ًH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/ilmiah10.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/ilmiah10.htm delayed x قEشJ ےےےے ےےےےےےےےےےےےےےےےب à}؛ ‚9 OK text/html °h ‚9 ےےےے b‰.H Tue, 11 Mar 2003 04:41:08 GMT m Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * ـEشJ ‚9
Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kajian ini berjaya
disempurnakan di dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sesungguhnya tiada sebarang
urusan yang mampu diselesaikan kecuali dengan kehendak dan keizinan dariNya
semata-mata.
Saya
memilih untuk menulis di bawah tajuk Manhaj Dakwah Nabi Ibrahim Di Dalam
Al-Quran. Ia adalah berdasarkan kepada pemerhatian kepada
suasana masyarakat yang jelas sekali memerlukan kepada lahirnya golongan
pendakwah yang boleh berperanan dengan baik dalam menyebarkan mesej dakwah.
Namun, di dalam menyebarkan dakwah, golongan pendakwah sendiri sering terpesong
daripada manhaj-manhaj dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Islam sendiri.
Hasilnya, dakwah tidak berjaya disampaikan dengan sempurna atau pendakwah
sendiri gugur di dalam perjalanan dakwah. Senario ini akhirnya menjadi satu
fenomena biasa di kalangan masarakat menyebabkan kefahaman sebenar tentang
Islam tidak berjaya dipupuk dengan baik. Faktornya terlalu banyak, antaranya
ialah kegagalan memahami method dakwah seperti yang disarankan oleh Al-Quran
sebagaimana yang diamalkan oleh para nabi.
Oleh
kerana itulah, saya berusaha untuk sedikit sebanyak mencungkil permata-permata
pengajaran berharga yang boleh diambil daripada kisah dakwah nabi-nabi
khususnya Nabi Ibrahim yang terkenal dengan cubaan dan ujian-ujian yang
dihadapi di dalam hidupnya. Harapan saya ialah semoga usaha yang kecil ini
memberikan sedikit sumbangan kepada peradaban ilmu dan sekurang-kurangnya
memberikan sedikit panduan kepada golongan pendakwah masa kini.
Semoga
usaha yang kecil ini dikira sebagai amalan yang baik dan memperolehi ganjaran
di sisi Allah SWT.
- Ahmad Fadhli bin Shaari (9
Mac 2003)
Di samping memenuhi keperluan bagi mendapatkan diploma Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim ‘alahissalam sepanjang dakwahnya kepada manusia sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Manhaj-manhaj dakwah ini sekalipun bersumberkan daripada sumber yang sama dengan nabi-nabi yang lain, ia tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan nabi-nabi yang lain. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuklah suasana yang melingkungi penghidupan Nabi Ibrahim dan kerangka pemikiran masyarakat pada masa itu.
Manhaj dakwah Nabi Ibrahim sebagaimana yang akan dihuraikan di dalam kajian ini dianggap penting untuk dikenalpasti kerana kebanyakan daripada anggota masyarakat yang membaca Al-Quran dan mendengar kisah-kisah sejarah nabi-nabi, tidak menganggap bahawa pengajaran-pengajaran ini sebagai inti utama di dalam pengkisahan sejarah nabi-nabi. Adalah menjadi satu tabiat masyarakat yang hanya suka mendengar dan menghayati sebarang cerita yang disampaikan termasuklah oleh Al-Quran tanpa mengambil pengajaran untuk dijadikan panduan di dalam hidup seharian. Apatah lagi apabila ia melibatkan manhaj dakwah para nabi yang jarang sekali dicungkil dan dikenalpasti.
Manhaj-manhaj dakwah ini sesudah dikenalpasti dan disenaraikan diharap dapat dijadikan panduan kepada para pendakwah yang sentiasa bergerak di dalam mana-mana gerakan dakwah untuk menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat. Sekalipun suasana dan situasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim tentunya jauh berbeza daripada situasi yang dihadapi oleh para pendakwah pada masa sekarang, manhaj-manhaj yang digunakan oleh baginda tetap relevan untuk dijadikan sebagai panduan dan asas dalam menyebarkan mesej dakwah.
Secara umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua peringkat utama iaitu semasa baginda berada di negeri asalnya iaitu Iraq dan yang kedua ialah semasa berada di Palestin. Di dalam kajian ini, saya tidak berhajat untuk menyentuh secara langsung tentang kehidupannya di Palestin. Ini adalah memandangkan kehidupannya di Palestin sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran lebih menjurus kepada cubaan dan ujian terhadap diri dan keluarganya sendiri. Oleh yang demikian, kajian ini akan lebih menumpukan terhadap kehiduapn Nabi Ibrahim semasa di Iraq dan cubaan-cubaan yang dihadapi oleh baginda sebagai seorang individu dalam berdepan dengan satu sistem jahiliyyah yang mendasari kerangka pemikiran kaumnya. Tambahan pula, jika diikuti penceritaan tentang kisah Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran, dakwah Nabi Ibrahim terhadap orang lain lebih tertumpu kepada peringkat pertama di dalam kehidupannya. Ia termasuklah dakwah kepada ayah, kaum dan pemerintah di zamannya.
Kajian ini terbahagi kepada lima bab. Di dalam bab yang pertama, saya khususkan kepada pengenalan tentang diri Nabi Ibrahim secara umum sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab sejarah. Ini merangkumi nama dan keturunan keluarganya, negeri tempat baginda diutuskan dan juga pemerintah di zamannya. Perlu ditegaskan bahawa kebanyakan daripada fakta-fakta yang melibatkan Nabi Ibrahim secara peribadi tidak disahkan oleh mana-mana nas samada Al-Quran mahupun hadis, tetapi hanyalah merupakan pandangan-pandangan peribadi tokoh-tokoh sejarah berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh mereka.
Di dalam bab yang pertama ini juga, saya senaraikan perbincangan tentang Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran yang disebut namanya berulang kali oleh Allah SWT. Ini merangkumi jumlah sebutan nama baginda dalam setiap surah dan jumlah ayat yang mengandungi nama baginda di dalam Al-Quran. Ia diikuti dengan huraian secara ringkas bidang perbincangan pengkisahan Nabi Ibrahim yang disebut di dalam surah tersebut. Bagaimanapun, tidak semua surah yang menyebut nama Nabi Ibrahim dinyatakan satu persatu pengkisahannya di dalam bab ini. Ini kerana terdapat surah-surah tertentu yang hanya menyebut nama Nabi Ibrahim secara sepintas lalu di dalam satu ayat sahaja. Kebanyakan ayat-ayat sebegini tidak berperanan sebagai pengkisah tetapi hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai contoh ikutan kepada umat Islam.
Di dalam bab kedua, saya fokuskan kepada dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya sebagai permulaan kepada episod-episod lain di dalam kisah baginda. Di dalam Al-Quran, tempat terawal yang menceritakan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya ialah di dalam Surah Al-An’am iaitu dalam juzuk yang ketujuh. Manakala di dalam juzuk pertama sudah disebut kiah Nabi Ibrahim membina di Baitullah di Makkah. Walau bagaimanapun, turutan pengkisahan di dalam Al-Quran ini tidaklah bermakna turutan episod di dalam kehidupan Nabi Ibrahim. Berdasarkan kepada tafsiran terhadap ayat-ayat yang menceritakan tentang baginda di dalam Al-Quran, dapat disimpulkan bahawa mesej dakwah yang pertama yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim ialah kepada ayahnya sendiri dan kemudian kepada kaumnya.
Di dalam bab ini saya senaraikan beberapa manhaj dakwah Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan ayah dan kaumnya mengikut urutan peristiwa dan penyampaian dialog sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran. Anatara yang uatam ialah manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebagai seorang anak dan dalam masa yang sama juga sebagai seorang rasul di dalam berdepan dengan ayahnya yang merupakan seorang penyembah berhala di mana ia adalah merupakan salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan yang tidak terdapat di dalam kisah nabi-nabi yang lain. Begitu juga dengan kaedah penjelasan terhadap ketuhanan Allah SWT yang diambil oleh Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala. Hujjah demi hujjah dibentangkan supaya dapat mempengaruhi pemikiran kaumnya agar dapat menentukan akidah yang sejahtera.
Di dalam bab ketiga, saya khususkan kepada manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan seorang pemerintah atau raja yang mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Pemerintah tersebut yang tidak disebut namanya di dalam mana-mana nas sahih turut mengaku bahawa dirinya mempunyai kuasa untuk menghidupkan serta mematikan. Jika diperhatikan, Nabi Ibrahim tidak sahaja merupakan seorang pakar di dalam perdebatan mengenai soal-soal ketuhanan, malah baginda juga merupakan seorang yang berani berdepan dengan raja tersebut yang tentu sekali mempunyai kekuasaan dan boleh menguatkuasakan apa sahaja bentuk hukuman dengan serta merta.
Seterusnya di dalam bab keempat, saya peruntukkan untuk menyenaraikan manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim di dalam peristiwa penghancuran berhala-berhala sembahan kaumnya. Peristiwa yang terkenal ini mengandungi pelbagai babak yang bermula dengan perancangan Nabi Ibrahim yang berjaya mengelakkan diri dari menyertai hari raya kaumnya. Ia diikuti dengan tindakan Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya kecuali berhala yang paling besar. Seterusnya Nabi Ibrahim berdepan dengan kaumnya dalam satu mahkamah khas bagi menyiasat peristiwa yang berlaku ke atas berhala-berhala tersebut. Di sinilah berlakunya proses saling berhujjah antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya. Al-Quran menceritakan bahawa manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebenarnya sudah mendapat kejayaan namun kekufuran dan kedegilan menutup pintu hati kaumnya untuk menerima kebenaran. Peristiwa ini berakhir dengan hukuman mati yang dijatuhkan kepada Nabi Ibrahim dengan dibakar hidup-hidup. Sekali lagi Nabi Ibrahim memperlihatkan keyakinannya kepada Allah SWT dengan tidak sedikitpun gentar malah bertawakkal sepenuhnya kepada Allah SWT. Seterusnya Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT daripada hangus terbakar di tengah-tengah api yang marak menjulang. Kesemua babak di dalam peristiwa penghancuran berhala dan hukuman yang diterima oleh Nabi Ibrahim ini memperlihatkan satu persatu manhaj yang digunakan oleh baginda di dalam berdepan dengan kaumnya.
Akhir sekali, saya senaraikan di dalam bab kelima beberapa kesimpulan yang boleh diambil daripada pengkisahan tentang proses dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang disebut di dalam Al-Quran. Semuanya memperlihatkan contoh terbaik yang sepatutnya dijadikan panduan oleh para pendakwah pada zaman sekarang. Seandainya ia dapat dijadikan panduan di dalam menjalankan gerak kerja dakwah, pastinya mesej dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada sasaran dakwah.
PENGENALAN NABI IBRAHIM
AS DAN
PERBINCANGAN TENTANGNYA
DI DALAM AL-QURAN SECARA UMUM
Nama dan keluarganya
Baginda
ialah Ibrahim iaitu bapa segala nabi (abul abiya’) (Solah Al-Khalidi, 1997 1 : 311). Gelarannya ialah Ibrahim Khalilullah
berdasarkan kepada firman Allah SWT (An-Nisa’ : 125) :
واتخذ الله إبراهيم
خليلا
Maksudnya :
dan
Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.
Baginda diutuskan kepada penduduk negeri Iraq yang menyembah berhala
dan bintang-bintang (Solah Al-Khalidi, 1997 1 : 311). Menurut pendapat ahli sejarah, Nabi Ibrahim AS
diutuskan kepada penduduk Harran di Damsyik yang menyembah bintang-bintang
bertujuh dan juga berhala-berhala. Diceritakan pada masa tersebut, semua
penduduk di muka bumi kufur kepada Allah SWT kecuali Nabi Ibrahim, isterinya
Sarah dan anak saudaranya iaitu Nabi Lut AS.( Ibnu Kathir,
Al-Bidayah, t.t, 1 : 213).
Selain
daripada namanya, tidak disebutkan secara jelas tentang nama keturunannya di
dalam mana-mana nas samada Al-Quran atau As-Sunnah kecuali nama ayah baginda
yang disebut di dalam firman Allah SWT
(Surah Al-An’am, ayat 74) :
وإذ قال إبراهيم
لأبيه آزر أتتخذ أصناما آلهة
Maksudnya :
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim
berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala
sebagai tuhan-tuhan? ".
