Ulasan
Review
. .

Judul : Hope Floats
Arahan : Forest Whitaker
Lakonlayar : Steven Rogers
Pelakon : Sandra Bullock, Gena Rowlands, Mae Whiteman, Harry Connick Jr., Michael Pare dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Sandra Bullock: Hope Floats sekadar harapan

Hope Floats Harus diakui Sandra Bullock bukanlah pelakon dalam kelas Meryl Streep atau Jodie Foster. Namanya melonjak naik kerana kejayaan besar filem Speed dan While You Were Sleeping, yang dengan pantasnya juga memberikannya nama besar di Hollywood.

Bagaimanapun apabila beberapa filemnya seperti Speed 2 dan In Love and War gagal di pasaran, namanya juga semakin terpinggir. Agaknya, Bullock harus menerima bahawa kejayaannya yang pantas dari filem thriller seperti Speed sebenarnya bukan ukuran pada keupayaan sebenar kualiti lakonannya.

Kali ini dengan bersandarkan pada skrip oleh Steven Rogers dan arahan Forest Whitaker (Waiting to Exhale), Sandra mengharapkan watak melankoliknya mampu memberikan sinar baru untuk namanya yang pernah satu waktu dahulu dianggap kekasih industri filem Amerika.

Kerana itu tidak hairan kalau watak Birdee seakan ditulis khusus untuk Sandra. Birdee Calvert adalah seorang suri rumah yang bahagia sehinggalah satu pengakuan di sebuah rancangan bicara di televisyen yang telah mengubah nasib hidupnya.

Bill (Michael Pare) suami Bidee mengakui mempunyai hubungan sulit dengan teman baik Birdee. Birdee tiada pilihan melainkan keluar dari rumah bersama anaknya Bernice (Mae Whitman) ke kampungnya di Smithville dan tinggal bersama ibunya (Gena Rowlands). Keadaan tidak begitu mudah sebenarnya buat Birdee.

Dia perlu menyesuaikan diri. Dia juga perlu menghadapi beberapa teman lamanya yang pernah diperkecil-kecilkannya dahulu tetapi kini menjadi pengurus agensi pekerjaan. Birdee yang pernah menjadi buruan ramai pelajar lelaki dahulu kerana kecantikannya kini terpaksa mencari pekerjaan. Bukan itu sahaja, kesan daripada program televisyen itu, Birdee menjadi bahan bualan penduduk pekan kecil itu.

Ibunya yang cuba membantu Birdee, tidak sepenuhnya berjaya malah hubungan mereka berdua juga hampir musnah. Sebagaimana sebuah plot yang konvensional, watak melankolik begini tidak akan dibiarkan terus merana. Muncul Justin Matisse (Harry Connick Jr) teman sekolah Birdee yang masih menyukai Birdee dan berusaha menyelamatkan Birdee. Biarpun Birdee digambarkan menghadapi pelbagai kemelut hidup, dengan ketabahan dia akhirnya berupaya mengatasinya.

Hope Floats, tetapi harapan dan nama Bullock belum tentu terus terapung dan terbang tinggi dengan filem ini. Skripnya mendatar dan kering, tidak sekuat mana untuk memberikan kesan dramatik yang mencabar dan menarik. Bullock memang mencuba yang terbaik darinya tetapi sungguhpun cuba dibantu oleh pelakon sebaik Gena Rowlands, aspek lakonan masih antara yang lemah dalam filem ini.

Sumber : Utusan Online 13/11/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001