Ulasan
Review
. .

Judul : Mission: Impossible 2
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Mission: Impossible 2 aksi yang melemaskan

Mission Impossible bermula sebagai sebuah siri televisyen yang cukup berjaya sekitar tahun 1960-an dan 1970-an. Sebagaimana banyak siri TV lain yang dibawa ke filem, Mission Impossible kerana potensi daripada elemen kekaguman dan kehebatan yang ada padanya, segera dipindahkan ke filem oleh studio Hollywood pada 1996 dan diarahkan oleh Brian De Palma.

Sebagaimana siri televisyennya juga, maka apabila difilemkan nyata yang menjadi keutamaan adalah aksi keras dan kesan khasnya sedangkan plotnya lemah, kacau dan sukar difahami.

Kali ini Mission Impossible diarahkan oleh John Woo, pengarah filem Hong Kong yang terkenal dengan adegan aksi keras yang penggayaan dan pertarungan ala akrobatiknya.

John Woo menempa nama di Hollywood kerana memberikan kita filem-filem aksi keras ala Hong Kong dan penuh dengan simbahan api serta letupan pyrotechnics seperti Hard Target, Broken Arrow dan Face/Off. Dalam filem-filem ini Woo tidak mementingkan jalan cerita yang kompleks, plotnya mudah dengan matlamat akhirnya mencapai kemuncak aksi yang dramatik dalam satu pertempuran yang menggayakan. Untuk projek filem ini, John Woo khabarnya dipilih sendiri oleh Tom Cruise pelakon utama dan produser filem ini.

Dalam Mission: Impossible 2 ini, Tom Cruise kembali dengan watak ejen IMF Ethan Hunt yang menerima tugas membongkar dan memusnahkan kegiatan berbahaya Sean Ambrose (Dougray Scott) bekas ejen IM dan kini menjadi pengganas biologikal.

Dia sedang mengusahakan sejenis kuman yang amat berbahaya yang dapat membunuh mangsa dalam masa 37 jam sahaja dan kuman ini dikenali sebagai Chimera dan dia juga mempunyai penawarnya sekali. Bayangkan jika Ambrose yang beroperasi di Australia itu melepaskan kuman itu kepada 17 juta rakyat Australia, di mana penawarnya hanya ada padanya.

Dia akan membuat keuntungan yang besar. Tugas Hunt kali ini adalah untuk menyelamatkan dunia. Tugas yang sama dipikul oleh James Bond dalam filem-filemnya, iaitu menyelamatkan dunia dari pada tangan pengganas licik dan gila. Dari segi struktur plot dan adegan, filem ini mempunyai keselarian dengan filem James Bond.

Jangan persoalkan jalan ceritanya kerana ia memang kacau. Segalanya adalah tipikal dan stereotaip Hollywood. Mudah dan plotnya distrukturkan sedemikian rupa supaya setiap adegan berisi aksi keras, debaran, letupan dan pertempuran akrobatik.

Setiap adegan keras dikoreografikan mengikut gaya dan identiti arahan John Woo Balletic Violence. Malah seawal adegan filem ini lagi penonton telah ditunjukkan adegan yang penuh mendebarkan sebagai persediaan.

Filem ini dibuka dengan Ethan Hunt yang bergayut dan tergantung di puncak gunung semasa menghabiskan percutiannya di kawasan pergunungan Amerika. Persiapan awal John Woo untuk menunjukkan kepada penonton bahawa mereka akan menonton lebih banyak adegan yang sedemikian dalam adegan-adegan seterusnya.

Sebagai seorang pengarah John Woo memang mempunyai stailnya yang tersendiri, istimewa yang melibatkan aksi kekerasan yang dilakukan dengan begitu menggaya sekali. Kekerasan memang menjadi karektor yang tersendiri dalam filem-filem John Woo dan gayanya agak berbeza dengan adegan kekerasan dalam filem-filem tipikal Hollywood.

John Woo cuba memberikan nilai puitis pada adegan-adegan keras yang digayakankannya itu. Aksi kerasnya selalunya dikoreografikan ala tarian balet, begitu bertenaga dan juga penuh emosi. Heronya juga adalah hero klasik yang mampu menewaskan musuhnya yang ramai dalam pertempuran yang hebat.

Dia banyak dipengaruhi oleh Sam Peckinpah yang sering mengahwinkan sensitiviti romantis dengan kekerasan. Adegan keras dalam gerak perlahan yang emosional yang sering dipaparkan dalam filem-filem Peckinpah juga begitu mempengaruhi John Woo dan pengaruh dan elemen-elemen ini jelas dalam adegan pertempuran dalam filem Mission: Impossible 2.

Malah elemen kekerasan dalam filemnya boleh sahaja dilihat sebagai adegan yang komikal. Ini kerana di sebalik unsur ganas, adegan ini sebaliknya kelihatan melucukan. Obsesi John Woo pada darah dan kekerasan serta adegan yang bertenaga, turut mempengaruhi pengarah generasi muda Amerika seperti Quentin Tarantino dan Robert Rodriguez.

John Woo adalah pengarah yang terlalu memfokuskan kepada aksi keras dan imej hero klasik yang hebat segalanya hingga mengabaikan plot cerita dan lakonan yang baik.

Emosi yang ditunjukkan oleh pelakonnya adalah bersifat luaran dan kosong. Kerana itu dalam filem ini para pelakonnya sekadar menjadi pelengkap. Bagaimanapun Hollywood nyata menyukai cara ini dan sebab itu Hollywood amat memerlukan pengarah seperti John Woo.

Dan penonton yang menonton filem kerana aksi lasak pasti menggemari filem ini, tetapi bagi penonton yang menonton filem kerana nilai cerita dan kekuatan lakonan pasti akan merasa lemas dan muak diasak keterlaluan oleh adegan-adegan yang sedemikian.

Sumber : Utusan Online 9/6/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000