Selain daripada ayat tersebut, Imam Bukhari Rahimahulllah meriwayatkan
satu hadis yang menceritakan dialog Nabi Ibrahim AS dengan ayahnya di hari
kiamat:
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ بْنُ عَبْدِاللَّهِ قَالَ
أَخْبَرَنِي أَخِي عَبْدُالْحَمِيدِ عَنِ ابْنِ أَبِي ذِئْبٍ عَنْ سَعِيدٍ
الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى
اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَلْقَى إِبْرَاهِيمُ أَبَاهُ آزَرَ يَوْمَ
الْقِيَامَةِ وَعَلَى وَجْهِ آزَرَ قَتَرَةٌ وَغَبَرَةٌ ... إلخ
Maksudnya :
Daripada Ismail bin Abdullah berkata, telah mengkhabarkan
kepadaku saudaraku Abdul Hamid daripada Ibnu Abi Zi’b daripada Sa’id Al-Maqburiyy daripada Abu Hurairah
Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda : Ibrahim
akan berjumpa dengan ayahnya Aazar pada hari kiamat dan pada wajah Aazar
(tanda-tanda) penyesalan dan kekesalan… (Bukhari, Shahih, hadi
no. 3350)
Sekalipun nama ayah baginda disebut secara jelas di dalam ayat ini,
namun terdapat ahli-ahli sejarah yang mengatakan bahawa lafaz Aaazar
adalah satu lafaz yang digunakan kepada penyembah-penyembah berhala yang salah
satu dari berhala-berhala tersebut namanya ialah Aazar. Pendapat ini dipegang
oleh Ibnu Abbas, Ibnu Kathir dan beberapa ahli sejarah yang lain (Solah
Al-Khalidi, 1997, 1 : 215). Di dalam mebicarakan keturunan Nabi Ibrahim AS,
Ibnu Kathir mendatangkan nasabnya seperti berikut : Ibrahim bin Tarkh bin Mahur
bin Sarugh bin Ra’u bn Faligh bin ‘Abir bin Shalikh bin Arfakhshaz bin Sam bin
Nuh ‘Alaihissalam (Ibnu Kathir, Al-Bidayah, t.t, 1 : 212).
Bagaimanapun, Ibnu Jarir At-Thabari berpegang teguh dengan namanya
sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran iaitu Aazar.( At-Tobari, Tafsir, 1 :
222)
Pemerintah di zamannya
Tidak
disebut secara jelas di dalam Al-Quran tentang nama raja yang memerintah ketika
Nabi Ibrahim diutuskan. Bagaimanapun ada diceritakan bahawa pemerintah ini
kufur kepada ketuhanan Allah SWT, malah lebih jauh lagi mendakwa dirinya
mempunyai kuasa ketuhanan. Ini secara jelas disebut oleh Allah SWT (Surah
Al-Baqarah, ayat 258) :
ألم تر إلى الذي حاج
إبراهيم في ربه أن آتاه الله الملك إذ قال إبراهيم ربي الذي يحيي ويميت قال أنا
أحيي وأميت قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من المشرق فأت بها من المغرب فبهت
الذي كفر والله لا يهدي القوم الظالمين
Yang
bermaksud : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang
yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya,
kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim
berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia
menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim
berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh
itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu
(lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk
kepada kaum yang zalim.
Ayat ini dengan terus-terang menceritakan kedegilan pemerintah di zaman
Nabi Ibrahim AS yang mendakwa dirinya mempunyai sifat-sifat dan kuasa
ketuhanan. Namun tidak disebut apakah nama pemerintah tersebut. Manakala di
dalam beberapa riwayat Israiliyyat diceritakan bahawa nama pemerintah tersebut
ialah Namrud yang memerintah negeri Babil, kemudian Allah SWT akhirnya
menghancurkannya dengan diutuskan seekor nyamuk untuk memasuki kepalanya
melalui telinganya. (Dr. Solah Al-Khalidi, 1997, 1 : 337)
Bagaimanapun, memandangkan bahawa nama Namrud hanya disebut di dalam
riwayat Israiliyat sahaja dan tidak disahkan oleh mana-mana nas, maka adalah
lebih baik untuk kita menghentikan perbincangan tentangnya dan menerima fakta
ini sebagaimana yang diimani oleh para sahabat Radhiallahu ‘anhum.
Nabi Ibrahim AS Di Dalam
Al-Quran
Al-Quran
menyebut nama Ibrahim berpuluh-puluh kali, samada ketika mengisahkan dakwahnya
kepada kaumnya ataupun ketika menyebutnya secara umum bersama dengan nama-nama
nabi yang lain.
Berikut
ialah nama-nama surah yang menyebut nama Ibrahim dan bilangan sebutan namanya :
1.
Surah Al-Baqarah disebut namanya sebanyak 15 kali.
2.
Surah Ali Imran disebut namanya sebanyak 7 kali.
3.
Surah An-Nisa’ disebut namanya sebanyak 4 kali.
4.
Surah Al-An’am disebut namanya sebanyak 4 kali.
5.
Surah At-Taubah disebut namanya sebanyak 3 kali.
6.
Surah Hud disebut namanya sebanyak 4 kali.
7.
Surah Yusuf disebut namanya sebanyak 2 kali.
8.
Surah Ibrahim disebut namanya sebanyak 1 kali.
9.
Surah Al-Hijr disebut namanya sebanyak 1 kali.
10.
Surah An-Nahl disebut namanya sebanyak 2 kali.
11.
Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.
12.
Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.
13.
Surah Al-Hajj disebut namanya sebanyak 3 kali.
14.
Surah As-Syua’raa’ disebut namanya sebanyak 1 kali.
15.
Surah Al-Ankabut disebut namanya sebanyak 2 kali.
16.
Surah Al-Ahzab disebut namanya sebanyak 1 kali.
17.
Surah As-Shaffat disebut namanya sebanyak 3 kali.
18.
Surah Shad disebut namanya sebanyak 1 kali.
19.
Surah As-Syura disebut namanya sebanyak 1 kali.
20.
Surah Az-Zukhruf disebut namanya sebanyak 1 kali.
21.
Surah Adz-Dzariyat disebut namanya sebanyak 1 kali.
22.
Surah An-Najm disebut namanya sebanyak 1 kali.
23.
Surah Al-Hadid disebut namanya sebanyak 1 kali.
24.
Surah Al-Mumtahanah
disebut namanya sebanyak 2 kali.
25.
Surah Al-A’la disebut namanya sebanyak 1 kali.
Jika ditelitit dari fakta di atas, didapati bilangan surah yang disebut
nama Ibrahim di dalamnya ialah 25 surah dan jumlah ayat yang menyebut nama
Ibrahim ialah sebanyak 69 ayat. Sekalipun terdapat banyak surah-surah yang
menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS, setiap pengkisahan tersebut dibawa dalam
bentuk-bentuk yang berlainan. Ia boleh dirumuskan sebagaimana berikut :
1. Surah Al-Baqarah : Disebut kisah Nabi Ibrahim di dalam
Al-Quran sebanyak tiga kali iaitu kali pertama di dalam ayat 124-141. Ayat-ayat
ini menceritakan perkara-perkara berikut :
·
perlantikan Nabi Ibrahim AS dan keturunannya sebagai
pemimpin kepada manusia.
·
Perintah supaya dijadikan sebahagian daripada maqam Ibrahim
sebagai tempat bersolat.
·
Disebut juga di sini doa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi
Ismail selepas membina Kaabah.
·
Penegasan daripada Allah SWT bahawa agama Nabi Ibrahim ialah
agama Islam.
·
Wasiat Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya supaya menjadi
orang-orang Islam dan melarang mereka mati di dalam agama selain daripada agama
Islam.
·
Membincangkan tentang golongan Yahudi dan Nasrani yang mendakwa
bahawa mereka mengikuti agama Nabi Ibrahim.
·
Menegaskan keimanan orang-orang muslimin kepada Nabi
Ibrahim dan juga kepada nabi-nabi lain selepas Nabi Ibrahim.
·
Menolak dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi
Ibrahim dan rasul-rasul selepasnya adalah beragama Yahudi ataupun Nasrani dan
diikuti dengan penegasan bahawa Nabi Ibrahim dan rasul-rasul selepasnya
merupakan orang-orang muslimin.
Manakala di tempat kedua di dalam surah Al-Baqarah yang menceritakan
tentang Nabi Ibrahim AS ialah di dalam ayat 258. Ayat ini membicarakan tentang
perdebatan Nabi Ibrahim dengan seorang pemerintah di zamannya yang mendakwa
mempunyai kuasa ketuhanan.
Manakala di tempat yang ketiga ialah di dalam ayat 260. Ayat ini
mengisahkan permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT supaya menunjukkan
bagaimanakah Dia menghidupkan orang-orang yang sudah mati. Memandangkan
perbincangan tentang kisah ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan
dakwah Nabi Ibrahim AS, maka saya tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentangnya.
2. Surah Ali-Imran : Surah
ini tidak menceritakan episod-episod yang terdapat di dalam kisah Nabi Ibrahim
tetapi lebih menekankan tentang kelebihan dan kemuliaan Nabi Ibrahim di sisi
Allah SWT dan hakikat agama yang dianutinya. Di dalam ayat 33 , ditegaskan bahawa
Allah SWT memilih keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran dengan diberikan
kelebihan dan kemuliaan mengatasi umat-umat yang lain di dunia. Manakala
seterusnya di dalam ayat 65-68, Allah SWT menolak dakwaan orang-orang Yahudi
dan Nasrani bahawa Nabi Ibrahim menganuti agama mereka bahkan Nabi Ibrahim
ialah seorang yang bergama hanif. Hanif
bererti lurus. Ibnu Kathir Rahimahullah di dalam Tafsirnya menyebut
bahawa istilah ini sebagai satu penyataan bahawa Nabi Ibrahim suci bersih dari
sebarang amalan syirik dan beriman dengan keimanan yang sebenarnya. (Tafsir
Al-Quranul ‘Azim oleh Ibnu
Kathir, Jilid I, Darul Fikr, ms
457). Juga ditegaskan bahawa bahawa golongan yang paling hampir dengan Nabi
Ibrahim ialah orang-orang yang beriman dengannya daripada kaumnya dan diikuti
dengan Nabi Muhammad SAW dan umatnya.
Manakala
di dalam aat 95-97 pula, disebut tentang perintah Allah SWT kepada golongan
ahli kitab supaya mengikuti agama Nabi Ibrahim AS dan memeluk agama Islam. Kemudian diceritakan secara umum
pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim yang disifatkan sebagai binaan yang pertama
dibina untuk beribadat kepada Allah. Sebagai mengikuti sunnah Nabi Ibrahim ini,
diperintahkan kepada umat Islam agar melaksanakan ibadah haji ke Baitil Haram.
3. An-Nisa’ : Di dalam ayat 125 mengandungi pujian
kepada mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim yang lurus serta pengambilan Nabi
Ibrahim sebagai kekasih Allah.
4. Surah Al-An’am : Di dalam ayat 74-86, dibentangkan episod
awal dari dakwah Nabi Ibrahim AS iaitu dakwahnya kepada ayahnya dan juga kepada
kaumnya. Secara ringkasnya, ayat-ayat ini menceritakan dialog Nabi Ibrahim
dengan ayahnya Aazar yang merupakan penyembah berhala. Seterusnya diikuti
dengan dakwah Nabi Ibrahim terhadap kaumnya yang menjadikan bintang sebagai
tuhan. Disebut di dalam ayat-ayat ini kebijaksanaan Nabi Ibrahim AS yang
menggunakan hujah-hujah yang teguh dengan mendatangkan bukti-bukti berbentuk
aqliah tentang kebatilan ibadat kaumnya. Dengan hujah-hujah ini, maka jelaslah
bahawa sembahan kaumnya selama ini adalah salah sama sekali. Seterusnya disebut
secara umum nama-nama nabi yang lahir dari keturunan Nabi Ibrahim AS.
Kemudian
di penghujung surah ini iaitu di dalam ayat 161, ditegaskan bahawa agama Nabi
Ibrahim ialah agama hanif.
5. Surah At-Taubah : Di dalam ayat 114 didedahkan kedudukan
sebenar doa Nabi Ibrahim yang memohon supaya ayahnya diampunkan oleh Allah,
juga kedudukan Nabi Ibrahim yang berlepas diri dari kekufuran ayahnya sesudah
nyata bahawa ayahnya ialah musuh Allah.
6. Surah Hud :
Ayat 69 – 76 yang terdapat di dalam surah ini mengisahkan tentang kedatangan
para malaikat kepada Nabi Ibrahim AS dengan menyamar sebagai manusia. Nabi
Ibrahim yang tidak mengenali mereka telah menghidangkan makanan namun tidak
dijamah oleh mereka kerana sifat mereka sebagai malaikat tidak memungkinkan
mereka untuk makan. Seterusnya diceritakan pemberitahuan berita gembira kepada
Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah akan kehadiran cahaya mata yang bernama Ishak.
