Ulasan
Review
. .

Judul : Mystery Alaska
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Mystery Alaska bara yang tersimpan

Realiti di sebuah bandar kecil dan jauh terpencil di sudut dunia selalu mengejutkan. Sangkaan selalu berbeza dengan apa yang sebenarnya berlaku. Mystery Alaska mungkin pekan yang terpencil sekali di sudut dunia.

Ia terletak jauh di Kutub Utara. Mystery Alaska ini lebih selalu dilitupi salji tebal yang memutih. Dingin dan menjemukan, itu antara anggapan orang luar yang mengetahuinya. Penduduknya hanyalah seramai 633 orang.

Mereka hampir mengenali antara satu sama lain. Tetapi realitinya selalu mengejutkan. Di sebalik kedinginan salji yang menyelimutinya dan kehebatan permainan hoki aisnya, kehidupan yang hampir membosankan di pekan ini sebenarnya menyimpan baranya yang tersendiri; skandal seks, rahsia tersembunyi, kepura-puraan politik dan kecemburuan.

Yang banyak menutup keresahan itu dan menjadikannya tenang dan dingin di permukaan hanyalah permainan hoki ais yang menjadi kegilaan orang-orang di Mystery Alaska. Perlawanan hari Sabtu sudah menjadi ritual yang memenuhi hidup mereka.

Pemain hoki menjadi superstar di pekan itu. Kelebihan mereka kerana mereka boleh bermain dan meluncur dengan pantas. Perjalanan kehidupan yang rutin dan biasa di pekan itu bagaimanapun tiba-tiba berubah kerana sebuah rencana yang disiarkan di dalam majalah Sport Illustrated.

Rencana yang ditulis oleh bekas pemuda pekan itu Charles Danner (Hank Azara) memfokuskan tentang pasukan hoki Mystery Alaska yang dianggapnya setaraf dengan mana-mana pasukan yang bermain dalam Liga Hoki Kebangsaan.

Tulisan itu sekali gus menjadikan Mystery Alaska tumpuan apatah lagi ia telah menarik perhatian pasukan hoki terkenal New York Ranjers yang mahu membuat perlawanan pertunjukan di Mystery Alaska.

Perlawanan yang akan menjadi bahan jenaka kata seorang pengulas sukan. New York Ranjers mungkin tidak melihat perlawanan sebagai serius tetapi lebih sebagai publisiti.

Mampukah sebuah pasukan amatur yang tidak dikenal dari sebuah tempat yang tersorok dihujung dunia dan tidak diketahui orang menghadapi sebuah pasukan profesional yang terkenal hebatnya?

Pemain terbaik di Mystery Alaska John Bebie (Russell Crowe) adalah seorang sheriff di pekan itu. Dia yang telah bermain selama 13 tahun dalam setiap perlawanan hari Sabtu telah digantikan dengan seorang bintang baru yang dikatakan lebih pantas Stevie Weeks (Ryan Nortcott) seorang pelajar sekolah di Mystery Alaska.

Bagaimanapun berita kedatangan pasukan New York Ranjers untuk mengadakan perlawanan di situ telah mengubah banyak keadaan dan pada masa yang sama menimbulkan banyak yang tersembunyi. Charles Danner yang kembali ke pekan itu bertemu kembali dengan Donna (Mary McCormack) yang kini menjadi isteri John Bebie.

Pertemuan itu membuahkan semula kemesraan dan mengembira Donna yang selama ini merasakan kehidupannya seakan beku di pekan terpencil itu. Kemesraan itu tidak menyenangkan Bebie. Danner yang berusaha membawa pasukan New York Ranjers ke pekan itu juga punya agendanya yang tersendiri dengan matlamat untuk memantapkan reputasi dirinya.

Secara perlahan filem ini mula menyingkap rahsia yang selama ini menjadi misteri dan skandal yang dirahsiakan di kalangan penduduk di pekan itu. Mereka mempunyai kekecewaan yang mahu ditebus dan harapan yang hendak diisi dalam perlawanan itu.

Seluruh penduduk pekan itu perlu bersedia dan bersatu dengan melupakan permasalahan peribadi, sentimen, cemburu dan pertentangan untuk menghadapi cabaran daripada New York Ranjers. Bebie terpaksa bermain semula untuk menjadi tonggak.

Hakim Walter Burn (Burt Reynold yang bermain dengan cukup baik) turut turun ke padang sebagai jurulatih. Malah Datuk Bandar pekan itu sanggup memaafkan seorang pemain yang mempunyai hubungan dengan isterinya demi memastikan Mystery Alaska punya pasukan yang mampu menghadapi New York Ranjers.

Filem ini beruntung untuk tidak terperangkap dengan formula filem sukan yang klise dan stereotaip. Persoalan utama filem ini yang lakonlayarnya ditulis oleh David E. Kelley dan Sean O' Bryne bukan soal perlawanan hoki, tetapi ia cuba menggali rahsia kehidupan di sebalik mereka yang kelihatan tenang dan sederhana di pekan itu.

Filem ini dengan cerita dan kelucuannya yang sederhana, terasa menyentuh. Mystery Alaska cuba mengungkapkan erti kecekalan dan semangat yang tidak mudah menyerah kalah kepada pasukan yang lebih hebat dan kuat. Memang Mystery Alaska tidak menang, tetapi kecekalan dan semangat itulah yang memenangkan mereka. Jay Roach (yang memberikan kita filem komedi Austin Powers) berupaya mengangkat persoalan kemanusiaan dalam sebuah filem tentang hoki yang terlepas daripada stereotaip.

Bagaimanapun plot yang dihasilkan David E Kelley dan Sean O' Bryne kelihatan agak dipermudahkan hingga menjadikan filem ini hambar dan mendatar dramatiknya. Beberapa persoalan dan hubungan yang mampu mengocakkan dan mencorakkan kesan dramatik filem ini diberikan penyelesaian mudah.

Sumber : Utusan Online 28/1/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000