Ulasan
Review
. .

Judul : Godzilla
Arahan : Roland Emmerich
Lakonlayar : Dean Devlin & Roland Emmerich
Pelakon : Matthew Broderick, Jean Reno, Maria Pitillo, Hank Azaria, Kevin Dunn, Michael Lerner dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Godzilla - Special effects canggih

Godzilla Seorang teman yang memang peminat filem berkata bahawa filem ini mempunyai konsep: Lebih bising dan lebih banyak wang. Dari jentera publisiti filem ini sudah dihebohkan bahawa Godzilla adalah pemecah box-office terbaru untuk tahun ini.

Biarpun belanja menghasilkan filem ini agak kecil sedikit (AS$120 juta) daripada belanja yang digunakan oleh James Cameron untuk menghasilkan Titanic, tetapi publisiti dan strategi pemasaran telah dijalankan hampir setahun lebih awal.

Roland Emmerich yang mengarahkan Godzilla, sebelum ini pernah mengarahkan filem Stargate dan Independent Day.

Dua buah filem fiksyen sains ini terkenal kerana spektakular dan besar kemusnahan, barangkali bukanlah menghairankan bagi Emmerich yang sedari awal memang dipengaruhi oleh filem-filem spektakular yang juga berunsur kemusnahan besar seperti The Towering Inferno dan Earthquake.

Godzilla walaupun bukan secara langsung dipadankan daripada filem Godzilla yang begitu terkenal yang diproduksikan di Jepun atau filem Godzilla yang mula diperkenalkan di Amerika pada tahun 1956, filem ini masih dalam genre filem-filem monster seperti mana filem Godzilla yang awal atau filem King Kong. Cuma filem Godzilla versi Emmerich ini adalah sebuah filem monster yang lebih spektakular dan lebih canggih rekaan efek khasnya (special effects).

Dalam filem ini, Godzilla terjadi akibat daripada kesan radiasi ujian nuklear oleh Perancis di Lautan Pasifik yang menyebabkan reptilia kecil berubah menjadi binatang raksasa yang jauh lebih besar daripada dinosaur.

Untuk memadankan teori ini maka ditunjukkan penemuan Dr. Niko Tatopaulos (Matthew Broderick) dengan cacing yang membesar di kawasan ujian nuklear Chernobyle. Dr. Niko kemudiannya dihantar ke kepulauan Pasifik untuk mengkaji tentang Godzilla yang menyerang kapal nelayan Jepun.

Selepas adegan pengenalan Godzilla yang agak menarik kerana keupayaannya mencipta suspens, Godzilla mula menyerang Manhattan di New York, mendahului kepulangan Dr. Niko.

Adegan Godzilla di New York inilah sebenarnya yang menjadi keutamaan Emmerich. Dalam adegan ini diperlihatkan keupayaan sebenar Godzilla, kepantasannya berlari dan kepintarannya bersembunyi, keupayaannya mengganas dan memusnahkan (anehnya, kebanyakan bangunan musnah adalah secara tidak sengaja kerana terkena Godzilla yang berlari menyelamatkan diri), serta keupayaannya mengelak dan mengelirukan tentera Amerika yang memburunya dengan peluru berpandu.

Untuk menjadi semakin karut, melalui kajian Dr. Niko, Godzilla juga diberitahu berkeupayaan membiak dengan menetaskan telur-telurnya yang begitu banyak.

Dan serentak selepas itu telur-telur itu menetas dengan melahirkan anak-anak Godzilla yang berupaya mengganas selepas dilahirkan.

Sebenarnya selepas adegan pengenalan yang menarik di Lautan Pasifik kerana Emmerich masih berupaya menyembunyikan fizikal sebenar Godzilla. Tetapi bilamana Godzilla menunjukkan dirinya yang sebenar di Manhattan dan mula memasuki kota itu, filem ini hilang kekuatan misterinya dan lebih teruk adegan Godzilla seterusnya adalah adegan-adegan yang membosankan kerana tidak ada yang menarik. Apa yang tertera hanyalah kemusnahan dan kebisingan.

Dalam hal ini Emmerich tidak mempunyai kekuatan Steven Spielberg apabila dia menghasilkan Jaws dan Close Encounters Of The Third Kind.

Melalui karya Spielberg yang ditukang dengan cukup baik, penguasaan teknologi dan efek khas, dan pada masa yang sama begitu manipulatif dan realistik, ia menjadi bentuk ilusi yang menjadi kuasa sebenar kekuatan filem-filem Amerika untuk menghasilkan keyakinan yang sukar dipersoalkan.

Dalam filem-filemnya Spielberg memerangkap penonton hingga mereka tidak berupaya melihat melangkaui kandungan imej yang ditunjukkan dan terus tidak berupaya untuk keluar daripada perangkap itu.

Kekuatan naratif Spielberg disebabkan struktur formalnya yang berjaya memberikan bentuk dan makna dan berjaya memanipulasi penonton untuk terus menyetujuinya.

Dalam tradisi filem-filem begini (filem-filem tentang kemusnahan) penonton sebenarnya dijamin keselamatan dan keseronokan semasa menonton satu pengalaman ngeri dan dunia yang tidak selamat.

Dalam keadaan ini, filem-filem ini juga memastikan apa yang dipercayai dan diyakini penonton adalah benar (pemusnah atau gangguan akhirnya berjaya ditewaskan) dan dengan ini filem itu dapat memberikan keseronokan dan rasa selamat dalam proses penonton menonton filem tersebut.

Kerana itu filem-filem dalam genre ini tidak mungkin akan memberikan sesuatu spektakular yang lebih baru kerana mereka lebih yakin dengan formula dan kuasa konservatif filem-filem begini (yang berkembang dalam tahun 1980-an).

Dengan itu tidak hairan kalau Godzilla tidak berupaya memberikan sesuatu yang lebih baru dan merangsangkan. Tanpa struktur cerita yang kuat maka filem ini amat bergantung dengan efek khas dan bunyi yang membingitkan.

Ini juga kerana Hollywood selalu percaya filem yang kelihatan lebih besar efek khasnya dan lebih kuat bunyi dan bising akan mencetak lebih banyak keuntungan.

Kalau anda hanya mencari hiburan kosong tanpa menghiraukan kecerdikan anda diperkecilkan, bolehlah menonton filem ini.

Sumber : Utusan Online 29/5/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001