Ulasan
Review
. .

Judul : Colour of Paradise
Arahan : Majid Majidi
Lakonlayar : Majid Majidi
Pelakon : Moshen Ramezani, Hossein Mahjoub, Salime Feizi, Elham Sharifi dan lain- lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Colour of Paradise -- Paparan erti kasih sayang

Filem ini dibuka dalam layar yang gelap, yang kedengaran hanyalah suara. Suara si guru dengan muridnya yang diminta mengenal pita kaset kepunyaan si murid. Kita yang menonton juga bagaikan keliru antara dialog-dialog itu dengan kredit nama yang terpapar di layar sedangkan latarnya begitu gelap.

Kemudian perlahan-lahan Majid Majidi mengenalkan kita dengan Mohamad (Mohsen Ramezani) kanak-kanak buta berusia lapan tahun yang belajar di sebuah sekolah buta di Tehran. Adegan pembukaan filem ini mengajak kita memahami dunia gelap yang dialami oleh orang buta, menjadi lebih peka dengan persekitaran dan setiap bunyi yang melintas.

Majid Majidi yang pernah memberikan kita filem Children of Heaven (pernah dicalonkan untuk Anugerah Akademi) sekali lagi memberikan kita dunia kanak-kanak yang murni dan tanpa prasangka. Berbeza dengan Children of Heaven yang menumpukan permasalahan sosial sebuah keluarga miskin di kota, Colour of Paradise adalah dunia sensitiviti dan penuh emosi kanak-kanak buta.

Sekali lagi bukan kesan melankolik dan luapan emosi yang melatari filem ini. Dunia yang gelap dan penuh warna, keterasingan dan keakraban serta saling memahami, kekecewaan dan kegembiraan, kekuatan dan kerapuhan dalam kehidupan menjadi dasar filem ini.

Kontras dan ironi inilah yang dipaparkan oleh Majid Majidi. Secara metafora Majid Majidi membezakan pandangan antara si bapa (Hosein Mahjoob) seorang pelombong arang batu yang kelihatan mempunyai pandangan hidup yang singkat dengan anaknya, Mohamad yang buta yang perlu sensitif terhadap bunyi dan alam sekitarnya dan mengenal mana yang penting dalam kehidupan ini.

Si bapa, adalah seorang duda dalam keadaan terpaksa membawa pulang Mohamad dari asrama pelajar buta. Si bapa lebih suka meninggalkan anaknya di asrama kerana alasan tiada siapa yang dapat menjaga Mohamad di rumah. Tetapi kepulangan Mohammad nyata disambut mesra dan penuh kehangatan oleh neneknya dan dua adik perempuannya.

Si bapa memang bekerja keras tetapi adalah usahanya untuk memenuhi perbelanjaan untuk perkahwinan dengan seorang wanita di kampungnya. Sedangkan Mohammad mengharapkan kehangatan kasih sayang seorang bapa.

Perasaan terasing, kecewa dan penderitaannya diluahkan dan ditangisi oleh Mohamad kepada tukang kayu yang juga buta yang lebih memahami perasaan insan senasib dengannya dalam adegan yang cukup menyayat dalam filem ini.

Adegan pembukaan yang gelap dan kemudian keriuhan kota dan seterusnya keindahan alam yang menghijau serta bungaan pelbagai warna digambarkan dengan cemerlang oleh kamera Majid Majidi.

Keindahan pemandangan yang mempesona itu ditambah dengan rakaman bunyi alam seperti burung, angin, air dan alam serangga. Kesemua elemen pemandangan yang penuh warna dan kesan bunyi menjadi metafora kepada kehidupan Mohamad yang gelap dan terasing tetapi cukup sensitif pada persekitarannya.

Lihat bagaimana Mohamad cuba merasa tiupan angin, menyentuh dedaun dan air, menghembus bebunga, malah menyentuh pipi neneknya serta adik-adiknya dan dengan penuh peka cuba menangkap kesan bunyi alam. Matanya buta tetapi dia cuba melihat semua itu dengan sentuhan dan rasa.

Hal ini berbeza dengan bapanya yang kelihatan kasar dan hanya mementingkan perasaan diri sendiri. Si bapa hanya menyedari kelemahan dirinya ini dalam memberikan kasih sayang kepada anaknya selepas satu tragedi di sungai dan dia gagal menyelamatkan Mohamad yang dihanyutkan oleh arus sungai yang deras, sehinggalah mereka terdampar di tepi pantai.

Simplicity adalah dasar Colour of Paradise hinggakan imej-imej yang ringkas dan indah itu kelihatan begitu bertenaga dalam mengungkapkan perasaan batin.

Yang dilakukan oleh Majid Majidi adalah mengajak kita untuk mengerti dan memahami kehidupan ini melalui sebuah filem yang kelihatan begitu sederhana dan mudah.

Yang lebih mengkagumkan kita adalah bagaimana lakonan yang begitu baik dan natural oleh Mohsen Ramezani yang sememangnya buta.

Tanpa perlu pesanan moral yang begitu mengajar, filem ini secara sensitif dan bijaksana mengajak kita memahami antara peranan medium filem iaitu berkongsi erti kehidupan.

Sumber : Utusan Online 16/3/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001