Ulasan
Review
. .

Judul : Erin Brockovich
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Perjuangan gigih seorang wanita

Erin Brockovich Dia adalah bekas ratu cantik, tetapi dua kali menjanda, mempunyai tiga anak dan kesempitan wang untuk perbelanjaan keluarga. Identiti Erin Brockovich (Julia Robert) adalah pakaian seksinya dengan pakaian dalamnya yang jelas, hingga apabila dia muncul di mahkamah kerana kes saman, dia tetap berpakaian sedemikian.

Erin adalah wanita biasa yang degil dan mempunyai keberanian luar biasa yang tiba-tiba menjadi heroin kerana usahanya membantu penduduk Hinkley dalam memenangi AS$333 juta kes saman terhadap skandal syarikat Pacific Gas & Electric yang bertanggungjawab terhadap pencemaran kimia beracun Kromium vi.

Erin daripada seorang kerani di firma peguam itu, kerana kejayaan dalam membongkar kes skandal PG & E, dia berjaya menjadi salah seorang terpenting di firma tersebut bersama ketuanya Ed Masry (Albert Finney) sungguhpun memiliki pengetahuan agak cetek.

Apakah yang berjaya dilakukan oleh Erin tetapi gagal dilakukan oleh mereka yang profesional? Ia adalah kesungguhan dan simpatinya.

Cerita berbentuk ala Cinderella begini pastinya digemari oleh Hollywood. Penonton suka dibelai dengan impian indah begini yang berakhir dengan penamat yang menggembirakan, apatah lagi ia diangkat daripada kisah sebenar yang baru dan orang-orang yang terlibat masih lagi hidup.

Malah khabarnya kes saman penduduk Hinkley terhadap PG & E masih belum selesai. Bagaimanapun sebahagian mereka yang terlibat dalam kes PG & E tidak menyenangi cara Hollywood mengangkat cerita mereka dan bagaimana imej Erin Brockovich digambarkan.

Inilah kesukaran dan cabarannya mengangkat kisah sebenar daripada tokoh yang masih hidup ke filem.

Penduduk Hinkley melihat Erin Brockovich daripada realiti dan berdasarkan pengalaman peristiwa yang sebenar. Sementara itu, Hollywood menggunakan lesen fiksyen di dalam filem untuk mencipta realiti filem.

Akibatnya, realiti filem dan realiti sebenar bertembung. Realiti filem membuang aspek yang kurang penting dan menambah mana yang perlu untuk mencipta naratif dramatik. Ini kerana tidak mungkin keseluruhan peristiwa dapat digambarkan dan yang lebih menimbulkan debat dari sudut pandangan siapakah yang harus digunakan.

Kepada mereka yang tidak terlibat dengan peristiwa sebenar di Hinkley dan tidak mengenali siapa Erin Brockovich yang sebenar akan menerima filem ini sebagai fiksyen kerana ia juga bukan sebuah dokumentari.

Perjuangan asal penduduk Hinkley di California di dalam skandal penipuan PG & E bukanlah mudah, mereka menderita kesihatan dengan kanser serta penyakit lain yang berpunca daripada racun yang mencemarkan sumber air mereka.

Erin Brockovich dengan Ed Masry berusaha mencari penyelesaian dengan PG & E yang harus dipertanggungjawabkan. Hollywood menjadikan perjuangan dan penderitaan mereka ini sebagai sebuah kisah romantis dengan Julia menjadi divanya.

Steven Sodervergh tidak juga menjadikan filem ini sebuah kisah mahkamah yang kompleks tetapi sebaliknya kisah penyiasatan yang diisi dengan adegan komik yang menyenangkan. Kerana itu filem ini mudah diterima oleh penonton yang sememangnya menyimpan impian seperti Erin Brockovich.

Sumber : Utusan Online 12/5/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000