Kemudian diceritakan pula bahawa kedatangan para malaikat ini sebenarnya ialah
untuk menemui Nabi Lut AS yang merupakan anak saudara Nabi Ibrahim.
7. Surah Ibrahim :
Surah yang dinamakan dengan namanya sendiri ini mengandungi secara terperinci
doa Nabi Ibrahim kepada Allah SWT di dalam ayat 35-41. Doa yang dilafazkan oleh
Nabi Ibrahim ini antara lainnya mengandungi perkara-perkara berikut :
·
memohon supaya Allah SWT menjadikan tanah Mekah sebagai
tempat yang aman.
·
Supaya dijauhkan dirinya dan keturunannya dari menjadi
penyembah berhala.
·
Memohon supaya Allah SWT menjadikan hati manusia tertarik
untuk datang ke Tanah Haram selepas dinyatakan bahawa isteri dan anaknya telah
ditinggalkan di situ semata-mata supaya mereka mendirikan solat dan
melaksanakan perintah Allah SWT.
·
Memohon supaya dikurniakan penghuni-penghuni Tanah Haram
ini rezeki yang melimpah ruah.
·
Menyatakan syukurnya kepada Allah SWT di atas nikmat yang
telah diterima olehnya dan juga keturunannya.
8. Surah Al-Hijr :
Diceritakan di dalam ayat 51-60 tentang kedatangan malaikat kepada Nabi Ibrahim
AS. Kedatangan mereka dalam rupa bentuk manusia ialah bertujuan untuk
menyampaikan berita gembira kepada Nabi Ibrahim akan kelahiran seorang anak
lelaki dan juga berita tentang kaum Nabi Lut yang telah melampaui batas di
dalam kekufuran mereka kepada Allah SWT.
9. Surah An-Nahl : Di dalam ayat 120 dikhabarkan secara
ringkas bahawa Nabi Ibrahim ialah seorang yang taat kepada Allah (hanif)
dan tidak sekali-kali termasuk di kalangan orang-orang musyrikin. Manakala di
dalam ayat 123 mengandungi perintah supaya diikuti agama Nabi Ibrahim.
10. Surah Maryam : Surah Maryam menceritakan tentang Nabi
Ibrahim di dalam ayat 41-50. Ayat-ayat ini mengisahkan dakwah Nabi Ibrahim
kepada ayahnya supaya tidak kufur
kepada Allah SWT dan memasuki agama Islam. Namun ayahnya menolak dakwah
Nabi Ibrahim lalu Nabi Ibrahim mengasingkan diri dari bapanya dan dikurniakan
oleh Allah SWT dua orang anak iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak.
11. Surah Al-Anbiya’ : Surah
ini menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim AS di dalam ayat 51-73. Ia bermula
dengan penolakan Nabi Ibrahim terhadap ketuhanan berhala-berhala yang menjadi
sembahan bapa dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah terhadap agama Islam.
Seterusnya ayat-ayat ini menceritakan satu episod penting dalam kisah
Nabi Ibrahim iaitu peristiwa baginda menghancurkan berhala-berhala kecuali
berhala yang terbesar. Ia
seterusnya diikuti dengan perbicaraan terhadap Nabi Ibrahim yang menyaksikan
kemenangan berpihak kepada baginda yang menggunakan hujjah-hujjah yang kukuh
bagi menolak ketuhanan berhala-berhala yang menjadi sembahan kaumnya. Walaupun
demikian, Nabi Ibrahim tetap dihukum dengan dicampakkan ke dalam api tetapi
diselamatkan oleh Allah SWT.
Akhir sekali, Nabi Ibrahim keluar dari negeri tersebut bersama anak
saudaranya iaitu Nabi Lut ke ‘bumi yang diberkati’ iaitu Palestin dan
seterusnya dikurniakan dua orang anak iaitu Nabi Ishak dan Nabi Ismail.
12. Surah Al-Hajj : Di
dalam ayat 62-69, diceritakan
tentang satu episod dari kisah Nabi Ibrahim yang bersesuaian dengan nama
surah ini sendiri. Episod tersebut
ialah permulaan kepada ibadat haji yand diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS. Di
dalam ayat-ayat ini, diceritakan tentang pembinaan Masjidil Haram dan perintah
Allah kepada Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke Masjidil Haram
menunaikan haji dan mengagungkan syiar-syiar Allah. Di dalam ayat 78 yang merupakan ayat yang terakhir daripada
surah ini menyebut pula kaitan yang kuat antara umat Islam dengan Nabi Ibrahim
di mana nama ‘Islam’ itu sendiri adalah diberikan oleh Nabi Ibrahim AS.
13. Surah As-Syu’ara’ : Surah ini menceritakan tentang kisah
Nabi Ibrahim pada ayat 69-89. Ia mengandungi kisah dakwah Nabi Ibrahim kepada
ayah dan kaumnya. Seterusnya diikuti dengan ikrar daripada baginda yang
berlepas diri dari apa jua amalan syirik kaumnya.
14. Surah Al-Ankabut : Ayat
16-27 di dalam surah ini
menceritakan dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya supaya menyembah Allah dan
menolak amalan kaumnya yang mensyirikkan Allah. Berbeza dengan surah-surah yang
lain, di sini diceritakan bagaimana Nabi Ibrahim turut memperkenalkan
sifat-sifat Allah kepada kaumnya. Namun segala penjelasan ini ditolak oleh
kaumnya malah diancam untuk dibunuh atau dibakar. Namun Nabi Ibrahim
diselamatkan oleh Allah dari segala perancangan orang-orang kafir. Seterusnya
Nabi Ibrahim bersama-sama dengan Nabi Lut berhijrah ke Palestin dan dikurniakan
oleh Allah seorang anak iaitu Nabi Ishak yang dari keturunannya lahir Nabi
Yaakub.
15. Surah As-Shaffat : Ayat
83-113 daripada surah ini menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim dikurniakan hati
yang sejahtera. Seterusnya dikisahkan bagaimana dakwah Nabi Ibrahim yang
menolak amalan kaumnya yang mensyirikkan Allah. Ia diikuti dengan peristiwa
penghancuran berhala dan ekoran daripada itu, Nabi Ibrahim dihukum dengan
dibakar hidup-hidup. Bagaimanapun, baginda diselamatkan oleh Allah seterusnya
dikurniakan anak yang bernama Ismail.
Seterusnya
ayat-ayat ini menceritakan saat-saat getir yang dilalui oleh Nabi Ibrahim
apabila diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Di sini, Nabi Ibrahim
berjaya membuktikan ketaatannya kepada Allah. Diceritakan juga tentang anaknya
yang lain iaitu Nabi Ishak yang juga diangkat menjadi nabi dan dimuliakan Allah
keturunannya.
16. Surah Az-Zukhruf : Di
dalam ayat 26 disebut perkhabaran tentang Nabi Ibrahim yang tidak akan
dipersoalkan tentang kekufuran kaumnya.
17. Surah
Adz-Dzariyaat :
Surah ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim di dalam ayat 24-34. Ia dimulakan dengan
kisah para malaikat yang datang kepada Nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita
gembira kepadanya akan kelahiran cahaya matanya, Nabi Ishak. Dinukilkan di
dalam ayat ini kehairanan isteri Nabi Ibrahim apabila mendengar berita
tersebut. Seterusnya, para malaikat tersebut memberitahu Nabi Ibrahim tentang
bala yang akan ditimpakan kepada umat Nabi Lut.
18. Surah Al-Hadid :
Ayat 26 mengandungi isyarat kepada kenabian Nabi Nuh dan Ibrahim serta
keturunan mereka yang mewarisi nubuwwah.
19. Surah Al-Mumtahanah
: Surah ini membicarakan tentang Nabi Ibrahim di dalam ayat
4-6. Ayat ini memperkatakan tentang kedudukan iman Nabi Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya yang beriman serta pelepasan mereka daripada kaum mereka
yang kufur. Juga disebut kemurkaan Allah kepada orang-orang kafir sehinggalah
mereka beriman kepadaNya. Dinukilkan juga perintah kepada orang-orang mukmin
supaya mencontohi Nabi Ibrahim dan menerangkan kedudukan sebenar doa Nabi
Ibrahim kepada ayahnya.
Selain
daripada surah-surah yang telah disenaraikan, turut disebut nama Nabi Ibrahim
secara umum samada bersama dengan nama-nama nabi yang lain atau pujian
terhadapnya dan nabi-nabi yang lain secara sepintas lalu atau sebagainya.
Antaranya ialah surah Yusuf (ayat 6 dan 38), Al-Ahzab (ayat 7), Shad (ayat 45),
As-Syura (ayat 13), An-Najm (ayat 37)dan Al-A’la (ayat 19).
Peringkat-peringkat
Dakwah Nabi Ibrahim ‘Alahissalam
Melalui
penceritaan tentang Nabi Ibrahim yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran,
kita dapat membuat satu kesimpulan bahawa kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi
kepada beberapa peringkat. Begitu juga dengan dakwah dan seruan Nabi Ibrahim
kepada manusia di zamannya, turut terbahagi kepada beberapa peringkat.
Secara
umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua peringkat yang utama
sebagaimana berikut :
Peringkat pertama : Dakwahnya di negerinya yang asal iaitu negeri
Iraq. Di sinilah dilakukan seruan dakwah seperti yang diceritakan oleh Al-Quran
iaitu dakwah kepada ayah dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah kepaad
pemerintah yang zalim. Namun, apabila seruan dakwahnya ditolak, Nabi Ibrahim
mengambil tindakan menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia
mengakibatkan dirinya dihukum bakar namun diselamatkan oleh Allah SWT.
Apabila telah jelas kaumnya tidak akan menerima dakwahnya, Allah SWT
memerintahkan Nabi Ibrahim berhijrah ke negeri yang lain iaitu Palestin.
Peringkat kedua : Dakwahnya di bumi yang
diberkati iaitu Palestin. Di dalam perjalanan hijrahnya ke Palestin, baginda
ditemani oleh anak saudaranya iaitu Nabi Lut. Selepas itu, mereka hidup
berdekatan antara satu sama lain di mana Nabi Ibrahim berada di Quds manakala
Nabi Lut berada di sebelah timur.
Di dalam peringkat ini jugalah kita mendapati Nabi Ibrahim bermusafir
bersama dengan isterinya Sarah ke Mesir dan dihadiahkan seorang jariah yang
bernama Hajar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW. Di peringkat ini jugalah
berlakunya peristiwa baginda didatangi oleh malaikat bagi membawa berita
gembira tentang kelahiran Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta bencana yang akan
menimpa kaum Nabi Lut.
Di peringkat ini jugalah Nabi Ibrahim dikurniakan anak yang pertama
iaitu Nabi Ismail yang lahir dari Hajar. Selepas itu, Allah memerintahkan
supaya Nabi Ibrahim membawa kedua-duanya ke tanah Hijjaz lalu ditinggalkan di
tanah yang kering kontang tanpa air dan tumbuhan.
Selepas beberapa tahun, Nabi Ibrahim dibenarkan untuk menziarahi
kedua-duanya di Tanah Haram di mana ketika itu Nabi Ismail sudahpun meningkat
remaja. Di ketika inilah Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya
yang kemudiannya digantikan oleh Allah dengan sembelihan yang besar.
Selepas beberapa tahun pula, sekali lagi lagi Nabi Ibrahim ke Tanah
Haram untuk mendirikan Kaabah sebagai tempat untuk menyembah Allah yang pertama
di muka bumi. Selepas Kaabah selesai didirikan, Nabi Ibrahim menyeru manusia
untuk datang menunaikan haji.
Apabila Nabi Ibrahim kembali semula ke Palestin, baginda tinggal di
situ sehinggalah diwafatkan oleh Allah SWT.
Di sini kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kebanyakan cabaran yang dihadapi
oleh Nabi Ibrahim di dalam dakwahnya ialah semasa di peringkat yang pertama.
Ini kelihatan dengan jelas di mana di peringkat inilah Nabi Ibrahim berdepan
dengan ayah, kaum dan pemerintah di zamannya. Pihak-pihak ini kesemuanya
menolak dakwah Nabi Ibrahim sehingga mengakibatkan Nabi Ibrahim terpaksa
menggunakan pelbagai cara dan manhaj supaya dakwahnya diterima.
Manakala di peringkat yang kedua, tidak kelihatan dengan jelas
fakta-fakta dakwah Nabi Ibrahim kecuali beberapa siri ujian yang lebih menfokus
terhadap dirinya sendiri. Ujian-ujian tersebut termasuklah perintah
meninggalkan anak dan isterinya di tanah yang kering kontang tanpa sebarang
makanan dan perintah supaya menyembelih anaknya sendiri serta ujian-ujian yang
lain.
