H geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/politik14.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/politik14.htm delayed x EJ w OK text/html h w b.H Wed, 25 Dec 2002 15:06:48 GMT Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * EJ w
Tahun 2003
: Meneropong Cabaran Parti-parti Politik
Menjenguk
tahun 2003 adalah sesuatu perkara yang menarik untuk dimuhasabahkan oleh
parti-parti politik. Epsiod pertarungan yang begitu sengit dan
peristiwa-peristiwa yang cukup menggemparkan sepanjang tahun 2002 menjadikan
suasana untuk mendepani pilihanraya umum yang benar-benar dijangka akan
diadakan pada tahun 2003 menjadi lebih panas dan mendebarkan. Boleh dikatakan
semua parti-parti politik secara umumnya melalui tahun 2002 satu perjalanan
yang cukup tidak selesa not a smooth sailing year dan ini sebenarnya
merupakan cabaran terhadap kekuatan mereka.
Tahun
2003 adalah merupakan tahun yang menarik bagi UMNO. Sejarah perletakan jawatan
dengan penuh tragis diiringi tangisan tanpa air mata seperti yang dipentaskan
di PWTC lewat bulan Jun yang lalu akan dibuktikan kebenarannya pada bulan
Oktober 2003. Itupun kalau tidak muncul lebih ramai pendesak seperti Ibrahim
Ali. Ini kerana, paksaan supaya perletakan jawatan dan keinginan untuk tidak
bertanding dalam pilihanraya ditarik balik mampu meletakkan negara ini terus di
bawah pimpinan orang tua itu yang menyambut harijadi ke 77 baru-baru ini.
Andaikan
sajalah, perletakan jawatan itu akan berlaku. Lagipun, Mahathir sendiri
mengesahkan secara bersahaja di dalam majlis rumah terbukanya pada 1 Syawaal
bahawa tahun hadapan dia akan datang sebagai pengunjung. Jika Mahathir
mengundur diri, tahun 2003 pastinya meletakkan UMNO dalam suasana pertarungan
dalaman yang begitu ketara antara orang-orang Pak Lah dan Najib.
Pertarungan
dalaman ini tentunya sesuatu yang tidak sesuai untuk menghadapi pilihanraya
umum. Kerana itulah, pemilihan jawatan-jawatan penting dalam parti ini terpaksa
ditangguhkan hingga selepas pilihanraya. Sudah nyata sekali bahawa calon-calon
yang akan bertanding di dalam pilihanraya adalah calon-calon pilihan Mahathir.
Ini merupakan satu kedudukan yang selamat bagi Mahathir yang tentunya tidak
ingin mengakhiri baki-baki usianya di dalam tahanan sebagaimana bekas sahabat
baiknya, Suharto. Tambahan pula, Mahathir tentu menginginkan segala polisi yang
digariskan akan terus menjadi dasar kerajaan sekalipun Pak Lah yang mengetuai
kerajaan.
Pertarungan
populariti antara Pak Lah dan Najib tidak menjadi rahsia lagi. Dolak dalih Pak
Lah yang tidak mengumumkan siapakah bakal Timbalan Perdana Menteri membayangkan
perjalanan sukar yang terpaksa ditempuhi oleh Najib. Bagi Najib, pilihanraya
umum nanti adalah medan sebenar untuk mengukur kekuatan popularitinya yang
jatuh dengan begitu mendadak pada pilihanraya umum 1999. Kemenangan majoriti
241 undi tentunya tidak sesuai sekali bagi seorang bakal Timbalan Perdana
Menteri.
UMNO
sendiri keseluruhannya berdepan dengan cabaran sukar pada pilihanraya selepas
ini. Berbekalkan mimpi bahawa orang-orang Melayu akan kembali mengundi mereka
bukannya satu alasan yang kuat untuk menidakkan kekuatan pembangkang. UMNO
perlu ingat, 600 000 pengundi yang dinafikan hak mereka pada 1999 kini pastinya
akan melepaskan hajat terpendam mereka dalam pilihanraya selepasa ini.
Kemenangan di Pendang bukannya petanda bahawa UMNO telahpun kembali kuat,
bahkan mereka sendiri tentunya menyedari bahawa kemenangan tersebut hasil
rembatan gol offside. Rating sokongan orang-orang Melayu terhadap UMNO
juga tentunya bergantung kuat kepada kemahiran pembangkang memainkan isu bahasa
Inggeris yang begitu hangat pada masa kini. Perlu diingat, isu Sekolah Agama
Rakyat (SAR) juga mampu menjadi bom jangka kepada UMNO/BN.
