đH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/ilmiah3.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/ilmiah3.htm delayed x çEÔJ ˙˙˙˙ ˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙Č ŕ}ş ·" OK text/html °h ·" ˙˙˙˙ b‰.H Tue, 10 Dec 2002 00:17:27 GMT w Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * ĺEÔJ ·"
Puasa Membentuk Kekuatan Taqwa
(oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari, 30 Oktober 2002)
Risalah ini disediakan untuk Jabatan Dakwah Wal Qiadah
Cuti semester kali ini sekali lagi jatuh pada bulan Ramadhan yang tentunya memberikan kita kesempatan yang paling berharga untuk meraikannya bersama dengan sanak saudara di rumah. Malah, cuti yang jatuh selepas daripada peperiksaan ini sebenarnya memberikan kita peluang untuk berehat selepas mengerah otak untuk menelaah pelajaran sempena dengan ‘peperangan’ selama tiga minggu di dewan peperiksaan. Semoga kita pulang dengan penuh rasa puas hati dan sama-samalah kita mengharapkan natijah yang terbaik dari peperiksaan yang dilalui ini. Menyentuh pula tentang Ramadhan yang akan kita lalui bersama, adakah kita sudah bersedia untuk menerima tetamu yang mulia ini datang bertandang ke dalam kehidupan kita dengan persediaan yang secukupnya?
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran (yang bermaksud) : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al-Baqarah : 183). Inilah perintah yang menjadi sumber asas kepada ibadah puasa yang akan kita sama-sama lakukan nanti. Dan tujuan perintah ini difardhukan kepada umat Islam juga termaktub dengan jelas di dalam ayat ini iaitu untuk melahirkan manusia yang bertaqwa.
Bagaimana taqwa boleh dilahirkan dengan ibadah puasa? Inilah kunci rahsia kepada kemuliaan ibadah puasa. Bayangkanlah, kita tidak akan sama sekali melakukan ssesuatu perkara yang akan membatalkan puasa hanya semata-mata kita takut kepada Allah. Adakah kita tidak boleh makan secara sembunyi, tentu sahaja boleh jika kita mahu. Namun kita tidak melakukannya hanya kerana takut kita kepada Allah. Inilah ketaqwaan yang dilahirkan oleh ibadah puasa. Begitu juga dengan perbuatan-perbuatan lain yang membatalkan puasa juga tidak akan kita lakukan semata-mata kita takut kepada Allah SWT. Mengambil contoh dalam kehidupan suami isteri, ada perkara yang tidak boleh dilakukan semasa berpusa yang sekiranya dilakukan, akan dikenakan denda yang berat. Namun, seandainya tetap dilakukan, mata manakah yang memandang selain daripada Allah?! (Sebelum terlambat, Selamat pengantin baru kepada sahabat-sahabat kita yang telah dan akan mendirikan rumah tangga…) Inilah dia perisai yang terbentuk dari ibadat puasa. Satu hadis ada menyebut : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika ditinjau dari sudut sejarah Rasulullah SAW, kita dapat melihat bagaimana puasa yang difardhukan pada tahun ke-2 hijrah ini berjaya membentuk peribadi para sahabat yang bertaqwa kepada Allah. Ambil sahajalah peperangan Badar Kubra sebagai contoh yang terbaik. Bagaimanakah tentera muslimin yang hanya berjumlah 313 orang berjaya menewaskan 1000 orang tentera kuffar kalaulah tidak dengan bekalan taqwa yang utuh tersemat di sanubari mereka? Kekuatan taqwa inilah yang merupakan kekuatan yang hakiki dan inilah permata yang hilang dari umat Islam sekarang.
Kekuatan taqwa inilah yang ingin kita bina dalam diri kita sekarang. Kelemahan demi kelemahan yang berlaku hasil kepincangan umat Islam melihat tuntutan-tuntutan Islam menyebabkan kita jauh ketinggalan di belakang mustakbirin. Akhirnya, kita diperkotak-katikkan dan disepak ke sana ke mari mengikut percaturan kuasa-kuasa besar yang jelas sekali mengimpikan kelemahan dan kedayusan kita ini berterusan sampai bila-bila.
Contoh yang paling baik yang boleh kita ambil ialah pentakrifan terhadap keganasan yang sewenang-wenangnya dilabelkan kepada sesiapa yang dikehendaki. Lihatlah apabila Iraq dituduh memiliki senjata kimia yang merbahaya, mereka diugut akan diserang walaupun tuduhan itu belum dibuktikan. Namun apabila Korea Utara baru-baru ini mengaku memiliki teknologi senjata nuklear, pentadbiran White House hanya mengambil pendirian untuk ‘memberikan nasihat’ secara diplomasi. Apakah ini kalau bukan diskriminasi? Kalaulah yang mengaku memiliki teknologi nuklear ini ialah sebuah negara yang kaya hasil minyaknya seperti Kuwait atau Arab Saudi, maka tentera Amerika pasti akan berada di sana kurang dari temph 24 jam di atas nama memerangi keganasan!!
Contoh yang lain ialah apabila Pasukan Khas Russia menamatkan krisis tebusan di Moscow baru-baru ini dengan menggunakan sejenis gas rahsia (yang mengorbankan 118 nyawa tebusan), mereka secara terang-terangan mencabuli perjanjian antarabangsa yang mereka sendiri tandatangani iaitu pengharaman secara menyeluruh terhadap senjata kimia yang boleh membunuh. Dalam kes ini, apa kata Amerika dan apa pula kata PBB? Di sinilah sebenarnya diskriminasi terhadap umat Islam dapat dilihat dengan jelas. Ini kita belum lagi membicaran tentang ribuan contoh yang terdapat dalam kes konflik Palestin-Israel, Afgahnistan dan sebagainya.
Sesungguhnya puasa yang kita lalukan sekarang sekalipun berjaya menepati tuntutan syarak dan sah di suduh fiqhnya, namun semangat puasa yang dibina sebenarnya masih lagi runtuh dan belum dapat bangun dengan utuh. Kitalah yang perlu membina kembali semangat itu. Ia tidak akan dibina dalam masa yang sekejap kerana pembinaan ummah adalah satu kerja yang sukar namun itulah kerja yang diredhai. Pepatah Rom ada menyebut : “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari!!”
Akhir kata, SELAMAT BERPUASA dan SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITIRI. Jumpa lagi selepas raya dengan semangat, tekad dan keyakinan yang membara. Ingatlah, mungkin Ramadhan dan Aidilfitri akan datang akan disambut di bumi Ambiya’. Jadi, bersiap-sedialah kita untuk ke sana.