Oleh yang demikian, saya akan lebih menekankan kepada manhaj dakwah
Nabi Ibrahim semasa berada di peringkat pertama memandangkan kebanyakan dakwah
Nabi Ibrahim yang disebut di dalam Al-Quran adalah berkisar di peringkat
tersebut.
BAB KEDUA : DAKWAH NABI IBRAHIM
KEPADA AYAH DAN KAUMNYA
Allah SWT mengutuskan Ibrahim sebagai nabi dan rasul kepada umatnya.
Dan gerak kerja dakwah pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim ialah dakwah
kepada ayahnya sendiri.
Nabi
Ibrahim memilih ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama berdasarkan
kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat dengannya. Oleh yang
demikian, Nabi Ibrahim berusaha sedaya mungkin agar orang yang rapat dengannya
ini terselamat dari kesesatan yang nyata. Al-Quran menceritakan dialog Nabi
Ibrahim dengan ayahnya di dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran. Antaranya
ialah firman Allah SWT (Maryam : 41 – 47) :
واذكر في الكتاب
إبراهيم إنه كان صديقا نبيا (41)
إذ قال لأبيه ياأبت لم تعبد ما لا يسمع ولا يبصر ولا يغني عنك
شيئا (42) ياأبت
إني قد جاءني من العلم ما لم يأتك فاتبعني أهدك صراطا سويا
(43) ياأبت لا تعبد الشيطان إن الشيطان كان
للرحمان عصيا (44)
ياأبت إني أخاف أن يمسك عذاب من الرحمان فتكون للشيطان وليا
(45) قال أراغب أنت عن آلهتي ياإبراهيم لئن لم تنته لأرجمنك واهجرني مليا (46) قال سلام عليك سأستغفر لك ربي إنه كان بي
حفيا (47)
Maksudnya
:
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran)
ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi
menjadi Nabi. Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa
ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat
menolongmu sedikitpun? " Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku
dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku;
aku akan memimpinmu ke jalan yang betul. " Wahai ayahku, janganlah ayah
menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang
melimpah-limpah rahmatNya. " Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa
ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang
lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam
neraka". (Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku,
wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan
menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah
lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa". Nabi Ibrahim berkata:
" Selamat tinggal ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu;
sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.
Selain daripada ayat di ayat, disebut tentang dakwah Nabi Ibrahim
kepada ayahnya juga di dalam Surah Al-An’am ayat 74. Nabi Ibrahim memulakan
dakwah kepada ayahnya selaku orang yang paling rapat dengannya. Ayah Nabi Ibrahim
ialah seorang yang musyrik dan menyembah berhala sebagaimana yang disebut
secara jelas di dalam Al-Quran. Terdapat beberapa pendapat di kalangan ulama
yang menyatakan bahawa orang diseru oleh Nabi Ibrahim itu bukanlah ayahnya,
bahkan bapa saudaranya. Ini kerana adalah tidak mungkin Nabi Ibrahim yang
merupakan abul-anbiya’ (bapa para nabi) berbapakan seorang musyrik dan
menyembah berhala.
Namun pendapat ini bukan merupakan pendapat yang rajih di kalangan
ulama mufassirin. Ini kerana Allah SWT dengan jelas sekali menggunakan lafaz أبيه yang membawa makna ayah dan bukan sesekali makna selain dari
itu. Manakala persoalan hidayah ialah urusan Allah SWT. Jika tidak demikian,
maka mustahil jugalah Nabi Nuh dan Nabi Lut beristerikan seorang yang kufur
kepada Allah. Malah anak Nabi Nuh sendiri menolak dakwah bapanya. Manakala Nabi
Muhammad SAW berbapa saudarakan seorang yang musyrik dan memusuhi Islam. Ini
semua menunjukkan bahawa persoalan hidayah dan petunjuk ialah urusan Allah SWT
dan seorang manusia terlepas daripada dosa kekufuran manusia yang lain.
Namun, dakwah Nabi Ibrahim ini ditolak mentah-mentah oleh ayahnya malah
diancam untuk dilontar dengan batu dan diusir daripada rumahnya. Nabi Ibrahim akhirnya mengambil
pendirian untuk berpisah daripada ayahnya dan berjanji untuk mendoakan
keampunan kepada ayahnya.
Selepas itu, Nabi Ibrahim menujukan dakwah kepada kaumnya yang
merupakan penyembah cakerawala (Solah Al-Khalidi 1997 : 330 & 331). Allah
SWT menceritakan peristiwa dialog
ini di dalam Surah Al-An’am, ayat 76 – 81 :
فلما جن عليه الليل
رأى كوكبا قال هذا ربي فلما أفل قال لا أحب الآفلين(76)فلما رأى القمر بازغا قال
هذا ربي فلما أفل قال لئن لم يهدني ربي لأكونن من القوم الضالين(77) فلما رأى
الشمس بازغة قال هذا ربي هذا أكبر فلما أفلت قال ياقوم إني بريء مما تشركون(78)إني
وجهت وجهي للذي فطر السماوات والأرض حنيفا وما أنا من المشركين(79)وحاجه قومه قال
أتحاجوني في الله وقد هداني ولا أخاف ما تشركون به إلا أن يشاء ربي شيئا وسع ربي
كل شيء علما أفلا تتذكرون(80)وكيف أخاف ما أشركتم ولا تخافون أنكم أشركتم بالله ما
لم ينزل به عليكم سلطانا فأي الفريقين أحق بالأمن إن كنتم تعلمون(81)
Maksudnya
:
Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia
melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah
Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula:
"Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". Kemudian apabila
dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah
Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi
sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya
menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat
matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah
Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `
Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu
sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku
kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar
tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain)". Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata:
"Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah
memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang
bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki
sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap
sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran? "Dan bagaimanakah
aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat
mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah
sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan
kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih
berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"
Sesetengah
ahli mufassirin menyebut bahawa peristiwa yang diceritakan oleh Allah SWT di
dalam ayat-ayat di atas ialah persitiwa di mana Nabi Ibrahim sedang
mencari-cari tuhannya. Di antara yang mengemukakan pendapat sebegini ialah
At-Thabari (At-Thabari, Tafsir, 5 : 324) dan Syed Qutb. Namun, kebanyakan ahli
mufassirin menyatakan bahawa ayat-ayat ini sebenarnya menceritakan tentang
dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala dan
berhala. Dalam erti kata lain, Nabi Ibrahim cuba menggunakan hujjah-hujjah yang
nyata dan menggerakkan pemikiran kaumnya agar menggunakan akal yang sihat untuk
menentukan kebenaran di dalam soal keyakinan dan aqidah (Ar-Razi, Tafsir, 7 :
51). Manakala baginda sendiri pada masa
itu sudahpun dilantik menjadi nabi dan rasul oleh Allah SWT. Selain
daripada Surah Al-An’am, dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya juga disebut oleh
Allah SWT di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 69 – 82 dan Surah Al-Anbiyaa’, ayat
51 – 56.
Manhaj-manhaj Dakwah
Di
dalam bahagian dakwah Nabi Ibrahim yang pertama seperti yang diceritakan di
dalam Al-Quran ini, baginda menggunakan pelbagai manhaj yang sesuai dengan
sasaran dakwah iaitu bapanya sendiri.
Sebagai
langkah pertama, Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan hujah dan ajakan supaya
ayahnya berfikir dan membuat penilaian tentang amalan penyembahan berhala yang
diamalkan selama ini. Dimulakan ajakan tersebut dengan perkataan أبت yang bermaksud ayah kesayanganku.
Perkataan sebegini dianggap begitu penting dalam urusan penyampaian dakwah
supaya sasaran dakwah merasakan bahawa dakwah yang disampaikan adalah untuk
kebaikan dirinya sendiri. Ia adalah bertujuan menyelamatkan dirinya dari
menjadi bahan kemurkaan Allah SWT di akhirat kelak.
Nabi
Ibrahim seterusnya menegaskan bahawa berhala yang disembah oleh ayahnya selama
ini sama sekali tidak dapat mendatangkan sedikitpun apa-apa kebaikan dan
mudharat kepada penyembahnya. Ia juga tidak dapat menepis apa-apa jua kemudharatan
yang akan menimpa dirinya sendiri. Gesaan sebegini adalah bertujuan supaya
ayahnya berfikir faedah apakah yang diperolehi dengan menyembah berhala yang
tidak lebih daripada batu-batu atau kayu-kayu yang tidak dapat mendatangkan
mudharat walaupun sedikit. Bukan mudah untuk seorang penyembah berhala yang
sudah menjadikan amalan penyembahan berhala sebagai satu amalan zaman berzaman
untuk menganggap bahawa dirinya sedang melakukan amalan yang sia-sia. Perubahan
paradigma yang dituntut oleh Nabi Ibrahim ini ialah satu perubahan pemikiran
yang sukar sekali untuk dilakukan oleh ayahnya sendiri. Ekoran daripada itulah,
Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan bahasa yang paling baik dan lembut
apabila menyampaikan mesej dakwah ini.
Di
dalam proses untuk mengajak ayahnya meninggalkan amalan penyembahan berhala ini
juga, Nabi Ibrahim menegaskan bahawa ajakan ini berpunca dari kebimbangannya
bahawa ayahnya akan diseksa oleh Allah SWT akibat kekufurannya. Inilah sifat
seorang pendakwah yang melakukan gerak kerja dakwah semata-mata kerana Allah
SWT. Seorang pendakwah semestinya mempunyai rasa belas ihsan di dalam hatinya
terhadap sasaran dakwah. Seruan dakwah dilakukan ialah kerana ingin
menyelamatkan manusia dari azab seksa di akhirat akibat dari kekufuran di muka
bumi ini. Perasaan kasih dan sayang inilah yang menjadikan sasaran dakwah
sepatutnya terkesan dengan dakwah yang disampaikan kepada mereka. Adalah
mustahil mereka boleh menolak seruan dakwah sedangkan begitu jelas disedari
bahawa seruan dakwah tersebut ialah untuk kebaikan mereka sendiri semata-mata.
Namun,
seruan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu tetap ditolak mentah-mentah malah
ayahnya mengancam untuk melontarnya dengan batu sekiranya dakwah tersebut tidak
dihentikan. Inilah ujian pertama di dalam kehidupan dakwah Nabi Ibrahim dan
ternyata ia berjaya ditempuhi dengan tabah sebagaimana seharusnya seorang
pendakwah yang sebenar.
Seterusnya
apabila Nabi Ibrahim dihalau keluar oleh ayahnya, baginda berjanji untuk
memohon keampunan kepada Allah SWT di atas keingkaran bapanya yang enggan
menerima kebenaran. Di sini, Nabi Ibrahim menunjukkan dengan jelas bagaimana
perasaan sayangnya yang begitu mendalam terhadap ayahnya sekalipun seruannya
telah ditolak mentah-mentah. Perasaan inilah yang mendorong Nabi Ibrahim
memohon supaya Allah mengampunkan dosa-dosa ayahnya. Bagaimanpun, apabila sudah
nyata dan jelas bahawa ayahnya ialah musuh Allah SWT, maka baginda berhenti
memohon keampunan. Allah SWT menjelaskan
perkara ini di dalam firmanNya (At-Taubah : 114) :
وما كان استغفار
إبراهيم لأبيه إلا عن موعدة وعدها إياه فلما تبين له أنه عدو لله تبرأ منه إن
إبراهيم لأواه حليم
Maksudnya
:
Dan
bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya
janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim
bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya
Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.
Sifat
Nabi Ibrahim yang ingin memohon ampun daripada Allah SWT menjelaskan satu lagi
manhaj pendakwah iaitu tidak memutuskan sebarang talian silaturrahim dengan
sasaran dakwah sekalipun berlainan agama. Walalupun demikian, kasih sayang dan
tali persaudaraan haruslah wujud satakat mana yang dibenarkan oleh Islam
sendiri. Ini sesuai dengan firman Allah SWT (Al-Mujadalah, 22) :
لا تجد قوما يؤمنون
بالله واليوم الآخر يوادون من حاد الله ورسوله ولو كانوا آباءهم أو أبناءهم أو
إخوانهم أو عشيرتهم أولئك كتب في قلوبهم الإيمان وأيدهم بروح منه..(الأية)
Maksudnya :
Engkau
tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan
RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau
anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka
(yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah
menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya…
Nabi
Ibrahim kemudiannya menujukan dakwah kepada kaumnya yang merupakan penyembah
cakerawala. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, dialog Nabi Ibrahim yang disebutkan di dalam Surah
Al-An’am, ayat 76 – 81 tersebut bukanlah peristiwa pencarian tuhan seperti yang
disebutkan oleh beberapa mufassirin namun merupakan dialog di antara Nabi
Ibrahim dengan kaumnya. Dalam erti kata lain, kata-kata tersebut ialah
sebahagian daripada perdebatan antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya tentang
ketuhanan.
