Ulasan
Review
. .

Judul : Life Is Beautiful
Arahan : Roberto Benigni
Lakonlayar : Vincenzo Cerami & Roberto Benigni
Pelakon : Roberto Benigni, Nicoletta Braschi, Giorgio Cantarini, Giustino Durano, Sergio Bustric, Horst Buchholz, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Kelucuan daripada tragedi perang

Hidup tidak semudah dan selucu itu, apatah lagi jika berada di kancah peperangan. Kerana itu peperangan lebih selalu diingat aspek derita dan sengsaranya. Tetapi malapetaka dan peperangan juga tidak semudah itu - meratah naluri kemanusiaan dan semangatnya. Oleh itu mungkinkah kelucuan boleh ditimbulkan daripada kengerian dan kesengsaraan perang?

Life Is Beautiful yang ditulis oleh Vincenzo Cerami dan Benigni memang ironis judulnya bagi sebuah subjek tentang kesengsaraan hidup di dalam malapetaka perang dunia kedua sebagaimana ironisnya juga derita perang dan keindahan hidup harus dilihat dari kaca mata seorang pelawak.

Guido (dimainkan oleh Roberto Benign) si pelawak itu adalah seorang pelayan di sebuah hotel di Itali dalam tahun 1930-an. Dia dengan perlakuannya yang lucu kerap kali menemui puteri bangsawan Dora (Nicoletta Braschi) dalam insiden-insiden yang penuh kelucuan.

Kerana kejujuran dan kelucuannya Guido berjaya memenangi hati Dora dengan mengetepikan tunang Dora seorang lelaki yang cenderung kepada Facist. Guido berjaya mengahwini Dora dan memperoleh seorang anak lelaki Giosue (Giorgio Cantarini). Babak-babak awal ini dipenuhi dengan kelucuan dan kemeriahan dengan aksi Guido yang mengingatkan kita kepada Charlie Chaplin dalam filem-filem bisu.

Dia bermain tukar topi dengan seorang teman yang mudah dimanipulasinya atau bertukar teka-teki dengan seorang doktor Jerman (Horst Buchholz) dan bagaimana dia disalah sangka seorang inspektor sekolah lalu dijemput memberikan syarahan tentang keagungan bangsa Itali.

Dan kelucuan serta kemeriahan di babak awal ini tiba-tiba bertukar muram dan penuh kengerian bilamana perang dunia kedua melanda dan Jerman menguasai Eropah. Guido dan anaknya yang berketurunan Yahudi dikumpulkan bersama-sama Yahudi yang lain lalu ditempatkan di kem tahanan.

Guido dan anaknya serta isterinya Dora yang ikut serta di kem tahanan adalah episod kedua bagi filem ini. Latar kali ini adalah holocoust, kem tahanan yang penuh ngeri bagi kaum Yahudi.

Tetapi demi melindungi anaknya, Guido segera membuat improvisasi dan mencipta permainan supaya anaknya leka dan berupaya melupakan kesengsaraan di kem tahanan tersebut.

Hadiah permainan mereka kali ini adalah sebuah kereta kebal yang sebenar. Untuk memastikan anaknya yakin dan tidak takut dengan keadaan kem itu, Guido sanggup menjadi penterjemah dan membuat improvisasi sesuka hatinya arahan tentera Jerman dalam adegan yang sukar kita lupakan.

Roberto Benigni menggunakan komedi dan keupayaan humornya sebagai kekuatan utama filem ini. Subjek filem ini tentang kengerian holocoust dan kekerasan perang dunia kedua menjadi latar yang lembut. Malah keganasan dan aspek kengerian daripada tragedi holocoust itu tidak ditonjolkan oleh Benigni.

Sebaliknya secara cukup sensitif dan emosional, Benigni menimbulkan kesan kengerian dan kesengsaraan itu daripada senyuman tawar para tahanan dan juga unsur kelucuan yang ditimbulkan.

Hasilnya apa yang kita tonton adalah drama tragedi kemanusiaan yang kelucuannya begitu menghiris kerana kita faham erti kesengsaraan mereka.

Life is Beautiful adalah sebuah filem Itali yang baru memenangi anugerah filem asing terbaik dan aktor terbaik untuk Roberto Benigni daripada Anugerah Akademi pernah memenangi Grand Prix di Festival Filem Cannes 1998.

Sumber : Utusan Online 2/4/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001