Ulasan
Review
. .

Judul : Limbo
Arahan : John Sayles
Pelakon : David Strathain, Mary Elizabeth Mastrantonio, Vanessa Martinez, Casey Siemaszko, Kris Kristofferson, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Pengertian di sebalik sengsara

Limbo Nama John Sayles sebagai pengarah filem bebas mungkin tidak memberi banyak erti bagi kebanyakan penonton filem di Malaysia. Nama Quentin Tarantino (Pulp Fiction) atau Robert Rodriguez (El Mariachi) mungkin lebih dikenali sebagai pengarah filem bebas.

Tetapi lama sebelum Quentin Tarantino dan Robert Rodriguez mencipta nama sebagai pengarah, John Sayles lebih dahulu dikenali sebagai pembikin filem bebas Amerika. Filem The Return of The Secaucus Seven (1980) arahan Sayles dengan biaya sendiri sebanyak AS$60,000 telah menjadi cult yang tersendiri bagi pembikin filem bebas di Amerika.

Sayles bekerja di luar sistem studio. Selain sebagai pembikin filem, John Sayles lebih dahulu dikenali sebagai penulis dan dia telah menghasilkan dua buah novel iaitu Pride of the Bimbos dan Union Dues serta kumpulan cerita pendek The Anarchists Convention.

Dengan kekuatan sebagai penulis, tidak hairan kalau Sayles mengutamakan kekuatan skrip dalam karyanya. Filem arahan Sayles tidak mempunyai stail atau pendekatan tertentu, kerana baginya stail harus memperlengkap cerita.

Limbo adalah filem arahan John Sayles yang ke-12. Sungguhpun filem ini mendapat dokongan studio, tetapi John Sayles nyata mempunyai kawalan. Ini kerana selain bertindak sebagai pengarah, dia juga adalah penulis dan penyunting filem ini.

Limbo mengambil latar Alaska yang hening dan masih liar itu untuk Sayles menempatkan tiga orang individu yang mempunyai permasalahan sendiri yang terpendam tetapi membara. Joe Gastineau (David Strathain) adalah bekas nelayan yang mempunyai sejarah pahit masa lepas.

Dia berkenalan dengan seorang penyanyi bar di pekan kecil Juneau itu yang bernama Donna De Angelo (Mary Elizabeth Mastrantonio) dan anak gadisnya Noelle (Vanessa Martinez) yang kecewa dan menghukum diri sendiri. Kepulangan Bobby (Casey Siemaszko) adik tiri Joe ke pekan itu dan kemunculan Smilin Jack (Kris Kristofferson) di pub tempat Donna menyanyi membawa permasalahan baru dan perubahan lain.

Apabila Bobby dikatakan terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh kumpulan pengedar dadah ke atas kapal layar mereka, Joe, Donna dan Noelle terlantar di sebuah pulau hening di Alaska itu. Dalam usaha mereka berjuang untuk hidup dan menyelamatkan diri itulah mereka mula memahami permasalahan antara mereka terutama kekecewaan yang dihadapi oleh Noelle.

Sayles menggunakan pertemuan diari lama di rumah usang itu sebagai alat untuk Noelle mendedahkan kekecewaannya selama ini. Sayles juga menggunakan keterasingan tiga individu di tanah Alaska yang hening dan liar itu sebagai tempat untuk membuat terapi dan mendedahkan permasalahan yang selama ini tersorok.

Sayles tidak memberikan kata pasti yang menyelesaikan masalah mereka, dan adegan penamat yang konvensional dan terbuka. Dengan pendekatan pada kekuatan dialog dan dilengkapkan oleh lakonan yang berkesan, Sayles hanya mahu penonton cuba memahami permasalahan tiga individu tersebut tanpa kesimpulan yang pasti.

Sumber : Utusan Online 29/10/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001