Ulasan
Review
. .

Judul : Mimic
Arahan : Guillermo Del Toro
Pelakon : Mira Sorvino, Jeremy Northam, Josh Brolin, F. Murray Abraham, Giancalo Giannini dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-


Horor yang bercitarasa rendah

Subjek filem ini sudah berulang kali difilemkan hinggakan kita sudah dapat menjangka adegan seterusnya dan penamat filem ini hanya setelah lima belas minit menontonnya. Binatang dan serangga apa yang tidak pernah menjadi musuh manusia dalam filem?

Maka, kalaulah bukan kerana Mira Sorvino, filem ini langsung tidak bermaya. Mira Sorvino (filem terbarunya The Replacement Killers) pernah memenangi oskar pelakon pembantu terbaik melalui filem Mighty Aphrodite (arahan Woody Allen) dan telah dilantik sebagai panel juri Festival Filem Cannes yang baru lalu.

Mimic menceritakan tentang sepasang saintis Dr. Susan Tyler (Mira Sorvino) dan suaminya (Jeremy Northam) yang telah membuat penyelidikan dengan membiakkan DNA sejenis spesis lipas yang dipanggil Judas untuk memerangi sejenis penyakit yang menyerang kanak-kanak di kota New York. Bagaimanapun usaha baik tersebut berakhir dengan mala petaka bilamana lipas-lipas tersebut tidak dapat dimusnahkan, sebaliknya membiak di bawah kolong-kolong kota New York. Lipas-lipas yang begitu besar dan cepat membiak serta ganas ini perlu dihapuskan sebelum lebih ramai penduduk kota New York menjadi mangsa.

Filem yang bermodalkan AS$25 juta ini adalah sebahagian dari filem-filem B-movie. Filem B ini akan mengambil konsep dan bentuk filem-filem utama yang telah berjaya dipasaran terutama sekali filem fiksyen sains dan horor.

Filem ini tidak mempunyai originaliti, dan subjeknya tentang transformasi binatang adalah subjek yang telah pernah anda tonton dalam beberapa buah filem fiksyen sains yang menggabungkan konsep horor untuk tujuan menakutkan penonton. Tetapi hasilnya kerap mengecewakan. Bukan kerana elemen ngeri dan horor itu kurang berhasil tetapi hasilnya selalunya bercitra buruk dan mempunyai cita rasa yang rendah. Mimic mewarisi sebahagian besar kelemahan itu.

Sumber : Utusan Online 5/12/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000