đHgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/cerpen4.htmgeocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/cerpen4.htmdelayedxŰEÔJ˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙Čŕ}ş?OKtext/html° h?˙˙˙˙b‰.HTue, 10 Dec 2002 00:17:26 GMTiMozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98)en, *ÚEÔJ? Cerpen : Sahabatku Seorang Syuhada'

Cerpen : Sahabatku Seorang Syuhada'

(oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari, Mac 2000)

Keperuntukkan untuk sahabat-sahabat seperjuanganku yang tidak semedan. Kawan, kita sama-sama berjuang...

“Engkaukah?”

“Ya, saya. Awak sudah tidak kenal saya, YB?”

“Muhammad..” Serentak dengan itu kurasakan ada sesuatu menitis ke bahuku. Terasa erat pelukan seorang sahabat yang sudah terpisah agak lama. 10 tahun berpisah tanpa berita dan khabar masih belum cukup untuk membuatkan diriku melupainya. Sungguh, peristiwa-peristiwa lalu kini bermain semula bagaikan wayang gambar dalam kepalaku. Pahit manis perjuangan seowang warga siswa di kampus adalah satu nostalgia yang amat jarang sekali aku mengingatinya semula kalaulah tidak disebabkan saat-saat sebegini.

“Agak mewah rumahmu sekarang, Yang Berhormat. Rumah pejuang?” Dia memulakan bicara dengan sindirannya yang memang sentiasa menghiasi kata-katanya.

“Kau bahagia sekarang, Yang Berhormat?”

“Muhammad, jangan panggil aku dengan nama itu. Gayat.”

“Kenapa? Bukankah kau sekarang seorang Yang Berhormat. Namakau sudah gah ke merata negara. Seorang lepasan sekolah tahfiz kini muncul sebagai seorang pemimpin muda yang bakal mewarisi kepimpinan ulama’. Kenapa pula kau harus gayat?”

“Muhammad, kalau orang lain mungkin boleh panggil aku dengan nama itu, Tapi kalau kau, baik tak usah. Kau sahabat aku, Muhammad. Jangan jadi orang lain.”

Dia kulihat tersenyum sinis. Memang gayanya tidak banyak berubah dari dulu. Cuma jambang yang memenuhi dagunya membuatkan diriku terkasima sebentar tadi.

“Muhammad, bagaimana dirimu sekarang. Kau kudengar sudah ke Timur Tengah dulu. Bila kau pulang?”

Air yang dihidangkan oleh isteriku diteguk perlahan-lahan. Bagaikan memikir sesuatu yang berat untuk disampaikan, dia bersandar sebentar di kusyen rumahku. Memang benar kata orang masa boleh merubah seseorang, tapi tidak untuk sahabat aku yang seorang ini, aku berkira-kira sendirian.

Memang sudah lama kami berpisah. Dia kukenali ketika bersama-sama menuntut di sebuah universiti tempatan. Aku, seorang lepasan tahfiz tempatan menjalinkan persahabatan dengan Muhammad, lepasan tahfiz dari Pakistan. Mungkin Al-Quran telah mepersaudarakan antara kami. Ya, memang kami merupakan sepasang sahabat yang rapat. Susah, senang dan segalanya dikongsi bersama. Namun sayang, ada sesuatu yang memisahkan kami. Ada sesuatu yang mencipta jurang yang lebar antara kami. Dan jurang itulah yang membawanya terpisah lebih kurang 10 tahun denganku. Aku dengan jalanku dan dia dengan pencariannya.

“Aku masih seperti dulu, Abdullah. Aku masih begini, seperti yang kau lihat sekarang.” Dia berhenti sebentar mendongak wajahnya ke syiling. Aku yakin ada sesuatu yang sedang bermain di kepalanya yang dililit dengan serban yang agak kemas. Terkenang, semasa kami sering bersama-sama ke mana jua ketika dulu. Dia tidak pernah kulihat menanggalkan serbannya. Sekarang serbannya masih begitu, cuma warnanya sudah diubah. Kulihat caranya berpakaian masih lagi seperti dulu. Wajahnya yang memang jernih dan anak matanya yang menikam boleh memukau sesiapa saja yang berbicara dengannya.

“Aku mengembara ke Timur Tengah dalam pencarian mencari kebenaran dalam perjuangan kita sebagai seorang hamba. Di sana, kutemui hakikat yang paling berharga. Aku semakin teguh dan yakin bahawa apa yang kuyakini selama ini adalah merupakan satu kebenaran.”

Aku sudah mengagak bahawa itulah yang akan diperkatakan olehnya. Mana mungkin dia merubah pendiriannya yang sudah diyakini lama dahulu.

“Adakah dengan kata-katamu itu, kau bermaksud untuk menidakkan kebenaran perjuanganku?”

“Tidak Abdullah. Bukan itu yang kumaksudkan. Cuma aku ingin menegaskan bahawa jalan yang kau pilih adalah cara yang bahaya. Kalau kau mengharapkan keredhaan Allah s.w.t, maka kau boleh terseleweng bila-bila masa sahaja apabila terhidang kemewahan di depan matamu..” Dia memandang tepat ke mataku, mungkin ingin menguatkan keyakinan pada kata-katanya.

“Manakala kalau kau mengharapkan kemenangan, maka impian itu jauh sekali akan kau capai dalam keadaan perjuanganmu seperti sekarang.”

“Muhammad. Kau seolah-olah mempertikai keikhlasanku?”

Dia tersenyum sinis sekali lagi. Tangannya yang lembut mengusap-ngusap bahuku dengan perlahan. Dia memang selalu begitu. Lembut tetapi tegas. Cukup berhemah dan mempunyai kepakaran untuk mencairkan kemarahan orang lain termasuk juga aku. Tapi untuk mengatakan dia seorang yang terlampau perlahan dalam setiap pergerakan dakwah, amat tidak tepat pada pandanganku.

