đH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/politik24.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/politik24.htm delayed x řEÔJ ˙˙˙˙ ˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙˙Č ş ~> OK text/html ŔĂg ~> ˙˙˙˙ b‰.H Sun, 07 Dec 2003 13:05:03 GMT Ź Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * řEÔJ ~>
Ke Arah
Mana Ibrahim Ali?
Dari
Kaherah, mendengar berita mengenai pengguguran Dato’ Paduka Ibrahim Ali dari
jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas sebenarnya adalah satu perkara
yang tidak mengejutkan. Inilah sebenarnya politik. Ia umpama roda yang bergerak
ke atas dan ke bawah. Ibrahim Ali tentunya seorang yang cukup arif dengan sepak
terajang politik tentunya menganggap ini sebagai perkara biasa di dalam hidup
seorang ahli politik. Lagipun, bukankah Ibrahim berjuang untuk ‘agama, bangsa
dan negara’ sebagaimana yang sering didakwanya? Pastinya seorang yang ikhlas
berjuang tidak akan mementingkan soal jawatan, malah sanggup menjadi seorang
gurkha sebagaimana bekas bosnya yang sekian lama ‘beraja’ di Gua Musang?
Menelusuri
politik Ibrahim Ali sebenarnya memualkan mata siapa saja yang memandang.
Sebagai seorang anak jati Pasir Mas, saya berpeluang melihat sendiri bagaimana
Ibrahim Ali bermain politik. Malah sejarah politiknya cukup panjang untuk
diceritakan. Seorang bekas juara Parti Berjasa yang kemudiannya memasuki UMNO
dan keluar bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 lalu terkenal
dengan ungkapannya ‘menjilat punggung’. Inilah sumpah yang dilafazkan
seandainya beliau memasuki semula UMNO yang sering dilaung-laungkan di dalam
kempen pilihanraya 1990. Waktu itu, saya baru berusia 10 tahun namun bagaikan
terngiang-ngiang ucapan berapi-api Ibrahim di dalam telinga saya sewaktu beliau
berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri Tendong. Ayah saya membisik, “Inilah
pemimpin kita..” Saya hanya terdiam dan menyimpan rasa kagum di dalam hati.
Namun,
rasa kagum itu tidak bertahan lama. Selang hanya beberapa tahun selepas
pilihanraya 1990, Ibrahim Ali melompat semula ke dalam UMNO. Habis sudah
‘menjilat punggung’ yang sering dilafazkan satu ketika dulu dan kini tidak
siapa tahu adakah sumpah ikrar yang sering dilafazkan dulu sudahpun
dilaksanakan atau tidak. Inilah sejarah lompat-melompat yang diamalkan oleh
Ibrahim Ali dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Bagaimanapun, kemasukan
Ibrahim Ali ke dalam UMNO nampaknya satu perkara yang kurang dialu-alukan oleh
UMNO sendiri. Amalan politik UMNO di bawah pimpinan Ibrahim Ali yang berjaya
menjawat jawatan Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas hasil dari politik ‘cah keting’
juga adalah satu perkara yang memualkan. Tiada apa yang dibawa oleh Ibrahim Ali
kecuali politik pecah belah dan ‘cah keting’ yang diwar-warkan oleh akhbar
milik UMNO sendiri. Rakyat Malaysia masih tidak lupa dengan percubaan Bahagian
Pasir Mas mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Timbalan Presiden UMNO di dalam
pemilihan UMNO beberapa tahun yang lepas. Begitu juga dengan sikap Ibrahim Ali
di dalam menerima perlantikan Dato’ Mustapha sebagai Ketua Badan Perhubungan
UMNO Negeri Kelantan. Malah masih ramai yang tidak lupa peranan Ibrahim Ali
yang menjayakan perhimpunan di Kuala Lumpur yang bertemakan “Tidak Melayu
Hilang Di Dunia” beberapa tahun yang lampau.
Saya
pasti banyak pihak di dalam UMNO sendiri terlalu kurang senang dengan pembawaan
Ibrahim Ali. Oleh kerana itulah, walaupun sudah kering air mata beliau
menangisi pemergian Tun Dr. Mahathir beberapa bulan yang lepas, beliau tetap
tidak diberikan sebarang jawatan di dalam rombakan UMNO Kelantan. Masakan
tidak, seorang pelakon air mata tentunya dapat menilai lakonan pelakon air mata
yang lain!
Namun,
beliau juga berjasa di dalam menambahkan rasa meluat rakyat Pasir Mas terhadap
UMNO. Sanjungan yang berlebihan terhadap Ibrahim Ali yang dirangkan sendiri
oleh beliau dan pengikut-pengikutnya bermatlamat untuk menanam politik taksub
yang berlebihan di dalam sanubari orang kampung terhadap wira adi jagat mereka
ini, bagaimanapun saban hari menambahkan rasa mual dan meluat di dalam jiwa
para pengundi Pasir Mas. Munculnya madrasah yang dinamakan ‘Madrasah IT Ibnu
Ali’ di kawasan Dewan Undangan Negeri Tendong adalah satu perkara yang jarang
dibuat orang. Siapakah ‘ibnu ali’ kalau tidak Ibrahim Ali? Agak janggal
sebenarnya apabila Ibrahim Ali yang bersungguh-sungguh membina madrasah tersebut
dengan duit rakyat tiba-tiba menamakannnya dengan namanya sendiri. Ya, tidak
salah.. namun ia janggal dan memualkan.
