Ulasan
Review
. .

Judul : Place Vendome
Arahan : Nicole Garcia
Lakonlayar : Nicole Garcia & Jacques Fieschi
Pelakon : Catherine Denueve, Emmanuelle Seigner, Jean Pierre Bacri, Jacques Dutronc & Bernard Fresson

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Place Vendome -- Filem gelap dari Perancis

Kekaguman terhadap filem-filem gelap (noir) Amerika tahun 1940-an turut menjadi antara sebab lahirnya gelombang baru pembikin filem Perancis dan turut bertanggungjawab melahirkan teori auteur yang popular itu. Pengkritik filem Perancis (yang kemudian mengarah filem) menamakan filem-filem gelap Amerika 1940 sebagai genre filem noir, yang bermaksud filem gelap.

Genre filem ini banyak meneroka dunia gelap yang tersembunyi yang selalunya bersarang skandal kejahatan yang mengejutkan. Dan genre ini menjadi tema untuk filem Place Vendome arahan Nicole Garcia.

Dengan pendekatan yang tersendiri, berbeza dengan konsep genre filem yang sama di Amerika, Place Vendome melayari dunia gelap dan intrignya dengan stail visual yang dingin dan dalam tempo yang perlahan.

Manusia dan tempatnya pada awal filem hampir tidak bergerak dan berperasaan. Tetapi kita tahu filem ini akan bergerak ke arah satu ledakan perasaan. Di sini kita diperkenalkan dengan watak utamanya Marianne (Catherine Deneuve) isteri kepada Vincent Malivert (Bernard Fresson) saudagar berlian yang terkenal di Place Vendome, iaitu sebuah kawasan perniagaan berlian yang cukup terkenal di Paris.

Kematian Malivert akibat kemalangan jalan raya apabila keretanya bertembung dengan sebuah lori (sebenarnya usahanya untuk membunuh diri) kerana tekanan disebabkan kegiatan mencuri beberapa berlian, mula mendedahkan watak sebenar Marianne.

Marianne yang menjumpai sejumlah berlian yang disorokkan oleh Malivert berusaha menjual berlian itu dengan harapan dapat membebaskan dirinya dari permasalahan masa lalu iaitu ketagihan alkohol yang kuat. Sebaliknya usaha Marianne ini telah mempertemukan dia dengan teman lelakinya yang dahulu dan ini menimbulkan semula bayangannya masa lalu.

Filem ini nyata tidak digerakkan oleh aksi keras, tembak menembak atau aksi kejar mengejar seperti lazimnya dalam filem-filem Hollywood. Sebaliknya plot yang kompleks dengan emosi perwatakan yang cukup kuat telah membina adegan-adegan yang provokatif dengan imej-imej yang suggestif. Rasanya tidak ada pelakon sebaik Catherine Deneuve yang mampu membawakan watak Marriane dengan sebegitu cemerlang.

Dari lakonan Catherine Deneuve, kita akan melihat Marianne yang lemah, kasar, liar, bahaya, kecewa dan penuh emosi. Kekuatan lakonan Catherine diperkuatkan oleh arahan Nicole Garcia yang mantap. Salah satu adegan yang menarik dan bijak, apabila Marianne bertemu Nathalie (Emmanuelle Seigner) bekas perempuan simpanan Malivert, dan Nicole Garcia menggunakan Nathalie untuk melakonkan watak Marianne sebagai refleksi masa lalu yang membawa kepada kepahitan hidup Marianne dan kekecewaannya terhadap pengkhianatan Malivert.

Dalam Place Vendome, stail fotografi, plot dan tempo bergerak selari dan lengkap dengan kerangka pemikiran Marianne yang terperangkap dengan kekecewaannya masa lalu.

Filem ini suram dan tenang di permukaan, tetapi sebenarnya digerakkan oleh kehangatan watak dan intrig plot serta penamatnya yang suggestif.

Sumber : Utusan Online 20/4/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001