H geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/politik25.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/politik25.htm delayed x EJ ' OK text/html h ' b.H Wed, 10 Dec 2003 15:27:41 GMT Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * EJ '
Kredibiliti BPR : Lambang Maruah Pak Lah?
Apakah sebenarnya yang berlaku di sebalik perang mulut antara Menteri Pembangunan Usahawan Dato Seri Mohd Nazri Aziz dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato Azmi Khalid dengan Badan Pencegah Rasuah beberapa hari kebelakangan ini? Nampak seolah-olah satu lakonan sedang dipentaskan di hadapan rakyat jelata bagi mengisyaratkan tentang satu perkara yang sekian lama berlaku di dalam tanahair. Perang mulut yang berlaku ini sebenarnya satu ujian yang cukup besar kepada kredibiliti Pak Lah yang sedang berbulan madu dengan jawatan PM. Apatah lagi, BPR di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri.
Dato Seri Mohd Nazri Aziz jika jika diperhatikan seolah-olah cukup tidak puas hati dengan cara BPR mengendalikan siasatan mengenai dakwaan yang seorang individu mendapat 6,000 permit teksi. Nampak bersungguh-sungguh beliau mahukan BPR menyiasat dakwaan ini hingga sanggup mencabar supaya beliau ditangkap jika tidak memberikan kerjasama (Utusan Malaysia, 9 Disember 2003). Nazri seperti dilaporkan oleh akhbar-akhbar utama cukup terasa hati dengan sikap Ketua Pengarah BPR yang mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya akan meminta polis mengeluarkan waran tangkap kepada mana-mana pihak yang tidak memberikan kerjasama kepada BPR dalam menjalankan siasatan.
Apakah sebenarnya yang berlaku di hadapan rakyat pada hari ini? Adakah keberkesanan BPR sudah tidak dipercayai oleh kebanyakan rakyat hingga ke peringkat menteri sekalipun sudah tidak mempercayai BPR? Andainya demikian, apatah lagi sikap pembangkang yang selama ini mengemukakan laporan demi laporan kepada BPR namun semuanya dibakulsampahkan?
Andainya diperhatikan, siapakah sebenarnya yang ingin dipertikaikan oleh Nazri? BPR atau ketuanya iaitu Pak Lah sendiri? Pak Lah sejurus sahaja memegang jawatan Perdana Menteri terus mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap rasuah. Malah jika diperhatikan lebih jauh, Pak Lah memang suka membuat pengisytiharan. Dan pengisytiharan membasmi rasuah ini terus disusuli dengan perang mulut antara Nazri dengan BPR. Siapakah yang lemah atau dilihat lemah di dalam soal ini? Sehingga kini, tidak nampak dengan jelas apakah tindakan Pak Lah di dalam menyelesaikan isu rasuah yang bertimbun-timbun samada yang dilaporkan oleh pembangkang atau pihak-pihak yang lain.
Selain isu Nazri dan penyelewengan duit PPRT di bawah Kementerian Luar Bandar, bagaimana dengan laporan Dato Fauzi dan Beserah terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Khalil Yaakob? Sebagaimana Pak Lah dengan cepat menggugurkan Ibrahim Ali dan beberapa orang lagi di Kelantan, maka secepat itulah sepatutnya Pak Lah bertindak terhadap isu rasuah. Pengguguran ketua bahagian ialah isu UMNO namun rasuah ialah isu rakyat!
Kita tentunya akan terus tertanya-tanya, bagaimana dengan kes-kes yang besar seperti penyelewengan wang dalam Perwaja Steel sebanyak RM10 bilion, kes Datuk Seri Rafidah Aziz, kes dakwaan rasuah bekas Ketua Pengarah EPU, kes Tajuddin Ramli di sekitar Mas Kargo, kes Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikatakan terlibat mencampuri urusan di Jabatan Imigresen, kes penyelewengan wang sebanyak RM40 juta melibatkan bekas menteri, 6 laporan polis terhadap dakwaan amalan rasuah Dato' Seri Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor. Dan seterusnya bagaimana dengan laporan polis Pemuda BA terhadap Tun Mahathir yang dibuat pada 31 Oktober yang lalu?
Jika Dato Seri Nazri menginginkan supaya siasatan BPR diumumkan untuk menyucikan nama beliau, maka BPR jug sepatutnya mengumumkan siasatan yang dibuat terhadap Kerajaan Negeri Terengganu yang kononnya terlibat di dalam penyelewengan pemberian konsesi balak terhadap seorang gadis berusia 26 tahun. Ia heboh diperkatakan di dalam akhbar, dan pada hari yang sama BPR terus menemui Pengarah Yayasan Terengganu untuk menyoal siasat. Bagaimana dengan hasil siasatan? Andainya benar-benar bersalah, lakukan tangkapan. Dan andainya tidak, umumkan hasil siasatan supaya kerajaan Negeri Terengganu juga turut dibersihkan namanya.
Soalnya, BPR seolah-olah terlalu lembik dalam menyiasat. Kita bimbang, imej PM baru semakin tercalar dengan kelembapan BPR menjalankan tugas. Malah kita lebih bimbang, andainya pengisytiharan demi pengisytiharan yang dibuat oleh Pak Lah menjadi bahan tertawa generasi anak cucu kita yang terkemudian.
10 Disember 2003
Kaherah, Mesir.
http://www.ahmadfadhli.com