Ketika
Nabi Ibrahim berkata "Inikah Tuhanku?", ia bukanlah merujuk
kepada Nabi Ibrahim sendiri yang sedang mencari-cari tuhan, namun ia merujuk
kepada kenyataan dan persoalan yang diajukan oleh Nabi Ibrahim kepada kaumnya, adakah bintang, bulan dan
matahari yang kamu jadikan sebagai tuhan ini merupakan tuhan yang sebenarnya?
Sesungguhnya ini semua sama sekali tidak layak disembah sebagai tuhan kerana ia
boleh muncul dan tenggelam (Solah Al-Kahlidi, 1997 : 331 – 332). Ini
berdasarkan kepada susunan ayat di dalam Surah Al-An’am iaitu sebelum Allah SWT
menceritakan tentang dialog Nabi Ibrahim, telah ditegaskan di dalam aat 76
bahawa Nabi Ibrahim sudah termasuk di dalam golongan muqinin yang
bermaksud orang-orang yang yakin.
Semasa
berdepan dengan kaumnya, Nabi Ibrahim juga menggunakan hujjah-hujjah yang
bertujuan untuk menggerakkan akal dan minda kaumnya supaya berfikir secara
rasional dalam menentukan pendirian di dalam soal aqidah. Ini adalah kerana
pemikiran yang rasional pastinya menolak ketuhanan cakerawala yang disembah
sebagai tuhan sedangkan ia mempunyai sifat kekurangan iaitu timbul dan
tenggelam.
Nabi Ibrahim juga menggunakan manhaj yang tidak tergesa-gesa di dalam menyampaikan mesej dakwah. Semua mesej dakwah disampaikan secara teratur dan tersusun bagi memudahkannya difahami dengan jelas oleh sasaran dakwah. Setiap hujjah yang disampaikan mempunyai susun atur yang tersendiri. Seandainya Nabi Ibrahim tergesa-gesa di dalam menyampaikan mesej dakwah, pasti ia akan dapat dibantah seterusnya ditolak tanpa sebarang pertimbangan oleh kaumnya.
BAB KETIGA : NABI
IBRAHIM BERDAKWAH KEPADA SEORANG RAJA
Allah SWT menceritakan episod dakwah Nabi Ibrahim ini di dalam Surah
Al-Baqarah, ayat 258 :
ألم تر إلى الذي حاج
إبراهيم في ربه أن آتاه الله الملك إذ قال إبراهيم ربي الذي يحيي ويميت قال أنا
أحيي وأميت قال إبراهيم فإن الله يأتي بالشمس من المشرق فأت بها من المغرب فبهت
الذي كفر والله لا يهدي القوم الظالمين
Maksudnya
:
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang
orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai
Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi
Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang
mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan
mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah
menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?"
Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah),
Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.
Ini ialah peringkat seterusnya dalam usaha dakwah Nabi Ibrahim. Selepas
daripada Nabi Ibrahim berdakwah kepada ayahnya di dalam peringkat permulaan dan
kemudiannya kepada kaumnya di dalam peringkat kedua, Nabi Ibrahim meneruskan
usaha dakwahnya kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu kepada raja
kaumnya. Disebut oleh para
mufassirin bahawa selepas Nabi Ibrahim menyampaikan dakwah kepada ayah dan kaumnya, dakwah
tersebut tersebar sehinggalah sampai ke pengetahuan seorang raja di zamannya
yang mengaku mempunyai kuasa ketuhanan.
Lalu berlakulah dialog dan perdebatan di antara Nabi Ibrahim dengan raja
tersebut tentang ketuhanan.
Tidak disebut di dalam mana-mana nas dengan jelas nama raja tersebut.
Juga tidak terdapat sebarang dalil yang menyokong mana-mana keterangan di dalam
Al-Quran mahupun hadis. Selain dari itu, tidak juga terdapat keterangan tentang
kekuasaannya, nama kerajaannya dan lain-lain.
Di dalam beberapa riwayat Israiliyyat, disebut bahawa nama raja
tersebut ialah Namrud (Solah Al-Khalidi, 1997 : 337). Nama Namrud ini juga
turut diriwayatkan dari beberapa sahabat termasuk Ali bin Abi Talib (Sayuti,
Tafsir, 2 : 24). Namun tentu sekali ia tidak dapat diyakini memandangkan
sumbernya yang diragui serta sandarannya yang tidak berdasarkan kepada
mana-mana nas Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW.
Apa yang boleh dipercayai ialah raja tersebut tentunya seorang yang
kafir, mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan, dan manusia di zamannya
menjadikan dirinya sebagai salah satu tuhan yang disembah. Lalu Nabi Ibrahim
berhadapan dengannya di dalam satu majlis perdebatan bagi menentukan kebenaran
dan kebatilan di sebalik segala dakwaaan raja tersebut.
Nabi Ibrahim memulakan hujjahnya dengan mengatakan bahawa tuhannya
iaitu Allah SWT berupaya untuk menghidupkan dan mematikan. Raja tersebut
seterusnya membalas bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan. Lalu dia
memerintahkan supaya didatangkan dua orang lelaki yang sudah dijatuhi hukuman
mati, kemudian diperintahkan supaya dibebaskan salah seorang lelaki tersebut
manakala seorang lagi dibunuh. Raja tersebut seterusnya menegaskan bahawa
itulah maksud bahawa dia juga berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan (Ibnu
Kathir, 1994 : 386).
Nabi Ibrahim beralih kepada hujjah yang kedua di mana baginda
menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa untuk mendatangkan matahari daripada timur
dan menenggelamkannya di arah Barat. Raja tersebut dicabar untuk mendatangkan
matahari dari arah Barat bagi menunjukkan bahawa dia lebih berkuasa daripada
Allah SWT. Raja tersebut tidak dapat memenuhi cabaran itu lalu seterusnya hanya
mampu berdiam diri (Ibnu Kathir, 1994 : 386).
Namun demikian, dia tetap juga tidak beriman dengan Nabi Ibrahim.
Manhaj-manhaj Dakwah
Berdepan
dengan penguasa untuk menyatakan kebenaran bukanlah satu tugas yang senang
untuk dilakukan. Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan kesusahan dan
kemudharatan sekiranya pendakwah tidak benar-benar yakin kepada Allah SWT. Nabi
Ibrahim terbukti terdiri daripada kalangan orang-orang yang yakin kepada Allah
SWT apabila baginda berani berdiri berdepan dengan raja yang mengaku dirinya
mempunyai kuasa ketuhanan.
Oleh
kerana itulah , Allah SWT menyifatkan peristiwa ini sebagai peristiwa yang
penting dan memulakan kisah tersebut dengan perkataan ألم
تر yang bermaksud Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai
Muhammad). Sekalipun ayat ini ditujukan dengan Nabi Muhammad SAW, namun ia jelas
sekali meminta supaya pembaca-pembaca Al-Quran mengambil iktibar dari peristiwa
perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan raja tersebut. Apa yang penting ialah
bagaimana keyakinan dan kekuatan hujjah Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan
seorang yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Dalam hal ini, butiran peribadi raja
tersebut tidak disebut dengan jelas kerana itu bukanlah tujuan penceritaan
peristiwa tersebut.
Nabi
Ibrahim memulakan hujjah dengan menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa untuk
menghidupkan dan mematikan. Sebagaimana yang telah sedia maklum bahawa
persoalan kematian dan kehidupan ialah persoalan penting dalam kehidupan
manusia. Malah jika dilihat secara jujur, sepatutnya tidak ada seorangpun di
kalangan manusia yang mendakwa dirinya mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan
mematikan. Pastinya manusia mengetahui bahawa bukan dirinya yang menghidupkan,
memberi rezeki, menetapkan jodoh dan takdir dan juga mendatangkan kematian.
Nabi Ibrahim memilih persoalan semudah ini untuk membuktikan bahawa Allah SWT
merupakan tuhan yang berhak disembah. Hujjah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim
mengandungi satu pengajaran bahawa untuk memulakan sebarang usaha dakwah,
hujjah dan proses pembuktian haruslah berlegar sekitar persoalan-persoalan yang
mampu difikirkan oleh sasaran dakwah.
Sepatutnya
hujjah pertama daripada Nabi Ibrahim sudah mampu untuk menyedarkan raja
tersebut betapa kerdilnya kuasa yang dia miliki. Namun, kepentingan untuk terus
berkuasa sebagai tuhan yang disembah manusia mengaburi hati sehingga tidak dapat
menerima kebenaran hujjah Nabi Ibrahim. Lantaran itu, raja tersebut membantah
hujjah Nabi Ibrahim dengan mendatangkan hujjah yang rapuh dan tidak boleh
diterima oleh akal. Perbuatan raja tersebut mendatangkan dua orang lelaki lalu
diperintah supara dibunuh salah seorang darinya dan dilepaskan seorang yang
lain ialah perbuatan yang tidak boleh dikira sebagai hujjah. Sifat
‘menghidupkan’ seperti yang didakwa dimiliki oleh raja tersebut jauh berbeza
sama sekali dengan sifat ‘menghidupkan’ yang dimiliki oleh Allah SWT. Hakikat
ini disedari oleh raja tersebut, namun kepentingan untuk terus berkuasa sebagai
tuhan menyebabkan dirinya tidak mahu mengalah kepada Nabi Ibrahim. Pendakwah
perlu berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan golongan seperti
ini. Inilah golongan yang sudah mempunyai hati yang keras dan tidak mahu lagi
menerima kebenaran sekalipun ia sudah jelas menjelma di hadapan mereka.
Nabi
Ibrahim tidak berhenti setakat itu sahaja. Seorang pendakwah seharusnya licik
mengemukakan hujjah dan kepintaran berhujahlah yang menjadi bekal utama kepada
Nabi Ibrahim untuk berdepan dengan raja tersebut. Apa yang pasti ialah Nabi
Ibrahim tentunya sudah menguasai seni komunikasi dan mempunyai kepintaran dalam
mengemukakan hujjah. Methodologi yang digunakan oleh Nabi Ibrahim adalah contoh
yang terbaik kepada para pendakwah dalam mengemukakan mesej dakwah. Para
pendakwah semestinya menguasai seni berhujjah agar dapat menjadikan ia sebagai
satu senjata dalam menyebarkan dakwah. Islam sendiri adalah merupakan sebuah
agama yang tidak membenarkan sama sekali wujudnya kepercayaan taklid buta yang
tidak bersandarkan kepada ilmu dan hujjah. Ini ditegaskan oleh Allah SWT (Surah Al-Baqarah : 111) :
قل هاتوا برهانكم إن
كنتم صادقين
Maksudnya
:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari
keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu,
jika betul kamu orang-orang yang benar".
Hujjah
Nabi Ibrahim yang seterusnya ialah berkaitan dengan alam semesta sendiri. Nyata
sekali, seandainya Nabi Ibrahim berdepan dengan kaumnya, baginda turut
menggunakan hujjah yang berkaitan dengan alam semesta, begitu juga apabila
berdepan dengan raja yang merupakan seorang pemimpin, baginda turut menggunakan
hujjah yang mempunyai kaitan rapat dengan pemerhatian terhadap alam semesta. Ia
adalah satu simbolik yang cukup jelas dalam menggambarkan rapatnya hubungan di
antara kaum Nabi Ibrahim dengan alam semesta. Apatah lagi, antara sembahan kaum
Nabi Ibrahim selain dari berhala-berhala ialah alam semesta sendiri. Mereka
menyembah bintang, bulan dan matahari.
Oleh kerana itulah, apabila Nabi Ibrahim berhujjah, baginda menggunakan
contoh dan perbandingan yang mempunyai kaitan rapat dengan pendengar dan
sasaran dakwah. Allah SWT turut mengajar pendakwah menggunakan pendekatan
sedemikian semasa mengemukakan mesej dakwah. Jika diperhatikan, Allah SWT
sendiri menggunakan contoh dan perbandingan yang mempunyai kaitan rapat dengan
pembaca Al-Quran yang terdiri daripada bangsa Arab semasa berfirman (Surah
Al-Ghaasyiyah : 17) :
أفلا ينظرون إلى
الإبل كيف خلقت
Maksudnya
:
(Mengapa
mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan
keadaan unta bagaimana ia diciptakan?