Perkembangan-perkembangan
dalaman yang berlaku di dalam dan di luar UMNO sepanjang 2002 inilah yang
meletakkan UMNO tidak dalam keadaan selesa untuk menempuhi pilihanraya umum
selepas ini. Namun, percayalah bahawa pilihanraya umum pasti akan diadakan
sebelum perletakan jawatan Mahathir pada Oktober 2003 demi survival politik
kroni dan orang-orang Mahathir tentunya. Seandainya pilihanraya tidak diadakan
sebelum Oktober 2003, maka itu bererti Mahathir tidak akan meletakkan jawatan!
MCA : Keadaan Serba Salah
Pertembungan Ling Liong Sik dan
Lim Ah Lek yang membarah pada 2001 kini mencapai kemuncaknya. Perang dingin dan
plan damai tajaan Mahathir mungkin berjaya pada zahirnya namun siapa tahu
strategi yang dirangka oleh kedua-dua pihak. Di dalam politik, senyuman yang
manis mungkin menyimpan racun yang membunuh.
Isu
undi berkecuali oleh dua orang wakil MCA di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
dalam isu PORR baru-baru ini meletakkan kredibiliti Ling Liong Sik benar-benar
dalam keadaan yang mencemaskan. Umum mengetahui bahawa MCA jelas sekali tidak
mahu mengenakan tindakan terhadap kepada kedua-dua ADUNnya itu namun berikutan
tekanan pelbagai pihak terutamanya ancaman oleh Bapa BN sendiri, maka
pergantungan tanpa had masa akhirnya dikenakan kepada kedua-dua mereka. MCA
nampaknya mengakhiri 2002 dengan krisis kepercayaan yang begitu teruk daripada
rakan-rakan dalam BN.
Isu
ini bukanlah yang pertama yang menggugat kepercayaan parti-parti komponen BN
khususnya UMNO. Sebelum ini di dalam isu bahasa Inggeris, MCA jelas sekali
membantah pada peringkat awal cadangan ini berikutan desakan Dong Jiong Zhao
malah kadang-kadang lebih ke hadapan daripada pembangkang! Cuma, akhirnya suara
penentangan itu malap dengan tunduknya MCA kepada kehendak UMNO. Itupun selepas
SRJK memperolehi habuan yang lumayan daripada kerajaan.
Secara
umumnya, MCA sebenarnya perlu memilih untuk berdepan dengan kemerosotan undi
kaum Cina dengan tunduk kepada kehendak UMNO ataupun mengekalkan status pembela
mereka namun menghadapi suasana tidak tenteram di dalam komponen BN. MCA perlu
ingat, pihak yang tentunya bersorak gembira dengan kejatuhan mereka ialah rakan
BN mereka sendiri iaitu parti Gerakan.
Gerakan : Perkembangan yang berlaku di dalam MCA memberikan
keuntungan secara tidak langsung sebenarnya kepada Gerakan. Biarpun begitu,
dalam isu bahasa Inggeris, Gerakan nampaknya berada sebaris dengan MCA. Di
dalam isu PORR, Gerakan berjaya sebenarnya meletakkan MCA di dalam keadaan
serba salah.
Penguasaan
Gerakan di Pulau Pinang dijangka tidak akan terjejas. MCA yang tentunya berhajat
sudah begitu lama untuk menguasai Pulau Mutiara mungkin terpaksa menunggu lebih
lama ekoran masalah dalaman.
Cuma
yang mungkin menjadi sedikit persoalan ialah, siapakah yang akan mengetuai
Gerakan untuk mendepani pilihanraya, Timbalan Presiden Gerakan Kerk Choo Ting
ataupun Presiden yang ada sekarang, Dr. Lim Keng Yaik. Siapapun, kedua-duanya
hampir sama jika diukur dari segi pendekatan.
MIC : Penguasaan S Samy Vellu masih lagi begitu kuat di dalam parti yang
mewakili kaum India ini. Pengumuman S Samy Vellu untuk terus mempertahankan
jawatannya sehingga setidak-tidaknya beberapa tahun lagi akan meletakkannya
lebih bersejarah dari Dr. Mahathir sendiri. Semenjak dilantik mengetuai MIC
pada 1978, S Samy Vellu ternyata tidak mampu untuk dicabar oleh sesiapapun.
Tahun
2002 tidak banyak mencatatkan sejarah kepada MIC. Ketiadaan parti lain yang
boleh mewakili suara terbanyak kaum India adalah satu tuah kepada MIC. Cuma
kadang-kadang suara M. Kayveas di dalam mebodek Mahathir Mohamad terutama dalam
isu bahasa Inggeris baru-baru ini kedengaran lebih lantang dari S Samy Vellu
sendiri. Rupa-rupanya M Kayveas benar-benar setia kepada Dr. Mahathir. Benarkan
begitu ataupun ada hajat lain yang diidamkan?
