Ulasan
Review
. .

Judul : Entrapment
Pengarah : Jon Amiel
Lakonlayar : Ron Bass
Pelakon : Sean Connery, Catherine Zeta-Jones, Ving Rhames, Will Paton, Hector Cruz, Maury Chaykin & para pelakon Malaysia sebagai pelakon tambahan

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Entrapment plot yang kacau

Sekurang-kurang ada tiga sebab mengapa anda perlu menonton filem ini. Pertama (yang penting) adegan kemuncak filem ini digambarkan di Menara Petronas (bangunan yang tertinggi di dunia dan mampu mewakilkan bangunan alaf baru), kedua; sebahagian pengambaran filem ini dilakukan di Chow Kit, Stesen LRT Bukit Jalil dan bandar raya bersejarah Melaka, dan ketiga tentulah kerana adanya Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones (bintang The Mask of Zorro).

Selebihnya, filem ini sekadar mengulang naratif thriller Hollywood yang sudah basi dengan plot yang agak mengacaukan.

Menara Petronas yang menjadi latar utama filem ini memang hadir dengan majestik sekali. Adegan MacDougal (Sean Connery) dan Gin Baker (Catherine Zeta-Jones) bergayut pada tali eletrik di jejambat yang menghubung dua menara pada tingkat 41 telah dilakukan dengan cukup baik.

Malah keseluruhan penggambaran yang melibatkan Menara Petronas dilakukan dengan cukup impresif. Jon Amiel, pengarah filem ini (antara filem arahannya, Somersby dan Copycat) sebenarnya secara sedar telah membentuk konsep visual dan setnya dengan berlatarkan bangunan-bangunan pencakar langit atau di kawasan yang tinggi.

Pembukaan filem ini di mana adegan kecurian lukisan karya Rembrant telah dilakukan di sebuah bangunan tinggi di bandar raya New York, 16 hari sebelum memasuki alaf baru. Adegan penamat filem ini dilakukan di puncak Menara Petronas di saat perayaan menyambut ketibaan alaf baru. Manakala rumah persembunyian Mac terletak di puncak sebuah bukit di Scotland.

Tetapi di sebalik visualnya yang kelihatan berkemilau, plotnya gagal meyakinkan malah menimbulkan banyak persoalan. Watak yang mengelirukan. Siapa sebenarnya Gin Baker yang diminta oleh ajen insurans menjejak MacDouglas yang dikatakan pencuri lukisan Rembrant, tetapi kemudiannya cuba bekerjasama merancang untuk mencuri berbilion ringgit dari sebuah bank antarabangsa yang berpejabat di Menara Petronas di saat ketibaan alaf baru.

Apakah matlamat Gin Baker, penyiasat insurans atau si pencuri yang licik? Gambaran yang diberikan adalah mengelirukan. Mengapa pula Conrad Greene (Maury Chaykin) si penjual di pasaran gelap di Kuala Lumpur mahu benar membeli dua hasil seni hasil curian oleh Mac dan Gin Baker dengan adegannya berlagak seperti sami di sebuah kuil di Kuala Lumpur dan menghisap madat? Dan akhirnya mengapa pula Kuala Lumpur yang dipilih?

Kerana Kuala Lumpur sebagai pusat seni dunia atau pusat kewangan dunia maupun serantau tidak pun diestablished. Persoalan dan kekacauan plot yang tidak kemas ini akhirnya melemahkan dan menganggu naratif filem ini.

Entrapment berjaya memperkenalkan Menara Petronas sebagai menara yang hebat dengan unsur futuristik, tetapi Entrapment sebagai sebuah thriller yang dikatakan mempunyai nilai minda dan semangat serta aksi yang hebat, ia gagal.

Sumber : Utusan Online 7/5/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000