Umum
mengetahui bahawa kaum Arab begitu rapat dengan penggunaan unta sebagai binatang
tunggangan. Maka Allah SWT menjadikan unta sebagai satu perbandingan yang cukup
jelas dalam menyatakan kekuasaanNya. Oleh yang demikian, golongan pendakwah
amatlah dikehendaki menjadikan manhaj ini sebagai contoh dalam menyampaikan
mesej kepada sasaran. Kebijaksanaan dalam mengatur hujjah dan menyusun
contoh-contoh yang rapat dengan sasaran dakwah adalah satu keperluan yang cukup
ketara kepada pendakwah.
Apabila
Nabi Ibrahim mencabar raja tersebut supaya mendatangkan matahari dari arah
Barat bertentangan dari arah terbitnya yang biasa sebelum ini, Al-Quran
menceritakan raja tersebut diam tanpa dapat berhujah apa-apa. Bagaimanapun
tidak diceritakan sama sekali adakah raja tersebut menerima seruan dakwah Nabi
Ibrahim atau menolaknya. Walaupun demikian, apabila Allah SWT menyebut selepas
daripada kisah tersebut Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk
kepada kaum yang zalim (Al-Baqarah, 258), ini membawa makna tersirat bahawa
raja tersebut tetap dengan keengganannya untuk menerima dakwah Nabi Ibrahim dan
mengakui kebenarannya. Keengganan
raja tersebut menerima dakwah Nabi Ibrahim mewakili sifat manusia yang
sememangnya degil untuk menerima kebenaran. Golongan seperti ini sentiasa wujud
dari zaman berzaman. Mereka sama sekali tidak akan tunduk kepada kebenaran
sekalipun sudah nyata dan jelas mereka tidak mampu untuk berdepan dengan
kebenaran Islam dengan berhujjah. Allah SWT menegaskan perkara ini di dalam
Surah Al-An’am, ayat 111 :
ولو أننا نزلنا
إليهم الملائكة وكلمهم الموتى وحشرنا عليهم كل شيء قبلا ما كانوا ليؤمنوا إلا أن
يشاء الله ولكن أكثرهم يجهلون
Maksudnya :
Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan
orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami
himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang
kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika
dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenar).
BAB KEEMPAT : NABI
IBRAHIM MENGHANCURKAN BERHALA DAN BAGINDA DILEMPARKAN KE DALAM API
Apabila Nabi Ibrahim
menyeru ayahnya supaya menerima kebenaran, seruannya ditolak. Begitu juga yang
berlaku apabila baginda menyeru kaum dan raja di zamannya, seruannya juga
ditolak. Maka Nabi Ibrahim seterusnya melihat sebab utama seruannya ditolak
ialah kerana wujudnya berhala-berhala yang dianggap sebagai tuhan oleh kaumnya.
Nabi Ibrahim kemudiannya mengambil langkah untuk menghancurkan berhala-berhala
tersebut. Peristiwa ini dinyatakan beberapa kali di dalam Al-Quran. Antaranya
ialah di dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 57 - 70 sebagaimana berikut :
وتالله لأكيدن
أصنامكم بعد أن تولوا مدبرين(57)فجعلهم جذاذا إلا كبيرا لهم لعلهم إليه
يرجعون(58)قالوا من فعل هذا بآلهتنا إنه لمن الظالمين(59)قالوا سمعنا فتى يذكرهم
يقال له إبراهيم(60)قالوا فأتوا به على أعين الناس لعلهم يشهدون(61) قالوا أأنت
فعلت هذا بآلهتنا ياإبراهيم(62)قال بل فعله كبيرهم هذا فاسألوهم إن كانوا
ينطقون(63)فرجعوا إلى أنفسهم فقالوا إنكم أنتم الظالمون(64)ثم نكسوا على رءوسهم
لقد علمت ما هؤلاء ينطقون(65)قال أفتعبدون من دون الله ما لا ينفعكم شيئا ولا
يضركم(66)أف لكم ولما تعبدون من دون الله أفلا تعقلون(67)قالوا حرقوه وانصروا
آلهتكم إن كنتم فاعلين(68) قلنا يانار كوني بردا وسلاما على إبراهيم(69)وأرادوا به
كيدا فجعلناهم الأخسرين(70)
Maksudnya
:
"Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap
berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala
ini)". Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala
mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah
melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan
yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari
orang-orang yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada
mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". (Ketua-ketua)
mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya
mereka menyaksikan (tindakan mengenainya). (Setelah ia dibawa ke situ) mereka
bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai
Ibrahim?" (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah
yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" Ia
menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di
antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat
berkata-kata".Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka
(memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah
sendiri orang-orang yang zalim".Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada
kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia
mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa
engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?" Nabi Ibrahim berkata:
"Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang
tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat
mendatangkan mudarat kepada kamu? "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa
yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal
fikiran kamu?" (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka
berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu
bertindak membelanya!" Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk
serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".Dan mereka (dengan perbuatan
membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan
mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).
Selain
daripada Surah Al-Anbiya’, kisah Nabi Ibrahim menghancurkan berhala juga
disebut oleh Allah SWT di dalam Surah As-Shaffat, ayat 83 – 94. Berlainan
dengan Surah Al-Anbiya’, Surah As-Shaffat menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim
memberitahu kaumnya bahawa baginda sakit dan tidak dapat turut keluar berhari
raya bersama-sama dengan kaumnya.
Seterusnya, Nabi Ibrahim ditinggalkan keseorangan namun sebelum
daripada itu, Nabi Ibrahim telah merancang untuk melakukan sesuatu kepada
berhala-berhala sembahan kaumnya. Al-Quran memberitahu bahawa Nabi Ibrahim
telah bersumpah dengan nama Allah untuk melakukan sesuatu terhadap
berhala-berhala tersebut, namun lafaz tersebut tidak didengari oleh kaumnya
kecuali beberapa orang sahaja. (Ibnu Kathir, 3 : 223). Nabi Ibrahim lalu
memasuki tempat tersimpannya berhala-berhala dan mendapati terdapat
makanan-makanan di hadapan berhala-berhala tersebut. Sebagaimana yang disebut
di dalam ayat 81-82 Surah As-Shaffat,
Nabi Ibrahim bertanya kepada berhala-berhala tersebut dalam keadaan
mengejek kenapakah mereka tidak menyentuh makanan-makanan tersebut.
Apabila berhala-berhala tersebut tidak menjawab, Nabi Ibrahim lantas
menghancurkan berhala-berhala tersebut satu persatu dengan menggunakan tangan
kanannya. Di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 58 menyebut bahawa Nabi Ibrahim hanya
meninggalkan berhala yang paling besar. Apabila kaumnya kembali ke tempat
mereka, mereka lantas bertanya sesama sendiri siapakah yang melakukan perkara
tersebut terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim menjadi
orang yang disyaki kerana celaannya kepada berhala-berhala tersebut sebelum
itu. Nabi Ibrahim lantas dibawa ke muka pengadilan untuk disiasat dan
dijatuhkan hukuman.
Di sinilah berlakunya perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan kaumnya
apabila Nabi Ibrahim mencabar mereka supaya bertanya kepada berhala yang paling
besar. Bahkan Nabi Ibrahim menegaskan bahawa yang melakukan perkara tersebut
ialah berhala yang paling besar. Ini bukanlah bererti Nabi Ibrahim telah
berbohong, bahkan ia merupakan satu herdikan kepada penyembah-penyembah berhala
itu. Ini kerana, tidak dapat tidak kaumnya sebenarnya sudah meyakini bahawa
orang yang melakukan perbuatan itu ialah Nabi Ibrahim. Cabaran Nabi Ibrahim
tersebut sebenarnya sudah mampu mengalahkan kaumnya sekiranya diukur dari sudut
kekuatan hujjah, namun kaumnya tetap berdegil untuk tidak menerima kebenaran
yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Kedegilan tersebut akhirnya diserlahkan dengan
menghukum Nabi Ibrahim supaya dibakar hidup-hidup. Di dalam Surah As-Shaffat,
ayat 97 diceritakan bahawa kaumnya membina satu tempat yang khusus untuk
membakar Nabi Ibrahim namun Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT. Api yang
menjulang-julang ternyata tidak membakar Nabi Ibrahim apabila baginda
dicampakkan ke dalamnya.
Manhaj-manhaj Dakwah
Di
dalam peristiwa penghancuran berhala ini, Nabi Ibrahim menggunakan beberapa manhaj
yang tidak pernah digunakan sebelumnya. Antaranya ialah, tipudaya yang
bertujuan untuk melakukan kebaikan. Ini terbukti apabila Nabi Ibrahim
menyatakan kepada kaumnya إني سقيم
yang bermaksud aku sakit. Bagaimanapun, lafaz سقيم di dalam
kata-kata Nabi Ibrahim tersebut mengandungi pelbagai maksud. Sekalipun maksud
zahirnya ialah sakit, namun apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim ialah
‘sakit’ hati dan sanubari akibat apa yang dilakukan oleh kaumnya (Solah
Al-Khalidi, 1997, 1 : 345). Lafaz tersebut difahami oleh kaumnya sebagai sakit
yang sebenar iaitu sakit jasmani. Apa yang ingin diutarakan ialah bagaimana
kepintaran Nabi Ibrahim menggunakan lafaz yang tidak boleh dianggap sebagai
berbohong namun difahami dengan maksud lain oleh kaumnya. Islam membenarkan
muslihart-muslihat sebegini selagi mana ia bertujuan untuk kebaikan dan
kemaslahatan dakwah. Tidak semua tempat diwajibkan bercakap benar sehingga
membahayakan gerakan dakwah. Konsep hazr (kerahsiaan) dalam gerakan dakwah
menjadi satu teras kepada mana-mana gerakan Islam yang berdepan dengan cabaran
dan tribulasi di hadapan mereka.
Selain
daripada itu, Al-Quran menunjukkan dengan jelas bagaimana Nabi Ibrahim
mempunyai perancangan-perancangannya yang tersendiri di dalam menghancurkan
berhala-berhala sembahan kaumnya. Allah SWT berfirman di dalam Surah
As-Shaffat, ayat 81 – 82 :
فنظر نظرة في
النجوم(88)فقال إني سقيم(89)
Maksudnya
:
Kemudian
ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit),
Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya
sama)".
Pandangan
Nabi Ibrahim kepada bintang-bintang adalah bertujuan untuk mengukur waktu yang
sesuai untuk menghancurkan berhala-berhala. Dengan melihat kepada bintang-bintang,
nyatalah bahawa waktu untuk kaumnya berhari raya sudahpun hampir dan ini
bererti berhala-berhala tersebut akan ditinggalkan tanpa sebarang penjaga. Ini
membawa makna bahawa Nabi Ibrahim sudahpun merancang tindakannya dari awal
lagi. Perancangan ini juga boleh dilihat di dalam kata-kata Nabi Ibrahim di
dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 57 :
وتالله لأكيدن
أصنامكم بعد أن تولوا مدبرين
Maksudnya :
"Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap
berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala
ini)".
Kata-kata
Nabi Ibrahim ini diucapkan sebelum daripada kaumnya berangkat keluar dan tidak
didengari kecuali oleh beberapa orang sahaja. Ini semua menunjukkan bahawa
gerak kerja untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut biarpun dilakukan di
dalam masa yang singkat, namun perancangan untuk melakukannya sudahpun diatur
sejak daripada awal lagi. Terbuktilah bahawa Nabi Ibrahim ialah seorang yang
bertindak secara terancang. Perancangan dan penjadualan dalam gerak kerja
seperti inilah yang mahu ditonjolkan di dalam kisah Nabi Ibrahim ini. Proses
untuk menyebarkan dakwah sewajarnya dilakukan secara terancang dan tersusun,
bukan hanya sekadar membiarkan gerak kerja dakwah bergerak tanpa
perancangan. Seandainya Nabi
Ibrahim tidak mempunyai perancangan yang betul, pastilah tindakannya untuk
menghancurkan berhala-berhala tersebut tidak akan berjaya dan menemui
kegagalan. Begitulah juga di dalam proses gerak kerja dakwah, sebarang tindakan
yang tidak disertai dengan perancangan kebiasaannya tidak berjaya. Malah
seandainya ia mendapat kejayaan sekalipun, ia pasti tidak sebesar yang
diharapkan. Allah SWT berfirman (Surah As-Shaff, ayat 4) :
الله يحب الذين
يقاتلون في سبيله صفا كأنهم بنيان مرصوص
Maksudnya :
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk
membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah
bangunan yang tersusun kukuh.