“Apa yang aku ingin ingatkan kepadamu, lapangan politik yang kau ceburi amat payah sekali menjanjikan kemenangan padamu. Aku tahu kau juga inginkan Islam berdaulat. Dan memang itulah janji setia kita dahulu. Kita berjanji bersetia untuk berjuang untuk Islam dan mati juga untuk Islam. Tapi..”

“Tapi, cara yang aku lalui kurang betul, bukan? Bagaikan membersihkan tangki najis dengan terjun ke dalamnya, itu yang kau ingin katakan?”

Dia tersenyum semakin lebar.

“Abdullah, ternyata kau masih ingat perdebatan kita 10 tahun lampau. Kau memang cekap. Ya, kita seharusnya melihat sejarah. Kau berikan contoh kepadaku, di manakan Islam tertegak dengan jalan demokrasi seperti yang kauperjuangkan. Tidak ada, bukan?”

Di sini aku rasa aku terpaksa diam. Memang Muhammad seorang yang pandai berhujah. Masih kuingat ceramahnya yang bersemangat dan seringkali menjadikan kami terpesona dengan kepintarannya memutar kata.

“Kau lihat Refah di Turki dan FIS di Algeria. Adakah mereka sudah memenangi pilihanraya? Sudah. Adakah mereka diberi peluang memerintah? Tidak. Kenapa? Kerana cara ini merupakan ciptaan musuh-musuh Islam, dan apabila cara yang mereka cipta menggugat mereka, mereka akan bertindak. Abdullah, cuba kau jawab, adakah seandainya kumpulanmu berjaya dalam pilihanraya. Kau yakin kau akan diberi peluang memerintah? Lebih dari itu, kau yakin dengan cara kau ini, kau boleh meraih syahid?”

Melihat aku hanya membisu, semakin galak dia berhujah,

“Kerana itu, untuk mencapai kemenangan, kita harus gunakan cara yang lain.”

“Muhammad, kau mahu kami gunakan bom-bom peledak dan mencetuskan peperangan? Kau mahu kami lakukan rampasan kuasa secara kekerasan dan laksanakan Islam apabila kami berkuasa kelak?” Tidak adil rasanya kubiarkannya keseorangan berhujah.

“Kalau perlu, kenapa tidak?”

“Muhammad, kami tidak takut untuk melakukan demikian. Tapi kesannya yang kami ingin hindari. Bukankah kita masih mempunyai saluran-saluran tertentu untuk menegakkan Islam?”

“Saluran-saluran tertentu? Saluran mana? Saluran pilihanraya yang dicipta oleh musuh? Mereka di sana mempunyai agenda tersendiri. Kita yang terpedaya dan dan terus terpedaya. Dengan slogan keamanan dan kebebasan, mereka mengabui mata kita. Ingat Abdullah, musuh kita bukan di sini, tapi pihak kuffar dan dajal-dajal antarabangsa yang mengatur segala-galanya. Mereka tidak akan redha di mana-mana sahaja kebangkitan Islam berlaku dengan cara yang mereka cipta.”

“Habis apa yang kau mahu lakukan, Muhammad?” Suasana yang agak panas sebentar tadi kini kian kendur. Memang itulah tradisi kami. Perbahasan dan perdebatan adalah rutin yang sering dilalui sepanjang kami meniti persahabatan.

“Semarakkan api perjuangan yang sebenar. Tundukkan musuh-musuh dengan cara kita tersendiri. Gerakkan kuasa pemuda-pemuda. Bela mereka yang tertindas dan mencari syahid. Itu yang akan aku lakukan..” Tutur katanya kembali tegas dan bersemangat disertakan dengan kepalan penumbuknya menafikannya bermain-main dengan kata-kata.

“Abdullah, aku mohon diri. Selepas ini aku tidak akan berada di sini lagi. Aku harap kau teruskan perjuangan. Mungkin cara kita berbeza, namun matlamatnya adalah satu. Aku benar-benar berharap agar kau tidak mudah terseleweng. Itu harapanku, Abdullah.” Terasa dia memelukku dengan lebih erat dari tadi. Seorang sahabat yang dulunya sering bersama kini hanya mampu mengulanginya buat waktu-waktu yang terbatas sahaja.

“Muhammad, bila kita boleh bertemu lagi?”

“Insya-Allah s.w.t, aku akan hubungimu..” Selepas menghadiahkan satu lagi senyuman sinis untukku.

Terputus sekali lagi berita di antara kami. Semakin hari aku sibuk dengan perjuanganku. Memberi penerangan dan memperjuangkan kebenaran. Memang, kebangkitan rakyat sedang dan akan terus berlaku. Ia harus dibentuk menjadi kuasa yang menggugat sesiapa saja yang menentang Islam. Namun ia tidak mungkin dapat tegak dengan kekerasan. Tidak mungkin. Namun suatu hari terpampang berita di muka akhbar :

Grozny, 25 Jan - Seorang rakyat Malaysia dikenalpasti terlibat dalam serangan berani mati beberapa orang pejuang Chechen semalam. Serangan yang mengorbankan beribu-ribu tentera Rusia di sebuah kem itu dipercayai diketuai oleh seorang rakyat Malaysia, Muhammad bin Abdullah, 30 (gambar). Beliau yang merupakan anka kelahiran…….

Aku menutup akhbar. Perasaan terharu dan sedih bercampur gaul dalam benak hatiku membentuk satu perasaan yang sukar ditafsir. Tidak kusangka ini kesudahannya sahabatku yang seorang ini.

“Tahniah Muhammad…”

- untuk dimuatkan di dalam majalah Al-Hafiz Vol. II -

- Mac 2000