Ulasan
Review
. .

Judul : Great Expectations
Arahan : Alfonso Cuaron
Lakonlayar : Mitch Glazer
Pelakon : Ethan Hawke, Gwyneth Paltrow, Kim Dickens, Chris Cooper, Anne Bancroft, Robert de Niro, Jeremy James Kissner, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Great Expectations sentuhan baru karya klasik

Novel klasik Charles Dickens ini telah pernah diadaptasi oleh David Lean pada tahun 1946. David Lean membuat adaptasi yang patuh terhadap novel ini dengan mengekalkan perwatakan, suasana dan semangat novel ini. Biarpun terdapat beberapa usaha mengadaptasi novel ini, adaptasi David Lean sering dianggap yang terbaik.

Membuat adaptasi karya sastera klasik dan memberikannya pendekatan kontemporari adalah suatu trend di Hollywood sekarang ini. Kebangkitan semula karya klasik ini nyata sebagai usaha mendapatkan naratif yang lebih menarik dan bermakna. Karya klasik biarpun sudah berulang kali dibaca dan dikupas, tetapi ia tetap sebuah cerita yang menarik, tetap remaja dan masih bertenaga.

Sepertimana yang dilakukan oleh Amy Heckerling terhadap novel klasik Jane Austin, Emma atau pendekatan baru terhadap banyak karya Shakespeare, Alfonso Cuaron selaku pengarah dan penulis lakon layar Mitch Glazer telah memberikan suasana kontemporari kepada kisah pelukis yatim piatu ini dan turut menyuntiknya dengan unsur seksualiti.

Great Expectations adalah kisah pemuda miskin yang bertemu dengan gadis kaya-raya yang jelita dalam sebuah kisah cinta yang aneh dan berbaur dendam. Finn Bell (bila dewasa dilakonkan oleh Ethan Hawke) adalah anak yatim yang berbakat sebagai pelukis dan dia dipelihara oleh Maggie (Kim Dickens) dan suaminya Joe (Chris Cooper).

Finn dewasa dengan beberapa pengalaman yang mengejutkan dan mempengaruhi hidupnya. Sekurang-kurangnya tiga orang yang merubah kehidupan Finn Bell. Pertama, pertemuannya yang tidak terduga dengan seorang banduan Max Lusting (Robert de Niro) yang sedang melarikan diri dari penjara.

Kedua dia bertemu dengan Estella (semasa kecil dilakonkan oleh Raquel Beaudene) yang sedang remaja di banglo buruk Puan Dinsmoor, dan Finn jatuh hati dengan gadis ini. Dan ketiga, Puan Dinsmoor (Anne Bancroft) sendiri, seorang wanita aneh yang menderita kerana dikecewakan oleh kekasihnya, dan dendam serta kekecewaan itu dipindahkan kepada Estella supaya gadis kecil itu nanti mampu mengecewakan lelaki.

Dinsmoor juga mengingatkan Finn bahawa Estella akan mengecewakannya nanti. Dan Estella nyata mengecewakan Finn bila dia menghilang secara tiba-tiba. Tajaan misteri dari seorang dermawan yang sebenarnya Max Lusting, telah membawa Finn (yang sebelum itu telah berhenti melukis kerana kecewa) ke New York untuk membuat pameran solo dan Finn beroleh kejayaan, namanya terkenal, mempunyai status dan hidupnya mewah.

Di New York dia bertemu sekali lagi dengan Estella dan kemudian Estella berkahwin dengan seorang lelaki Perancis. Realiti hidup membuatkan Finn kembali ke Florida cuba menemui kembali kehidupan lamannya. Di banglo buruk Puan Dinsmoor, dia bertemu lagi secara tidak terduga dengan Estella yang nyata tidak mampu terus untuk menipu dirinya sendiri.

Great Expectations membuktikan sebuah karya klasik tetap menarik biarpun diberikan pendekatan kontemporari. Filem arahan Alfonso ini nyata menghiburkan, lakonan yang bertenaga dari Gwyneth Palthrow, Ethan Hawke dan Bancroft memperkuatkan filem ini. Lebih menarik adalah kerja kamera dalam filem ini yang cukup dinamik. Jadi, bagaimana kalau karya-karya klasik tempatan juga diberikan pendekatan dan nafas baru?

Sumber : Utusan Online 17/7/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001