Gerak
kerja terancang Nabi Ibrahim juga boleh dilihat daripada tindakannya
menghancurkan semua berhala-berhala kecuali yang paling besar. Ini disebut di
dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 58. Jelaslah bahawa Nabi Ibrahim sudahpun
merancang daripada awal lagi bahawa perbahasan antara baginda dan kaumnya pasti
akan berlaku. Oleh yang demikian, berhala yang paling besar itulah yang akan
dijadikan sebagai bahan hujjah apabila berdepan dengan kaumnya nanti. Cabaran
yang akan dikemukakan oleh Nabi Ibrahim iaitu supaya kaumnya mengajukan
pertanyaan kepada berhala yang paling besar sudahpun dirancang sejak daripada
awal lagi. Semua ini membuktikan bahawa sebarang gerak kerja di dalam urusan
dakwah haruslah dirancang dengan teliti satu persatu sebelum dilaksanakan.
Pengajaran
seterusnya daripada kisah penghancuran berhala ini dapat dilihat daripada
kata-kata orang-orang kafir tersebut iaitu "Kami ada mendengar seorang
anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". Kata-kata ini membuktikan
bahawa Nabi Ibrahim ketika bertindak menghancurkan berhala masih lagi merupakan
seorang anak muda. Umur baginda secara tepat tidak dinyatakan, namun secara
umumnya, seorang anak muda tentulah tidak lebih dari umur 40 tahun. Ia
membuktikan bahawa pemuda sebenarnya aset penting kepada gerakan dakwah. Umur
muda Nabi Ibrahim tidak digunakan untuk berseronok tetapi digunakan untuk
melakukan sesuatu yang menjadi sebutan sejarah turun temurun. Inilah martabat
pemuda yang sebenar di dalam Islam. Al-Quran juga menceritakan kisah Ashabul Kahfi dengan menyebut lafaz
pemuda. Firman Allah SWT (Al-Kahfi, ayat 13) :
نحن نقص عليك نبأهم
بالحق إنهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى
Maksudnya
:
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan
benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan
mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
Lafaz
pemuda di dalam ayat ini lebih jelas daripada lafaz pemuda yang disebut di
dalam kisah Nabi Ibrahim. Ini kerana lafaz pemuda di dalam Surah Al-Anbiya’
diucapkan oleh orang-orang kafir tetapi di dalam Surah Al-Kahfi adalah firman
Allah SWT sendiri. Bagaimanapun, kedua-dua diterima sebagai pemuda kerana di dalam
Surah Al-Anbiya’, tidak terdapat sebarang penafian terhadap kata-kata
orang-orang kafir tersebut. Apa yang nyata dan jelas ialah, Nabi Ibrahim dan
Ashabul Kahfi terdiri daripada orang-orang yang muda semasa melakar sejarah
sebagai para pejuang. Oleh yang demikian, di dalam merencanakan gerakan dakwah
masa kini, golongan pemuda tidak sepatutnya ketinggalan untuk turut sama
membantu memberikan sumbangan kepada gerakan dakwah.
Kepintaran
Nabi Ibrahim berhujjah dapat dilihat seterusnya di dalam jawapan baginda ketika
ditanya oleh orang-orang kafir tentang berhala-berhala yang dihancurkan itu.
Nabi Ibrahim menjawab, "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah
(berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka
kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". Helah inilah yang sebenarnya
dirancang oleh Nabi Ibrahim sejak daripada awal lagi iaitu memindahkan beban
tuduhan kepada berhala yang paling besar. Ia adalah bertujuan supaya kaumnya
berfikir betapa silapnya mereka menjadikan berhala sebagai sembahan selama ini.
Seandainya berhala-berhala tersebut berkuasa, sepatutnya mereka boleh
mempertahankan diri mereka daripada dihancurkan. Tambahan pula, mereka
‘dikawal’ oleh berhala yang paling besar. Namun, itu semua tidak berlaku
sebagaimana sepatutnya. Inilah ruang yang digunakan sebaik-baiknya oleh Nabi
Ibrahim untuk mengajak kaumnya menggunakan akal dalam membuat pendirian dalam
soal akidah.
Nabi
Ibrahim sebenarnya sudah berjaya dan mendapat kemenangan dari sudut rasional
dan hujjah. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 64 :
فرجعوا إلى أنفسهم
فقالوا إنكم أنتم الظالمون
Maksudnya :
Maka
mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu
berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang
zalim".
Dinyatakan
dengan jelas bahawa penyembah-penyembah berhala itu kembali kepada diri mereka
iaitu fitrah. Mereka mengakui sebenarnya bahawa mereka termasuk di kalangan
orang-orang yang zalim apabila menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan. Ini
menunjukkan manhaj dakwah Nabi Ibrahim sudah memperlihatkan kejayaan, cuma apa
yang menghalang kaumnya daripada beriman hanyalah kedegilan dan keangkuhan.
Allah SWT seterusnya menyatakan (Al-Anbiya’, ayat 65) :
ثم نكسوا على رءوسهم
لقد علمت ما هؤلاء ينطقون
Maksudnya
:
Kemudian
mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya
engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak
dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"
Inilah
sikap penentang-penentang dakwah dari zaman Nabi Ibrahim sehingga ke hari
kiamat. Kebenaran mesej dakwah sebenarnya sudah dibuktikan melalui pelbagai
cara dan bukti, bagaimanapun kedegilan hati manusia tetap tidak akan menerima
kebenaran selagi mereka mempunyai kepentingan untuk terus berada di dalam
kesesatan. Sikap kaum Nabi Ibrahim sebenarnya mewakili sikap orang-orang kafir
yang enggan menerima kebenaran walaupun sudah terbukti di hadapan mereka.
Golongan ini tetap wujud di zaman mana sekalipun.
Kekalahan
dan kebatilan penyembah-penyembah berhala itu kian terserlah apabila Nabi
Ibrahim sekali lagi mengutarakan hujjah yang bernas dan kuat apabila berkata :
قال أفتعبدون من دون
الله ما لا ينفعكم شيئا ولا يضركم
Maksudnya :
Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu
menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah
sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
Inilah
titik hujjah sebenar Nabi Ibrahim kepada kaumnya. Segala apa yang dilakukan
sebelum ini ialah untuk menyedarkan kaumnya bahawa tuhan-tuhan yang mereka
sembah itu tidak dapat mendatangkan manfaat sedikitpun kepada mereka. Kekuatan
berhujjah yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim ini merupakan satu pengajaran berharga
kepada pendokong-pendokong gerakan dakwah.
Manhaj
Nabi Ibrahim seterusnya apabila berdepan dengan kaumnya yang degil ialah dengan
menggunakan celaan dan makian. Namun, ia hanya digunakan apabila segala macam
bentuk nasihat dan peringatan yang lain tidak mendatangkan kesan. Nabi Ibrahim
seterusnya berkata (Al-Anbiyaa’, 67) :
أف لكم ولما تعبدون
من دون الله أفلا تعقلون
Maksudnya :
"Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah
selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"
Kata-kata
ini sebenarnya adalah satu celaan kepada kaumnya yang tidak mahu menggunakan
akal dalam menentukan kebenaran, malah mereka sanggup untuk terus berada di
dalam kesesatan sekalipun ia sudah terbukti sebagai sesat. Celaan ini bukanlah
bertujuan untuk merendah-rendahkan kaumnya, tetapi bertujuan supaya kaumnya
tersentak dengan penggunaan kata-kata yang sedemikian rupa dan merenung kembali
pendirian mereka. Inilah salah satu uslub dakwah yang boleh digunakan pada
masa-masa yang tertentu. Secara umumnya, mesej dakwah sepatutnya disampaikan
dengan bahasa dan pertuturan yang baik, namun dalam beberapa keadaan, uslub
bahasa celaan dan makian yang tidak keterlaluan dibenarkan ketika dilihat
sasaran dakwah tetap dengan kedegilan mereka. Allah SWT berfirman (An-Nahl,
125) :
ادع إلى سبيل ربك
بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن
Maksudnya :
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat
kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka
(yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;
Ini
ialah bukti bahawa asas kepada penyampaian dakwah iaitu menggunakan bahasa dan
uslub yang baik, namun uslub celaan dan makian tetap dibenarkan pada
waktu-waktu yang tertentu dan tidak mencacatkan dakwah itu sendiri.
Kedegilan
kaum Nabi Ibrahim sampai ke kemuncak apabila menjatuhkan hukuman bunuh kepada
Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim diperintahkan supaya dibakar hidup-hidup di atas
kesalahannya menghancurkan berhala-berhala mereka. Hukuman terhadap Nabi
Ibrahim ini mencerminkan tribulasi yang dihadapi oleh pendakwah iaitu ia boleh
sampai ke tahap mereka terpaksa menyerahkan nyawa mereka sendiri. Di dalam
sejarah dakwah, bukan sahaja Nabi Ibrahim yang pernah dijatuhkan hukuman bunuh
kerana menyebarkan kebenaran, bahkan sudah ramai yang terkorban semata-mata
untuk mempertahankan Islam. Di dalam kisah Nabi Ibrahim, terbukti bahawa
baginda tetap tabah sekalipun menerima hukuman bunuh. Ia mencerminkan sikap
pendakwah yang sepatutnya bersedia untuk menghadapi apa jua rintangan dan
hukuman untuk mempertahankan agama. Hukuman yang diterima tidak sepatutnya
melemahkan semangat para pendakwah untuk terus berjuang dan berdakwah kerana
mereka yakin bahawa ganjaran yang menunggu di sisi Allah SWT lebih besar dan
mulia. Allah SWT mengingatkan kepada para pendakwah dengan firmanNya
(Ali-Imran, 142) :
أم حسبتم أن تدخلوا
الجنة ولما يعلم الله الذين جاهدوا منكم ويعلم الصابرين
Maksudnya :
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal
belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang
berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata
(wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
Apabila
Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Nabi Ibrahim ternyata mempelihatkan satu
lagi sifat yang perlu ada kepada seorang pendakwah iaitu tawakkal dan
pergantungan kepada Allah SWT. Disebut dalam satu hadis sebagaimana berikut
(Bukhari, Shahih, (k) Tafsir Al-Quran, (no) 4197) :
عن ابن عباس ( حسبنا
الله ونعم الوكيل ) قالها إبراهيم عليه السلام حين ألقي في النار وقالها محمد صلى
اللهم عليه وسلم حين قالوا ( إن الناس قد جمعوا لكم فاخشوهم فزادهم إيمانا وقالوا
حسبنا الله ونعم الوكيل )
Maksudnya :
Daripada Ibnu Abbas menyatakan ("Cukuplah untuk (menolong)
kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan
kami)" diucapkan oleh Ibrahim ‘alahis-Salam apabila dilemparkan ke dalam
api dan diucapkan oleh Muhammad SAW apabila manusia berkata (Bahawa kaum (kafir
musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah
kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu
berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus
(yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
Berdasarkan kepada hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari yang datangnya dari Ibnu Abbas ini, jelaslah bahawa
perkataan Nabi Ibrahim apabila dilemparkan ke dalam api ialah حسبنا الله ونعم الوكيل yang bermaksud Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan
Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
Inilah juga ucapan yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila diancam dengan
kepungan dari kaum musyrikin. Semua ini menunjukkan bahawa antara sifat seorang
pendakwah ialah bertawakkal dan bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Jika
dilihat kepada keadaan yang menimpa Nabi Ibrahim, jelaslah bahawa situasi yang
dihadapi oleh baginda ialah satu situasi yang paling mendebarkan. Baginda
dihadapkan dengan keadaan yang akan menentukan hidup dan mati baginda. Namun,
pada masa demikian, pergantungannya tetap kepada Allah SWT. Ini adalah
berdasarkan keyakinan bahawa Allah SWT adalah Pencipta langit dan bumi. Dialah
yang berkuasa untuk menentukan hidup dan mati seseorang dan bukannya
orang-orang yang kafir penyembah berhala. Sifat sedemikian sepatutnya dipupuk
oleh golongan pendakwah.
Tawakkal
Nabi Ibrahim tersebut ternyata tidak disia-siakan oleh Allah SWT. Kejadian yang
seterusnya membuktikan bahawa sekalipun setiap benda mempunyai tugasnya
masing-masing, namun yang menentukannya ialah Allah SWT. Dalam erti kata lain,
hukum adat adalah tertakluk di bawah kuasa Allah SWT. Sebagai contoh api yang
sepatutnya membakar Nabi Ibrahim, apabila tidak mendapat keizinan daripada
Allah, sifat membakar yang ada padanya tidak akan berfungsi. Allah SWT
berfirman (Al-Anbiyaa’, 69) :
قلنا يانار كوني بردا وسلاما على إبراهيم
Maksudnya :
Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta
selamat sejahtera kepada Ibrahim!
Dengan terselamatnya Nabi Ibrahim daripada api yang dinyalakan khas
untuk membakar dirinya, Allah SWT mengira ia sebagai satu kekalahan kepada
orang-orang kafir. Ini disifatkan melalui firmanNya (Al-Anbiyaa’, 70) :
وأرادوا به كيدا فجعلناهم الأخسرين
Maksudnya :
lalu
Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).
