntutan agama
contohnya mengadakan tahlil selama tujuh hari selepas meninggalnya
seseorang.." Aku berhenti seketika. Melihat reaksi para jemaah. Ayah
terutamanya sudah gelisah. Manakala jemaah yang lain merenung tepat ke wajahku
seolah-olah menunggu keluarnya patah-patah perkataan yang seterusnya.
"Begitu
juga dalam masalah tauhid. Seringkali kita tersilap apabila mengatakan bahawa
syarat utama untuk mengenali Allah s.w.t ialah dengan mempelajari sifat 20.
Adakah Nabi Muhammad SAW mengajarkan sifat 20 kepada para sahabatnya? Sekiranya
tidak, adakah akidah mereka terpesong? Maha Suci Allah s.w.t, Nabi Muhammad dan
para sahabatnyalah yang merupakan generasi terbaik dalam mengimani Allah s.w.t."
Sekali lagi aku berhenti untuk melihat reaksi para jemaah. Sudah ada yang
berbisik-bisik dan merenung tajam kepadaku. Ayah pula sudah memberikan isyarat
supaya aku berhenti. Mungkin kerana waktu Isyak sudahpun tiba atau kerana tidak
sanggup mendengar patah-patah perkataanku yang seterusnya. Dan sebelum azan
Isyak, ayah mendekati aku.
"Sulaiman,
kau pulang sekarang juga. Tunggu aku di rumah".
******
Hari
ini aku akan pulang ke kampung. Pulang untuk satu cuti yang panjang. Cuti yang
tak mungkin kembali lagi ke sini kecuali dengan kehendak Allah s.w.t. Hari
terakhir aku di sini selepas menuntut ilmu selama 10 tahun memang merupakan
hari yang menyedihkan. Namun itulah adat kehidupan.
Aku
pulang tanpa memberitahu dulu keluargaku. Memang aku tidak mahu menyusahkan
mereka kali ini. Biarlah kepulanganku disedari hanya apabila aku sudah berada
di tangga rumah. Aku tidak akan kecil hati sekiranya tiada orang yang akan
menyambutku di lapangan terbang. Ingin aku beritahu mereka bahawa kepulanganku
kali ini dengan misi yang lain. Ayah, tidak akan kuulangi lagi kesilapanku.
Perjalanan
pulang kali ini kurasakan begitu lancar. Kecuali masa yang bagiku begitu lambat
beredar, yang lain tidak memberikan masalah kepadaku. Aku tiba ke kampung
halaman akhirnya dan orang yang pertama aku jumpa ialah ayah yang sedang dalam
perjalanan menuju ke masjid.
"Sulaiman,
kau pulang nak." Ayah menyambut salamanku lantas memeluk dan mencium
dahiku, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum ini.
"Ayah
apa khabar?"
"Alhamdulillah,
ayah sentiasa akur ketentuan Ilahi. Kau pulanglah ke rumah dahulu. mintalah
anak kunci almari kitab-kitab ayah dari ibumu. Katakan ayah yang menyuruh.
Mungkin ada yang akan berguna padamu."
Sekali
lagi aku menyalami tangan ayah yang terasa lebih lembut bagiku. Terasa sifat
penyayangnya padaku tidak pernah luntur.
"Dan
satu lagi Sulaiman, jangan kau sepahkan kitab-kitab yang tersusun kemas tu.
Ubahlah susunannya dengan baik, jangan sampai koyak." Pesan ayah sekali
lagi. Aku hanya mampu tersenyum.
Di
rumah aku dapati ramai tetamu yang datang. Ada di antaranya aku tidak kenal dan
kebanyakannya ialah wajah-wajah yang sering sembahyang di belakang ayah. Ibu
keluar dan menyambutku dengan esak tangisnya.
"Ibu,
apa khabar?" Ibu tidak menjawab.
"Ibu,
ayah berpesan supaya ibu memberikan kunci almari kitabnya kepada saya."
"Ayah?
Bila dia berpesan kepadamu?" Ibu bertanya kehairanan.
"Tadi
baru ibu, saya terserempak dengannya yang mahu ke masjid." Ibu memandang
tepat ke wajahku. Air mata ibu terus mengalir dan terus memelukku.
"Man,
ayah meninggal di masjid malam semalam. Sakit jantung. Jasad ayah masih di
dalam." Along terketar-ketar bersuara sambil menghulurkan kunci almari
ayah kepadaku.
Aku tergaman. Ayah? Kata-kata 'ayah' yang baru kutemui
masih terngiang-ngiang di telingaku.
"Kau
mintalah anak kunci almari kitab-kitab ayah dari ibumu.."
"Jangan
kau sepahkan kitab-kitab yang tersusun kemas tu. Ubahlah susunannya dengan
baik, jangan sampai koyak.."
Apakah
maksudnya?
TAMAT
- 19 Disember 2000