Kata
pepatah Inggeris, a brother to begin, a sister to win. Ia bermaksud,
seorang lelaki yang ingin mendapatkan seorang wanita idaman akan berusaha untuk
merapati adik lelaki atau abang wanita tersebut. Ia adalah sebagai jalan untuk
mendapatkan perkara lain yang dihajati. M Kayveas begitukah? Kalau demikian, S
Samy Vellu perlu berhati-hati. Jangan nanti wujud parti kaum India yang lain
yang boleh menggugat MIC di dalam BN. Bagaimanapun, kedudukan S Samy Vellu
nampaknya mantap dan semakin mantap untuk berdepan dengan pilihanraya umum.
Keadilan-PRM : Tahun 2002 yang menyaksikan kelahiran parti kacukan ini
sepatutnya mampu menggegarkan persada politik negara. Sayang sekali,
orang-orang seperti Ezam, Hishamuddin, Badrul dan lain-lain berada di dalam
jerjak besi. Pilihanraya selepas ini akan hilang serinya dengan ketiadaan
suara-suara daripada mereka. Mampu atau tidaknya parti ini mencetuskan kejutan
di dalam pilihanraya ialah bergantung kepada sejauh manakah isu Anwar masih
berada di dalam ingatan rakyat Malaysia.
Umum
menerima bahawa mentaliti rakyat masih lagi beku dan mudah lupa. Keadilan-PRM
perlu untuk memanipulasikan simpati terhadap Anwar semaksimum yang mungkin.
Ditambah dengan isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan sebagainya
yang nampaknya sesuai untuk diperjuangkan oleh Keadilan-PRM, pilihanraya selepas
ini adalah peluang terbaik Keadilan-PRM untuk memastikan pembebasan Anwar yang
dilaporlan merindui kebebasan.
Namun
perlulah diingat, simpati bukanlah faktor yang baik sebenarnya untuk
dimanipulasikan. Keadilan-PRM perlu lebih berusaha mengemaskinikan jentera
parti. Terus-terang, di Kelantan khususnya, parti Keadilan nampaknya masih
mengharapkan jentera dan tenaga petugas PAS untuk memenangi pilihanraya.
Bagi
saya, Keadilan-PRM perlu memperkukuhkan kualiti kepimpinan di dalam parti.
Buangkanlah bayangan bahawa pemimpin sebenar mereka berada di dalam penjara.
Sesebuah organisasi yang kukuh adalah organisasi yang mempunyai barisan pelapis
kepimpinan yang mantap dan utuh. Kemantapan ini tidak mungkin hanya lahir hasil
demonstrasi jalanan. Ia perlu lahir hasil perancangan dan kemantapan tanzim.
Adakah Keadilan-PRM di bawah Datin Seri Wan Azizah dan Syed Husin berada di
tahap ini? Saya serahkan penilaian kepada para pembaca.
DAP : Sama sepeti tahun-tahun sebelum ini, DAP masih dilihat begitu kontra dengan
konsep negara Islam. Pergolakan dalaman yang berlaku di dalam MCA sepatutnya
memberikan keuntungan secara tidak langsung kepada DAP khususnya dalam
memastikan penguasaan mereka
terhadap Pulau Pinang. DAP perlu mengambil kesempatan di atas pergolakan
MCA-Gerakan dengan semaksimum mungkin.
Perpisahan
DAP dengan PAS di dalam Barisan Alternatif secara jujurnya memberikan kesan
kepada barisan pembangkang. DAP dan PAS perlu berusaha untuk duduk semeja.
Kedua-duanya tidak akan berjaya untuk memerintah Malaysia tanpa kerjasama
anatar satu sama lain. Namun, apakah lagi yang perlu diperjuangkan oleh DAP
selepas semua tuntutan dan perjuangannya kini sekaligus menjadi perjuangan
UMNO? Saya tertunggu-tunggu, adakah DAP akan mengumumkan Projek Tanjung yang
seterusnya sebagaimana pilihanraya-pilihanraya yang lepas.
Parti Islam SeMalaysia (PAS) Pemergian Dato Fadzil Noor
Meletakkan
PAS di dalam senarai terakhir di dalam tulisan ini bukanlah bererti saya
memperkecilkan kemapuan parti ini. Malah ia sebenanrnya memperlihatkan harapan
saya yang begitu besar agar PAS mencipta sejarah gemilang di dalam pilihanraya
seterusnya.