Inilah
kesudahan kepada orang-orang yang menentang ajaran Allah SWT, ia pasti akan
berakhir dengan kekalahan. Manakala kemenangan Nabi Ibrahim bukanlah
semata-mata kerana baginda terselamat daripada api, bahkan kerana baginda
membawa risalah kebenaran. Sesungguhnya, pendakwah-pendakwah yang menjalankan
urusan dakwah sebenarnya mendapat kemenangan sekalipun terpaksa berdepan dengan
pelbagai ujian di dunia. Ini kerana, ganjaran yang besar sebenarnya sedang
menanti dia akhirat kelak.
BAB KELIMA : KESIMPULAN
Allah
SWT berfirman (Al-Mumtahanah, 4) :
قد
كانت لكم أسوة حسنة في إبراهيم والذين معه إذ قالوا لقومهم إنا برآء منكم ومما
تعبدون من دون الله كفرنا بكم وبدا بيننا وبينكم العداوة والبغضاء أبدا حتى تؤمنوا
بالله وحده.. الأية
Maksudnya :
Sesungguhnya
adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya -
contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur
ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa
yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala
penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian
di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah
semata-mata"
Inilah penegasan daripada Allah SWT bahawa Nabi Ibrahim adalah merupakan contoh kepada umat manusia sehinggalah ke hari ini. Pengajaran-pengajaran yang dapat diambil daripada perjalanan dakwah Nabi Ibrahim adalah menjadi satu model ikutan kepada pendakwah-pendakwah yang sentiasa berusaha menyebarkan mesej dakwahnya.
Secara keseluruhannya, Nabi Ibrahim menggunakan pelbagai manhaj dalam menyampaikan dakwahnya. Manhaj-manhaj tersebut secara umumnya boleh disimpulkan seperti berikut :
1. Kekuatan hujjah dan ajakan untuk menggunakan akal fikiran yang sempurna dalam menyebarkan dakwah
Ini ialah manhaj pertama dan terpenting sepanjang dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah, kaum dan raja di zamannya. Kekuatan hujjah Nabi Ibrahim terbukti apabila menyeru ayahnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dengan terlebih dahulu mengajak ayahnya berfikir kembali dengan menggunakan neraca penilaian yang bijaksana. Demikian juga apabila Nabi Ibrahim menyeru kaumnya, hujjah-hujjah dan ajakan supaya berfikir menggunakan akal fikiran yang waras digunakan sepenuhnya khususnya apabila baginda mengajak kaumnya menolak amalan penyembahan cakerawala. Ia juga terbukt isemasa Nabi Ibrahim berhujjah di dalam peristiwa penghancuran berhala. Satu persatu hujjah Nabi Ibrahim tidak dapat dipatahkan sama sekali oleh penyembah-penyembah berhala. Namun sayangnya, kekufuran dan kedegilan mereka menghalang mereka daripada menerima cahaya kebenaran.
Proses pembentangan hujjah dan dalil juga berlaku ketika Nabi Ibrahim berdebat dengan seorang raja di zamannya. Sekalipun raja tersebut juga turut mengemukakan hujjah dan bukti yang menyokong ketuhanannya, jelas sekali ia tidak mampu mengatasi hujjah Nabi Ibrahim. Kemenangan dan kebenaran berpihak kepada Nabi Ibrahim semasa berdebat dengan raja tersebut. Namun sebagaimana biasa, golongan yang tidak mahu menerima kebenaran pasti akan terus kekal dalam kekafiran selagi tidak diberikan petunjuk oleh Allah SWT.
2. Gaya bahasa yang sesuai dengan situasi
Nabi Ibrahim menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai apabila berhadapan dengan sasaran dakwah yang berbeza-beza. Jika diperhatikan dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya mengandungi pelbagai unsur-unsur kasih sayang sesuai dengan sifatnya sebagai seorang anak di samping seorang rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Lafaz أبت yang bermaksud ayah kesayanganku digunakan sekalipun jelas dakwahnya telah ditolak oleh ayahnya sendiri. Ini berbeza apabila sasaran dakwahnya merupakan masyarakat umum, Nabi Ibrahim menggunakan gaya bahasa yang sesuai sifat masyarakat yang biasanya menginginkan bukti dan hujjah yang kukuh. Malah dalam ketika tertentu, ternyata Nabi Ibrahim turut menggunakan perkataan-perkataan yang bermaksud celaan kepada penyembah-penyembah berhala. Perkataan أف لكم yang bermaksud Jijik perasaanku terhadap kamu nyata sekali merupakan satu celaan terhadap penyembah-penyembah berhala yang tetap ingkar menerima kebenaran sekalipun mereka sudah kalah di dalam perdebatan.
Harus ditekankan bahawa sekalipun uslub bahasa yang bersifat celaan ini dibenarkan di dalam Islam, namun ia hanya bleh digunakan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Celaan dan makian yang dibiasakan di dalam usaha menyebarkan mesej dakwah akan menyebabkan fitnah kepada gerakan dakwah sendiri. Oleh yang demikian, di dalam menyampaikan mesej dakwah, sebaik-baiknya setiap individu pendakwah cuba mengelakkan diri dari menggunakan perkataan-perkataan sebegini kecuali apabila keadaan benar-benar memaksa.
3. Perancangan Dalam Melaksanakan Gerak Kerja
Di antara manhaj Nabi Ibrahim yang lain ialah mempunyai perancangan yang tersusun rapi apabila melakukan sebarang gerak kerja. Ini boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim terlebih dahulu melihat kepada bintang-bintang di langit yang menunjukkan waktu berhari raya untuk kaumnya sudahpun hampir tiba. Ini sekaligus memberikan peluang kepada Nabi Ibrahim untuk merencanakan sesuatu terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia dijelaskan lagi dengan ikrar Nabi Ibrahim sendiri kepada kaumnya bahawa dia akan menjalankan rancangan terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya. Walaupun tidak disebut apakah rancangan tersebut, namun ia tentunya memberikan gambaran bahawa segalanya sudah dirancangkan oleh Nabi Ibrahim sejak daripada awal lagi.
Di sini terbukti bahawa Nabi Ibrahim tidak melakukan sesuatu perkara dan tindakan dengan serta merta bahkan didahului dengan perancangan yang rapi dan tersusun agar segala tindakannya tidak tergendala. Secara logiknya, sudah pastilah rumah berhala tersebut mempunyai pengawal setiap masa, tetapi Nabi Ibrahim sudah merencanakan tindakannya pada satu masa ang tidak ada pengawal di tempat tersebut iaitu pada hari raya kaumnya.
4. Berani Berdepan Dengan Ancaman
Nabi Ibrahim juga mempunyai sifat berani dalam menyebarkan dakwahnya. Keberanian ini dapat dilihat apabila Nabi Ibrahim berdepan dengan raja yang mengaku sebagai tuhan di zamannya. Kebiasaannya, sudah pastilah seorang raja akan mempunyai pengawal-pengawal yang ramai dan kekuasaan yang besar. Namun itu semua tidak menakutkan Nabi Ibrahim untuk menyatakan kebenaran dan melawan hujjah-hujjah raja tersebut. Tindakan baginda ini pastinya mendatangkan risiko yang tidak sedikit, apatah lagi memandangkan bahawa raja tersebut berhak menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa saja sekalipun.
Itu semua tidak menggentarkan Nabi Ibrahim. Malah keberanian baginda juga dapat dilihat dengan tindakannya menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Nabi Ibrahim tentulah mengetahui bahawa tidak ada orang lain yang akan disyaki melainkan dirinya sendiri memandangkan bahawa hanya baginda sahaja yang berada di kawasan tersebut pada masa itu ditambah pula dengan sikapnya yang sering melawan amalan penyembahan berhala. Namun, tindakan menghancurkan berhala tersebut tetap dilakukan sekalipun risikonya terlalu besar.
Keberanian dan nekad yang ada pada diri Nabi Ibrahim ini adalah contoh yang terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh para pendakwah. Biarpun tindakan Nabi Ibrahim seperti menghancurkan berhala tidak sesuai untuk dilaksanakan pada zaman sekarang, sekurang-kurangnya semangat yang dimiliki oleh baginda sepatutnya menjadi contoh yang paling baik dalam melakukan sebarang tindakan.
5. Tawakkal dan Pergantungan Kepada Allah SWT
Pergantungan hanya kepada Allah SWT juga menjadi salah satu
ciri utama dalam dakwah Nabi Ibrahim. Dengan adanya sifat pergantungan seperti
ini, Nabi Ibrahim mapu untuk melakukan apa sahaja yang secara logiknya tidak
mampu untuk dilakukan oleh seorang individu. Pergantungan dan tawakkal ini
boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim diancam untuk dicampakkan masuk ke dalam
api. Kata-kata Nabi Ibrahim ketika itu حسبنا
الله ونعم الوكيل yang bermaksud Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik
pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami membayangkan keteguhan
tawakkal yang dimiliki oleh baginda.
Perlu
dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak berdepan dengan seorang raja ataupun satu
bala tentera kaumnya, tetapi baginda berdepan dengan satu sistem jahiliyyah
yang mengagungkan penyembahan berhala, cakerawala malah menyembah raja mereka
sendiri. Untuk berdepan dengan sistem yang telah mendasari ruang lingkup
pemikiran masyakarat seperti ini bukan satu tugas yang mudah dan senang untuk
dilaksanakan. Nabi Ibrahim ternyata sekali mempunyai pergantungan dan tawakkal
yang kuat apabila dengan tenaga yang ada pada dirinya sebagai seorang individu
masyarakat sanggup tampil ke hadapan untuk menyanggah tradisi dan adat yang
diamalkan oleh masyarakat turun temurun.
Dalam
konteks pendakwah pada hari ini, mempunyai pergantungan dan tawakkal kepada
Allah SWT adalah merupakan kunci kejayaan. Malah jika seandainya gerakan dakwah mempunyai tenaga-tenaga
yang ramai yang mempunyai rasa takut hanya kepada Allah, ia pastinya merupakan
sebuah gerakan dakwah yang kuat. Bagaimanapun, tawakkal ini bukanlah bererti
menyerahkan segala tugas dan urusan kepada Allah SWT tanpa berusaha, ia
bermakna pergantungan dan rasa takut tidak wujud kepada sesama makhluk.
Individu pendakwah yang mempunyai ciri-ciri seperti ini pastinya akan mendapat
pertolongan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman (Al-Anfaal, 65) :
ياأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صابرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لا يفقهون
Maksudnya :
Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.
Sebagai penutup, jelaslah kepada kita bahawa di dalam dakwah Nabi Ibrahim yang diceritakan di dalam Al-Quran tidak hanya sekadar satu cerita dan pengkisahan biasa sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar kepada pembaca-pembaca Al-Quran khususnya. Manhaj-manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim dalam menyampaikan dakwahnya jelas sekali merupakan contoh yang terbaik kepada semua individu pendakwah yang sentiasa berusaha untuk menyebarkan mesej dakwahnya. Seandainya contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini dapat dijadikan ikutan dan amalan soleh pendokong-pendokong gerakan dakwah pada hari, gerakan dakwah pasti akan mempunyai masa depan yang lebih gemilang. Allah SWT berfirman (Yusuf, 13) :
لقد كان في قصصهم عبرة لأولي الألباب ما كان حديثا يفترى ولكن تصديق الذي بين يديه وتفصيل كل شيء وهدى ورحمة لقوم يؤمنون
Maksudnya :
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
As-Sayuti, cAbdur-Rahman Jalaluddin, 1413H/1993M
Ad-Dur Mansur Fit Tafsiril Ma’thur, Beirut : Darul Fikr
Ibnu Hajar Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar, 1420H/2000M
Fathul Bari Bisyarhi Shahih Bukhari, Beirut : Darul Fikr
Ibnu Jarir At-Thabari, Muhammad bin Jaafar, 1419H/1999M
Jamicul Bayan can Ta’wilil Quran, Beirut : Darul Fikr
Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1417H/1997M
Al-Bidayah Wan Nihayah, Beirut : Darul Fikr
Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1414H/1994M
Tafsir Al-Quran Al-cazim, Beirut : Darul Fikr
Muhammad Ar-Razi Fakhruddin Ibnu cAllamah Dhiauddin cUmar, 1415H/1995M
Tafsir Fakhrur-Razi, Beirut : Darul Fikr
Solah Al-Khalidi, 1417H/1997M
Al-Qashash Al-Qurani : cArdhu Waqa’ica Wa Tahlilu Ahdath,
Damsyik : Darul Qalam