Ulasan
Review
. .

Judul : Con Air
Arahan : Simon West
Lakonlayar : Scott Rosenberg
Pelakon : Nicolas Cage, John Malkovich, Steve Buscemi, John Cusack, Mykelti Williamson, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Penuh aksi tetapi kosong isi

Apakah ukuran untuk menghasilkan sebuah filem blockbuster di Hollywood hari ini? Banyakkan letupan, ganas dan keras, banyakkan aksi kosong dan lebihkan kemusnahan. Cuma satu yang tidak perlu ada dalam filem blockbuster iaitu plot yang baik. Itulah resipi terbaik untuk filem blockbuster Hollywood. Kerana itu filem-filem yang dikategorikan blockbuster seboleh mungkin tidak membenarkan penonton mencari ruang alasan mempersoalkan adegan.

Con Air mempunyai semua alasan di atas untuk menjadi sebuah filem blockbuster yang berjaya di pasaran. Itulah Con Air sebuah filem penuh aksi tetapi tanpa isi dan pengertian. Pengarah filem ini adalah Simon West yang sebelum ini telah menghasilkan The Rock. Sebab itulah filem ini hanyalah lanjutan dari kekerasan dan keganasan aksi yang telah ada dalam filemnya sebelum ini.

Cameron Poe (Nicholas Cage) adalah antara lelaki baik (yang dihukum kerana menyebabkan kematian orang yang cuba menyerang dia dan isterinya) di dalam sekumpulan penjenayah yang paling keras dan ganas. Mereka dikumpul dan diangkut untuk dipindahkan ke sebuah penjara yang lain. Cuma caranya sahaja yang memungkinkan risiko yang tinggi bila mana sekumpulan penjenayah yang licik dan ganas dikumpulkan dalam satu kumpulan. Di antara penjenayah ini ialah Cyrus The Virus (John Malkovich) yang menjadi ketua yang merancang rampasan kapal terbang yang mengangkut mereka.

Bagaimanapun, bila mana Vince Larkin (John Cusack) sedar akan risiko dan bahaya yang bakal berlaku akibat dari kebodohan sebahagian pegawainya, malang ia sudah terlewat. Sebagaimana yang diduga, apalah yang boleh diharapkan daripada tiga orang pengawal yang ditugaskan mengiringi mereka. Virus dan konconya berjaya merampas pesawat dan kini yang tinggal adalah Poe untuk bertindak sebagai penyelamat.

Apalah yang dapat diharapkan dari sebuah skrip yang sedemikian memperbodoh dari himpunan segala klise filem-filem blockbuster Hollywood. Filem ini hanya menonjolkan lebih banyak kebisingan, lebih banyak letupan untuk menuju kepada kemusnahan yang lebih besar bila mana pesawat yang dirampas itu mendarat di tengah arena casino Las Vegas. Segala-galanya kelihatan terlalu mudah untuk memberikan keyakinan.

Filem ini menghimpunkan sebahagian besar bintang yang berkebolehan besar antaranya, Nicholas Cage, John Cusack, John Malkovich dan Steve Buscemi. Tetapi sayang, kecuali Steve Buscemi, bintang yang lain bukan sahaja sia-sia malah gagal menyinar. Mereka tenggelam di sebalik segala keriuhan, kebisingan efek dan ledakan serta kemusnahan besar. Hanya lakonan Steve Buscemi (yang menyerlah dalam Reservoir Dogs) yang mengesankan dan berjaya mencuri perhatian sebagai penjenayah kejam tetapi penuh ironi. Dialognya menarik dan punya humornya yang tersendiri. Tetapi Steve Buscemi seorang masih tidak berupaya menerbangkan Con Air dari segala klise dan kelemahan tanpa adanya originaliti dan kekuatan isi.

Sumber : Utusan Online 18/7/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000