Tahun 2002 ialah satu tahun yang
begitu bersejarah bagi PAS yang kehilangan Almarhum Dato Fadzil Noor pada 23
Jun 2002. Ternyata, kehilangan beliau ketika suasana memerlukannya meletakkan
PAS berdepan dengan cabaran kepimpinan parti yang begitu mendesak.
Pemergian
Almarhum mencetuskan emosi bersejarah buat penyokong-penyokong PAS sehinggalah
ke hari ini. Masih terdengar rasa sebak suara Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz
ketika membacakan doa semasa menyampaikan kuliah Jumaatnya yang pertama selepas
kematian almarhum. Juga masih terngiang-ngiang sebahagian ucapan terkahir
Almarhum semasa memberi ucapan penangguhan muktamar agung yang lepas,
Kalau
boleh, saya tidak ingin berhenti bercakap dengan orang-orang yang saya
sayangi
Pendekatan Berlainan (Different Approaches)
Tahun 2002 memperlihatkan
kemenangan bergaya AKP di Turki. Ia
memberikan pengajaran yang cukup berharga kepada PAS. AKP yang dilihat
sebagai parti yang akan membawa mesej Islam ternyata tidak menjadikan Islam
sebagai bahan kempen mereka. PAS sepatutnya bergerak ke arah itu. Penekanan
terhadap isu negara Islam dan hudud sepatutnya dikendurkan namun tidak wajar
diketepikan sartus peratus. PAS sebenarnya masih di dalam perhatian masyarakat
nasional dan antarabangsa. Pelbagai pihak menunggu bilakan Pemangku Presiden
PAS akan menunjukkan sifat radikalnya seperti yang diramalkan oleh perlbagai
pihak. Hingga ke hari ini, nampaknya Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi berjaya
menafikan imej radikal yang diletakkan di atas serbannya.
Sekiranya
dilihat prestasi PAS di dalam pilihanraya-pilihanraya kecil selepas 1999,
sokongan orang-orang Melalyu kepada PAS masih lagi bertahan. Namun, cukupkah kekuatan
ini memungkinkan bendera PAS berkibar di Putrajaya?
PAS
semestinya menyedari, tanpa undi daripada orang bukan Melayu Islam, mereka
tidak akan mampu memerintah Malaysia. Tidak selagi matahari mampu untuk
bercahaya. Oleh yang demikian,
satu pendekatan khusus dengan golongan ini perlu dilakukan. Apalah salahnya
jika diketepikan dulu ideologi negara Islam dan tumpukan kepada soal-soal
kepentingan bersama. Sirah sendiri memperlihatkan bahawa Nabi Muhammad tidak
keberatan untuk menggugurkan gelaran Rasulullah kepadanya semasa memeterai
perjanjian Hudaibiyyah.
Pilihanraya
selepas ini membuktikan setakat manakah pengundi di kedua-dua buah negeri ini
terpengaruh dengan serangan berterusan UMNO-BN melalui media massa khususnya.
Serangan mental seperti yang diperlihatkan di dalam siri Kelantan Dalam Gerhana
mungkin tidak akan mempengaruhi golongan intelek namun ia sebenarnya boleh
merubah pemikiran orang-orang kampung. PAS perlu mengerahakn jenteranya untuk
kelaur masuk kampung bermula sekarang lagi bagi menangkis serangan tidak
bermaruah seperti ini. Perlu diingatkan, jentera Pemuda UMNO dan Puteri kini
sedang giat melakukan kempen dari rumah ke rumah khususnya di negeri Kelantan.
Dalam
masa yang sama, PAS tentunya ingin menawan beberapa buah negeri lagi sekalipun
tidak berjaya menawan Putrajaya. Di dalam igauan PAS, terbayang Kedah, Perlis
mungkin Selangor yang bergelumang dengan isu rasuah Menteri Besarnya.
Bagi saya, PAS hanya akan dapat
merealisasikan cita-citanya dengan menghight-lightkan isu-isu bersama.
Soal-soal ideologi tulin PAS seperti negara Islam, hudud dan sebagainya lebih
baik diketepikan khususnya dalam memburu kemenangan. Ingatlah, kemenangan AKP di
Turki bukan kerana ideologi politk Islam namun kerana trade-mark pemimpin AKP
yang dilihat oleh rakyat mampu untuk membawa Turki keluar dari kemelut ekonomi.
Apapun,
tahun 2003 yang akan menjenguk kita pastinya menjanjikan cabaran dan catitan
sejarahnya yang tersendiri khususnya kalau pilihanraya diadakan pada tahun
tersebut.
Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari
25 Disember 2002
site : www.ahmadfadhli.com
e-mail : afadhlis@maktoob.com