Ulasan
Review
. .

Judul : Jackie Brown
Arahan : Quentin Tarantino

Lakonlayar : Quentin Tarantino
Pelakon : Pam Grier, Samuel L. Jackson, Robert de Niro, Robert Forster, Michael Keaton, Bridget Fonda dan Michael Keaton

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Filem Tarantino berentak baru

Quentin Tarantino di kalangan pembikin filem bebas Amerika dianggap sebagai cult hero. Dia bertanggungjawab memberikan jiwa baru kepada filem-filem bebas Amerika. Pengaruh Tarantinousque yang dikondem oleh para moralis, tetapi pendekatan ultra hip dan ultra violentnya disanjung oleh penggemarnya.

Filem pertama karya Tarantino Reservoir Dogs dan Pulp Fiction (menang Palme dOr di Festival Filem Cannes tetapi tewas kepada Forrest Gump untuk filem terbaik di Academy Award) bukan sahaja antara filem noir dengan stail yang memikat tetapi telah menulis semula konsep keganasan di dalam filem.

Pulp Fiction telah mencipta fenomena budayanya sendiri. Filem Tarantino ini mengadunkan keganasan, pop dan humor secara cukup menarik dan menyegarkan. Bahasa yang keras berbaur dengan rasial dan liar menjadi sebahagian daripada identiti dialog filem-filemnya.

Konstruksi plot filem-filem Tarantino terkeluar daripada konsep konvensional Aristotle. Plot filemnya tidak lagi seperti biasa dilihat pada babak awal, tengah dan akhir.

Tetapi Tarantino secara bijaksana menggunakan pendekatan seperti membaca novel pop. Proses pembacaan boleh dimulakan dan diakhiri di mana-mana bahagian buku dan boleh diulang semula bila perlu. Tarantinousque menjadi stail sinematik pasca moden tahun 90-an yang cukup menarik.

Tarantino yang dianggap sebagai Scorsese yang baru oleh pengagumnya, sebenarnya lebih awal dipengaruhi oleh filem-filem Brian De Palma. Pekerjaan awalnya di kios video dan kegemaran membaca novel pop jenayah serta filem-filem gred B banyak membentuk dan mempengaruhi bentuk dan stail filem-filemnya.

Tarantino juga bertanggungjawab membawa kemunculan Robert Rodriguez, John Woo dan Wong Kar-Wai di Amerika. Bagaimanapun dengan filem Jackie Brown, konstruksi plotnya beralih kepada pendekatan yang agak konvensional biarpun sentuhan Tarantinousque itu masih terasa dan ada. Apakah ini menunjukkan pendekatan filem Tarantino yang semakin matang?

Beberapa adegan di dalam Jackie Brown cuba dilihat dari beberapa sudut dan dialognya masih berbaur humor dan ancaman.

Jackie Brown adalah didasarkan dari novel pop jenayah Rum Punch hasil karya Elmore Leonard (yang juga menghasilkan novel Get Shorty). Seperti mana dua filemnya yang awal, Jackie Brown juga berkisar pada kegiatan penjenayah taraf rendah yang mempunyai kehidupan yang keras.

Jackie (Pam Grier) adalah pramugari berumur 44 tahun yang selain bertugas dengan sebuah pesawat penerbangan Mexico juga membuat kerja sampingan menyeludup wang untuk seorang pengedar senjata Ordell Robbie (Samuel L. Jackson).

Apabila Jackie ditahan oleh pegawai ATF (Michael Keaton) dia ditawarkan bekerjasama untuk memerangkap Ordell untuk pembebasannya.

Bagaimanapun Jackie mempunyai rancangan awal untuk mendapatkan wang Ordell sebanyak AS$500,000 dengan memperdayakan ATF, Ordell dan dua teman Ordell, Louis (Robert de Niro) dan Melanie (Bridge Fonda). Jackie melakukan rancangan ini bersama Max Cherry (Robert Forster) yang mana terbentuk hubungan mesra mereka di akhir filem ini.

Sebenarnya watak Jackie seorang amatur yang membuat rancangan muslihat dan berjaya menewaskan penjenayah profesional adalah klise.

Tetapi watak Jackie dibentuk dengan cukup menarik dan lakonan Pam Grier nyata memberikan kekuatan pada watak ini.

Watak-watak di dalam Jackie Brown sama ada watak Jackie, Ordell, Louis, Melanie, Max, malah pegawai ATF adalah bayangan watak-watak yang kelihatan sudah lelah dan letih dengan tugas masing-masing.

Lihat bagaimana Louis (antara lakonan komik De Niro yang menarik) yang kelesuan dan pasif, gagal mencari keretanya di tempat letak kereta dan Max yang kembali dengan tugas rutinnya. Dan kelesuan itu menjadi tema yang menguasai keseluruhan filem ini.

Visual filem ini memperlihatkan beberapa shot yang menarik. Tarantino menggunakan tipografi, gerakan kamera yang pantas dan pertukaran tempo untuk membentuk stail aliran visual filem ini dan secara sedar telah memberikan kesan realiti dan artifisial ke atas filem ini.

Dalam mengadaptasi Rum Punch, Tarantino sebenarnya telah membuat beberapa perubahan, antaranya watak utama daripada seorang Caucasian telah ditukar menjadi Afrikan-Amerikan dan lokasinya berubah dari Florida ke California.

Tetapi kebebasan yang diberikan oleh penulisnya Elmore Leonard amat membantu Tarantino.

Bagi yang sudah biasa dengan konstruksi plot filem-filem Tarantino, Jackie Brown lebih mudah diikuti. Mungkin kerana Tarantino sudah semakin matang di dalam karyanya.

Sumber : Utusan Online 26/6/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000