Begitu
juga semasa kunjungan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan sempena upacara perasmian
Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong pada September yang lepas, jelas
kelihatan kain-kain rentang yang menyanjung Ibrahim Ali melebihi bosnya
sendiri. Satu sepanduk gergasi bertulis, ‘Keranamu Ibrahim Ali…” melebihi
besarnya sepanduk terhadap UMNO dan Presidennya sendiri memualkan bukan sahaja
penyokong PAS malah ahli-ahli UMNO sendiri. Pembinaan Jambatan Tendong dicanang
sepenuhnya seolah-olah dibina
dengan duit peribadi Ibrahim Ali sehingga ada di kalangan orang-orang kampung
menganggap demikian. Bagaimanapun, tidak semua orang boleh ditipu. Dan tiada
siapa mengetahui berapa banyak keuntungan Ibrahim Ali dan pengikut-pengikutnya
hasil pembinaan jambatan tersebut….
Begitu
juga tingkah laku Ibrahim Ali di dalam mengendalikan pertubuhan Majlis Tindakan
Rakyat Kelantan (MRTK). Di saat bekas orang kuat MRTK, Zaid Ibrahim dicanang
dan dijulang sebagai wira baru UMNO Kelantan, Ibrahim Ali terus terpinggir di
tepi bendang menunggu masa untuk melompat ke petak padi yang lain. Masakan
tidak, karenah MRTK yang lebih merupakan pertubuhan peribadi Ibrahim Ali cukup
menggelisahkan UMNO Kelantan. Rakyat Kelantan tentunya masih ingat betapa
biadapnya Ibrahim Ali semasa menganjurkan konsert Siti Nurhaliza dan perarakan
patung burung petalawati pada tahun lepas yang berselindung di sebalik nama
MRTK dan kuasa istana. Tidak ada analisis politik yang menyimpulkan tindakan
tersebut memberikan keuntungan kepada UMNO Kelantan. Namun itulah Ibrahim Ali
yang tindakannya kadang-kadang lebih kurang sama dengan kanak-kanak berumur
lima tahun. Patung petalawati
seterusnya diisytiharkan haram di sisi syariat dan akhirnya hilang terbang
entah ke mana.
Namun,
Ibrahim Ali tidak pernah belajar dari sejarah. Sekali lagi pada tahun ini, MRTK
menganjurkan konsert di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang mencetuskan
polemik yang hebat dengan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Sekali
lagi, rakyat Kelantan ingin bertanya kepada Ibrahim Ali, “Berahim, mun nok
rakyat Kelate jadi lagu mano ni..?” Dalam erti kata lain, apa sebenarnya yang
ingin dibawa oleh Ibrahim Ali kepada rakyat Kelantan? Dan UMNO Kelantan
tentunya sedar bahawa tindakan Ibrahim Ali tentunya membawa palit kepada UMNO
sendiri dan memberikan kesan di dalam pilihanraya umum nanti.
Di
tengah-tengah perasmian Jambatan Tendong, sekali lagi Ibrahim Ali cuba
menonjolkan diri untuk menjadi juara. Seramai lebih kurang 500 orang pelajar
dipilih untuk menyertai larian dan memakai t-shirt bertulis Adi Jagat dan MRTK.
Siapakah MRTK di tengah-tengah program rasmi kerajaaan seperti itu? Namun,
itulah dia politik Ibrahim Ali. Masih terngiang-ngiang tema larian yang
berbunyi, Bernafas Di Dalam Debu… dan sekarang masihkah Ibrahim bernafas di
dalam debu atau sudah lemas di dalam sungai Tendong..?
“Saya
digantikan dengan orang yang lebih tua daripada saya, malah saya ‘disembelih’
dua hari sebelum raya. Apakah saya ni jahat sangat..” Getusan spontan Ibrahim Ali yang mengulas mengenai
pemecatannya membayangkan bagaimana rasa tidak puas hati yang bersarang di
dalam sanubarinya. Dan kerana
itulah barangkali sepanduk-sepanduk yang mengecam Dato’ Mustapha dinaikkan di
bandar Kota Bharu dan Pasir Mas (harakahdaily.net, 1 Disember 2003). Terima
kasih kepada UMNO kerana mengesahkan berita bahawa mereka sedang berpecah
belah. Dan tahniah kepada Ibrahim Ali di atas ‘hadiah hari raya’ yang diterima.
Cuma,
kita sedang ternanti-nanti ke arah mana Ibrahim Ali akan melompat selepas ini.
Mungkinkah kepentingan peribadi Ibrahim Ali yang masih lagi banyak bersama-sama
dengan UMNO (rujuk kenyataan Husam Musa, harakahdaily.net, 1 Disember 2003)
akan menghalangnya untuk melompat atau beliau akan meneruskan tradisi biasanya
iaitu melompat? Andainya beliau melompat ke arah PAS, sudikan PAS menerima
kehadiran manusia ini? Harap-harap biarkan saja borang permohonannya tersadai
di meja mesyuarat……
Ahmad Fadhli bin Shaari,
2 Disember 2003
Kaherah, Mesir.
http://www.ahmadfadhli.com