Ulasan
Review
. .

Judul : Mulan
Arahan : Barry Cook & Tony Bancroft
Lakonlayar : Rita Hsiao
Pelakon (suara) : Ming-Na Wen, Eddie Murphy, B. D. Wong, Pat Morita, Miguel Ferrer dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C+


Mulan animasi epik dari China

Setelah agak kecewa dengan The Hunchback of Notre Dame dan Hercules, Disney Studio perlu melakukan sesuatu untuk kembali menguasai filem animasi. Dengan Mulan, Disney berharap mereka akan dapat menguasai kembali tradisi filem animasi dan masih perlu dihormati. Mulan filem animasi yang ke-36 buat Disney adalah contoh kekuatan dan kehalusan kerja animasi yang sebelum ini pernah menjadi tradisi dan kekuatan Disney.

Kekuatan dan kehalusan yang kali terakhir terlihat di dalam The Lion King dan Aladdin.

Mulan dihasilkan oleh dua orang pengarah animasi terkenal iaitu Barry Cook yang sebelum ini menghasilkan The Lion King dan Tony Bancroft yang pernah mengarahkan Aladdin. Dari dua pengarah terkenal inilah terhasilnya Mulan, sebuah filem animasi yang dramatik yang digerakkan di dalam sebuah plot yang mudah.

Mulan adalah epik rakyat China abad ke-5, tentang seorang gadis Mu-Lan (suaranya oleh Ming-Na Wen, nyanyian oleh Lea Salonga) anak seorang bekas pahlawan tentera China yang terkenal, iaitu Jeneral Fa.

Apabila China terpaksa berperang dengan tentera Han, Fa yang sudah tua itu juga menerima kerahan tentera.

Mulan yang tidak sanggup melihat ayahnya terkorban telah nekad menggantikan ayahnya. Disebabkan tentera China tidak membenarkan anggota tentera wanita, Mulan terpaksa menyamar menjadi lelaki.

Turut bersama Mulan ialah Wushu (suara Eddie Murphy) seekor naga kenit dan Che-Kree seekor serangga.

Dua objek animasi yang banyak menimbulkan kelucuan dalam membantu Mulan ini pastilah menjadi objek komersial terbaru Disney di samping Mulan. Untuk membuktikan keupayaannya supaya terpilih di dalam tentera China, Mulan perlu menghadapi kesukaran dan cabaran semasa latihan. Dia akhirnya berjaya meyakinkan Kapten Shung.

Di medan perang, Mulan lebih menggunakan akal daripada fizikalnya. Dia berjaya menyelamatkan Kapten Shung di dalam runtuhan salji. Dan apabila dia diketepikan kerana identitinya diketahui Mulan ditinggalkan. Tetapi Mulan akhirnya berjaya membuktikan kebijaksanaannya dengan menyelamatkan maharaja China yang sedang ditawan oleh tentera Han.

Mulan pastilah hero feminis yang baru, bukan sahaja kerana keberanian, tetapi yang penting adalah kebijaksaaannya. Mulan mengatasi banyak lelaki dalam cerita ini menggantikan ayahnya yang uzur, secara bijaksana menyelamatkan Kapten Shung dan keberaniannya dapat menyelamatkan Maharaja China.

Di dalam sebuah produksi animasi, autentisiti rekaan tetap juga memainkan peranan yang penting. Autentisiti ini harus wujud dalam membina perwatakan, persekitaran, tekstur dan jiwa keseluruhan filem ini.

Pengarah rekaan produksi filem ini Hans Bacher telah mengambil inspirasi dan semangat dari budaya China, karektor tulisan China dan konsep lukisan air China untuk mewujudkan kecinaan di dalam filem ini.

Bukan itu sahaja, gubahan dan susunan muzik filem ini yang dibuat oleh Jerry Goldsmith juga mengambil elemen muzik China. Selain kekuatan dan kehalusan ilustrasi, sebuah filem animasi juga perlu dikuatkan oleh lagu. Mulan dilengkapkan oleh lagu-lagu nyanyian antaranya oleh Donny Osmond dan Lea Salonga.

Dengan kejayaan Mulan, kita mungkin boleh bergantung harapan pula dengan filem animasi tempatan, Silat Legenda yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Sumber : Utusan Online 24/7/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001