ðH geocities.com /FashionAvenue/Salon/8190/politik31.htm geocities.com/FashionAvenue/Salon/8190/politik31.htm delayed x üEÔJ ÿÿÿÿ ÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÿÈ º 7( OK text/html ÀÃg 7( ÿÿÿÿ b‰.H Thu, 12 Feb 2004 08:30:22 GMT — Mozilla/4.5 (compatible; HTTrack 3.0x; Windows 98) en, * üEÔJ 7(
Tidak Mudah Bergelar Pejuang
Tiada berita yang lebih menggemparkan (dan juga menyedihkan) pendokong-pendokong reformasi selain melompatnya beberapa orang bekas wira Keadilan kembali ke pangkal jalan (yang sesat?) iaitu UMNO pada 11 Februari 2004. Mereka ialah naib ketua pemuda KeADILan, Zahid Mat Arip, ketua perhubungan KeADILan Negeri Sembilan, Ruslan Kasim, bekas naib ketua dan setiausaha pemuda, Hamdan Taha, pengarang akhbar rasmi KeADILan, Hanafiah Man, dan Ketua KeADILan bahagian Bentong, Pahang Dr Wahid Suhaimi. Dari jauh, hati terasa benar-benar terhiris dengan tindakan mereka yang umpama teratai layu di tasik madu, bunga yang layu sebelum berkembang mekar. Lalu, ke manakah perginya kata-kata keramat yang pernah dijulang satu ketika dahulu hingga meresap ke jiwa pendokong reformasi, Kalau takut dengan risiko usah bicara tentang perjuangan?
Bersangka baik dengan mereka yang pernah menjulang bendera reformasi ini, elok rasanya kita menyelongkar semula kenapa pejuang-pejuang ini gugur di pertengahan? Adakah jiwa yang dulunya bersemangat sudah luntur dek tekanan ekonomi dan kewangan? Atau sememangnya mereka begitu ikhlas dengan kenyataan Pak Lah sudah sempurna? Atau berlaku sesuatu di dalam Keadilan yang menjadi punca pertelingkahan dalaman? Kita sebenarnya masih belum hilang terkejut dek pertempuran antara Ezam dan Lokman tempoh hari, tiba-tiba digegarkan dengan lompatan bergaya Zahid Mat Arip, Ruslan Kassim dan rakan-rakan mereka.
Saya pasti, boleh dikatakan semua pendokong reformasi menjulang nama mereka sebelum ini. Malah, di antara penceramah Keadilan yang saya minati ialah Zahid Mat Arip dan Ruslan Kassim. Pemimpin-pemimpin muda Keadilan dilihat sebagai wira-wira yang berani mendada cabaran, meniarap menelan debu, terlentang menadah embun. Tiba-tiba, di saat-saat genting kita berdepan dengan cabaran pilihanraya, mereka mengkhianati laungan perjuangan yang mereka sendiri julang. Hati manakah tidak terhiris?
Tiada yang dapat menafikan, hakikat sebenar tekanan yang dihadapi ialah kewangan. Jika benarlah pendedahan yang dibuat oleh Saudara Zool Hilmi, mereka telah disogok dengan jumlah wang yang tidak sedikit. Tentu sekali sukar bagi seorang yang terpaksa menanggung anak isteri menolak tawaran istimewa dalam keadaan yang begitu tersepit. Segala bil perlu dijelaskan, bayaran ansuran rumah dan kereta tidak boleh ketinggalan, ditambah dengan pembelajaran anak-anak dan keperluan rumah, semuanya tidak mampu dijelaskan dengan hanya laungan perjuangan. Apakah ertinya laungan ‘reformasi’ andainya dapur di rumah tidak berasap? Lebih jauh dari itu, jika memang perjuangan mereka sebelum ini bermatlamatkan kemewahan dan kedudukan, pasti lebih mudah untuk mereka menjual harga diri.
Let bygones be bygones. Biarkanlah mereka yang telah pergi mencari kebahagiaan untuk diri mereka. Di atas segala jasa baik dan titik peluh yang mereka tumpahkan untuk perjuangan ini wajar kita hargai. Namun, bagaimanakah dengan pejuang yang masih berbaki? Masih terus tegarkah di atas paksi perjuangan ini atau sedang terumbang-ambing mencari kayu hanyut untuk berpaut. Para pemimpin Keadilan khususnya (kerana gejala ini nampaknya sedang hebat menyerang Keadilan bukan PAS) perlu bermuhasabah di manakah silap dan salahnya mereka hingga berlakunya gejala ini. Apakah benar dakwaan Lokman berlakunya penyelewengan dai dalam parti? Atau sememangnya mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk melompat masuk ke dalam UMNO dan musim menjelangnya pilihanraya ini menjadi pilihan mereka? Kita bimbang sedikit demi sedikit pejuang-pejuang yang dulunya membara panas semangat mereka hingga rela dipenjara tiba-tiba semuanya melutut memohon simpati dari rejim yang dulunya mereka ludah dan hina. Jika diperhatikan senario yang berlaku pada hari ini, tidak mustahil pemimpin-pemimpin Keadilan khususnya yang masih ada pada hari ini akan dibeli dengan harga yang mahal menjelangnya pilihanraya. Perlu diingat, seorang pemimpin kembali kepada UMNO sebenarnya meruntuhkan semangat ribuan pendokong!
Perjuangan tidaklah semudah berslogan dan beretorik. Ya, mudah sekali lidah melaungkan kata-kata semangat hingga menusuk masuk ke sanubari pendengar, namun setakat manakah kemampuan untuk beristiqomah dengannya? Andainya pemimpin-pemimpin yang melompat ini dapat menghayati betapa menderitanya Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik jerjak besi, rasanya tidak tergamak mereka berpaling hanya demi mencari kemewahan yang sedikit. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Surah Al-Baqarah, ayat 142).
Kita sering membaca malah kitalah yang menerangkan kepada khalayak sejarah perjuangan generasi yang terdahulu yang ada di antaranya mati kerana prinsip, tiba-tiba kitalah yang mengkhianati perjuangan ini? Di sinilah para pemimpin Keadilan perlu bermuhasabah dan memeriksa kembali asas perjuangan yang mereka. Andainya UMNO berjaya mengekalkan penyokongnya kerana wang, maka Keadilan tidak mampu untuk berbuat demikian. Janganlah kerana sudah terbiasa dengan jiwa UMNO, maka ia terbawa-bawa ke dalam arena perjuangan sebagai pembankang. Hakikatnya, PAS berjaya mengharungi semua ini kerana inilah itulah suasanya selama ini. Bagaimana pula dengan Keadilan?
Para Pemimpin Keadilan, ingatlah kata-kata keramat yang pernah kita laungkan bersama, kalau takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan.
Ahmad Fadhli bin Shaari,
12 Februari 2004.
Kaherah, Mesir.
http://www.ahmadfadhli.com