Ulasan
Review
. .

Judul : Hollow Man
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Hollow Man... mengulangi cerita lama

Hollow Man Halimunan atau mampu menjadi ghaib adalah impian dan fantasi manusia sejak dari zaman dahulu lagi. Halimunan kononnya memberikan banyak kelebihan dan kuasa, apabila manusia yang halimunan berhadapan dengan dunia yang fizikal.

Sebab itu tidak hairan kalau begitu banyak cerita yang berkisar terhadap subjek ini hingga ia mencipta mitosnya sendiri. Antara impian, kuasa, kebebasan dan kesannya sering menjadi subjek begitu banyak buku dan filem.

Pembikin filem Asia mengambil konsep horor dan seram yang bertolak dari seni mempertahankan diri untuk membawa subjek ini ke filem. Tetapi Hollywood menggunakan pendekatan sains dan teknologi untuk menjadikan halimunan lebih meyakinkan pada era teknologi ini.

Seawal tahun 1933 sebuah filem tentang halimunan yang berdasarkan buku karya H. G. Wells yang terkenal dengan buku-buku fiksyen sains telah dihasilkan.

Bagaimanapun sebuah filem fiksyen sains sering berhadapan dengan soalan tentang masa depannya. Adakah filem-filem genre fiksyen sains sudah bergerak jauh ke depan dari segi persoalan cerita dan kemajuan teknik yang mampu mencabar imaginasi penonton?

Kemajuan dan ciptaan terbaru teknologi komputer yang mendukung seni perfileman telah memungkinkan syot yang dahulu tidak termampu dilakukan telah menjadi realiti dalam filem. Hari ini realiti hanya batasan imaginasi dan kreativiti. Dalam genre sains fiksyen di mana sains dan seni filem bersatu, teknologi digital khususnya kemajuan penjanaan imej berkomputer (CGI) memainkan peranan yang penting.

Menyedari sebuah filem tidak dapat bergantung pada kehebatan tekniknya sahaja, keaslian dan kekuatan cerita sering menjadi aspek yang kritis bagi sebuah filem fiksyen sains.

Kekeringan cerita yang mempunyai kekuatan jiwa dan emosi sering memaksa penonton menanyakan masa depan filem-filem begini. Apakah yang dipaparkan pada layar, kehebatan teknologi di belakang pembikinan lebih menarik atau keduanya sekali. Tidak hairan kalau hari ini dokumentari tentang aspek pembikinan sesebuah filem fiksyen sains sering lebih menarik berbanding filem itu sendiri.

Hollow Man nampaknya tidak terkecuali. Filem ini bergerak atas premis kekuatan efek khas dan kehebatan teknologi yang mendukung filem ini untuk memastikan imej yang dihasilkan kelihatan meyakinkan. Paul Verhoeven (terkenal dengan filem Robocop dan Basic Instinct) pengarah filem ini berhadapan dengan cabaran yang besar. Selain daripada bergantung dengan kekuatan teknologi digital CGI, Verhoeven dan penulis lakonlayar Andrew W. Marlowe perlu memberikan cerita baru yang mampu memanipulasi imaginasi dan minda penonton yang semakin kritis.

Filem ini dibuka dengan adegan-adegan yang menarik di makmal sains yang menunjukkan sekumpulan saintis berusaha mencipta formula untuk menggaibkan dan kemudian menghadirkan semula susuk tubuh makhluk. Dengan penemuan sejenis serum kumpulan saintis yang diketuai oleh Dr. Sebastian Caine (Kevin Bacon) berjaya dengan usaha luar biasa ini ke atas seekor gorila.

Tetapi kejayaan itu cuba dirahsiakan daripada pengetahuan panel Jabatan pertahanan negara yang menaja projek ini untuk kepentingan negara dan pertahanan. Caine bukan sahaja semakin angkuh dan mahukan kemasyhuran serta pengiktiran daripada kejayaan projek tersebut tetapi mula memikirkan kelebihan dan kekuasaan yang bakal diperolehnya daripada projek yang diketuainya. Atas sebab itu dia sendiri bersedia menjalankan percubaan untuk menjadi manusia pertama yang halimunan biarpun dia sendiri mengetahui risiko yang bakal dihadapinya.

Caine berjaya ghaib dan menjadi halimunan tetapi usaha untuk membawanya kembali menjadi manusia normal yang kelihatan telah gagal dilakukan oleh teman-temannya yang diketuai oleh Linda Mc Kay (Eizabeth Shue) dan Matthew (Josh Brolin). Memang pada awalnya menjadi halimunan adalah satu kelebihan yang memberikan kebebasan dan kuasa yang tiada pada manusia, tetapi Caine akhirnya merasa dirinya terpenjara dan dikuatiri ancamannya. Caine mula mengganas dan mengancam kehidupan Linda apatah lagi apabila dia mengetahui hubungan Linda dengan Matthew, dan kerana keangkuhan serta keganasan Caine dia mula membunuh teman-temannya seorang demi seorang.

Dari segi idea dan cerita, Hollow Man tidak menjanjikan yang baru dan lebih mencabar, sebaliknya ia sekadar ulangan dari puluhan filem dalam subjek yang sama. Satu pertiga dari bahagian awal filem ini kelihatan menarik yang memperlihatkan percubaan makmal sekumpulan saintis mengghaib dan mengadakan semula tubuh seekor gorila dan kemudian bagaimana tubuh Caine juga dighaibkan, peringkat demi peringkat dan lapis demi lapis. Selepas itu filem ini kembali kepada lazimnya filem-filem dalam genre fiksyen sains, iaitu membawa elemen thriller, horor dan keganasan. Unsur simpati dan kemanusiaan bukan fokus utama filem ini. Sebab itu kita tidak akan merasa simpati terhadap watak Sebastian.

Apa yang dilakukan oleh filem ini sekadar memenuhi fantasi penonton tentang dunia halimunan tanpa banyak pengertian. Cabaran besar filem ini sekadar mempamerkan efek khas yang terbaru dan keaslian yang dilakukan oleh pasukan efek khas yang diketuai oleh Scott Anderson. Efek khasnya memang boleh dikagumi terutama dalam adegan yang memperlihatkan transformasi biologi fizikal tubuh lapis demi lapis dalam setiap sistem biologi tubuh. Selepas fizikal tubuh itu mampu dighaibkan dan manusianya menjadi halimunan, kekaguman terhadap teknologi efek khasnya juga menghilang. Ia akhirnya menuntut persoalan kemanusiaan yang emotif, dan sayangnya ini yang tiada dalam filem ini.

Sumber : Utusan Online 15/9/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000