Ulasan
Review
. .

Judul : Practical Magic
Arahan : Griffin Dunne
Lakonlayar : Robin Swicord
Pelakon : Sandra Bullock, Nicole Kidman, Diane Weist, Stockard Charming dan Aidan Quinn

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Sihir menjadi kebanggaan

Practical Magic Biarpun filem ini memperlihatkan babak-babak sihir tetapi sebenarnya bukan soal sihir dan keajaibannya yang menjadi persoalan utama filem ini.

Walaupun sihir ditakuti, dikutuk dan pengamalnya dipulaukan tetapi sebaliknya di babak-babak akhir filem ini kepandaian sihir menjadi satu keseronokan dan kebanggaan.

Practical Magic yang diadaptasi daripada novel Alice Hoffman sebenarnya lebih mahu berbicara tentang permasalahan perhubungan cinta kasih yang boleh sahaja dilihat daripada beberapa sudut. Hubungan dua beradik dan permasalahan peribadi yang dihadapi masing-masing sewaktu perpisahan berlaku dan bagaimana permasalahan itu mereka hadapi bersama.

Ia bermula dengan hubungan dua beradik yang yatim iaitu Gillian dan Sally yang terpaksa tinggal dengan dua orang makcik mereka (Diane Wiest dan Stockard Charming) yang kebetulan pengamal sihir. Apabila dewasa mereka melalui kehidupan yang berbeza. Sally (Sandra Bullock) berkahwin dan memperolehi dua orang anak tetapi suaminya mati dilanggar lori.

Manakala Gillian (Nicole Kidman) berpindah ke kota besar dan di sana dia menghadapi pancaroba hidup yang sukar. Setelah Gillian bercerai, Sally dan Gillian bertemu semula. Bagaimanapun masalah baru timbul apabila seorang pemuda asing yang cuba menganggu Gillian terbunuh, kemudian roh jahatnya menjelma ke dalam jasad Gillian dan seorang anggota polis (Aidan Quinn) telah datang menyiasat kerumah Sally kerana kehilangan pemuda tersebut.

Sandra Bullock sebenarnya cukup berharap filem ini dapat memberikan magis baru yang dapat mengangkat namanya semula selepas gagal dalam Hope Floats dan Speed 2. Kerana itu ia digandingkan juga dengan bintang-bintang hebat seperti Nicole Kidman, Diane Weist dan Stockard Charming. Tetapi Practical Magic seperti juga filem City of Angel (juga lakonan Sandra), tidak menjadi komedi yang surreal.

Sumber : Utusan Online 8/1/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001