Ulasan
Review
. .

Judul : Primary Colors
Arahan : Mike Nichols
Lakonlayar : Elaine May
Pelakon : John Travolta, Emma Thompson, Adrian Lester, Maura Tierney dan Billy Bob Thornton

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Satira politik dalam Primary Colors

Filem ini seharusnya sudah lama ditayangkan di sini. Akibatnya, kesan filem ini mungkin kurang berbanding filem Wag The Dog yang ditayangkan ketika kemuncak serangan semula Amerika Syarikat ke atas Iraq dan perbicaraan skandal Clinton dengan Monica Lewinsky.

Bagaimanapun, filem Primary Colors sebagai satira politik tetap sinikal dan relevan dengan gelora politik pada masa ini ini.

Primary Colors dalam tradisi drama politik Hollywood memang sebahagiannya berlebihan dan humoris, tetapi tetap sensitif, sinikal, tajam dan meyakinkan. Filem ini mendramakan sarkas politik dengan segala strategi, sepak terajang dan intrig drama dan permainannya.

Bagaimana seorang senator Demokrat Jack Stanton (John Travolta) menjalankan kempen untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat menjatuhkan lawannya, berlakon dan bagaimana media dimanipulasi demi kepentingan politik.

Bukan sahaja cita-cita seorang bakal presiden, tetapi bagaimana para strategis dan 'spin doctor' menjalankan dan mencipta imej seorang bakal presiden.

Filem ini dilihat daripada kaca mata dan pengalaman Henry Burton (Adrian Lester) anak seorang ketua pejuang kulit hitam yang merasakan idealisme politiknya mampu diterjemahkan oleh Stanton, tetapi kemudian menyedari dia terperangkap dengan kenyataan.

Novel dari mana filem ini didasarkan pernah mencipta kontroversi pada tahun 1996. Antara lain kerana subjeknya mendedahkan kempen buruk Bill Clinton dalam pemilihan tahun 1992.

Selain juga penulis novel ini yang menggunakan nama samaran Anonymous (kemudian dikatakan sebagai Joe Klein wartawan Newsweek) telah dapat memberi gambaran begitu hampir tentang skandal seks, intrig drama, penipuan dan tektik jahat di sebalik tabir kempen pemilihan presiden.

Agaknya pelajaran yang boleh kita peroleh daripada filem ini adalah untuk menjadi ahli politik yang berjaya, dia harus menjadi pelakon yang hebat. Ahli politik atau yang bercadang menceburi dunia politik patut juga menonton filem ini.

Sumber : Utusan Online 30/4/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000