Ulasan
Review
. .

Judul : Psycho
Arahan : Gus Van Sant
Lakonlayar : Joseph Stefano
Pelakon : Vince Vaughn, Anne Heche, Julianne Moore, Viggo Mortensen,William H. Macy, Robert Foster dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Psycho antara dua versi

Psycho dibikin semula? Psycho yang begitu mempengaruhi dan menjadi legenda dunia filem dibikin semula tanpa perlu mengubahnya dari bentuk asal? Persoalan ini menghantui purist filem. Pembikinan semula adalah lambang kemacetan idea dan malah satu penghinaan. Hollywood selalu melihat pembikinan semula filem klasik dari sudut perniagaan dan kerana kekeringan idea.

Malah bagi penonton, filem-filem begini selalunya gagal memberikan motivasi sewajarnya, resepsi mereka sekadar mahu mengingat atau membezakan semula imej-imej tertentu dalam filem asal yang dibikin semula itu. Kerana itu apabila Gus Van Sant yang terkenal dengan filem-filemnya yang surrealis seperti Drugstore Cowboy, My Own Private Idaho dan To Die For, membikin semula Psycho sebuah filem horor klasik arahan Alfred Hitchcock pada 1960, pertimbangannya pastilah bukan kerana unsur dagang semata.

Atau dia kekeringan idea. Lalu apa yang dimahukan oleh Van Sant dengan Psycho ini? Penghormatan buat Hitchcock atau meneroka kemungkinan baru dalam cinema? Dengan bantuan penulis lakon layar asal filem ini Joseph Stefano, Van Sant mementaskan semula filem ini hampir keseluruhannya, dari syot ke syot, malah turut mengekalkan tempoh masa (42 hari) penggambaran sepertimana yang pernah dilakukan oleh Hitchcock.

Alfred Hitchcock adalah antara auteur yang mempunyai pengaruh yang cukup besar kepada pengarah filem Amerika hari ini. Malah konsep dan stail filem-filemnya pernah menjadi fokus perbincangan hebat para penggerak cinema baru Peranchis seperti Andre Bazin, Jean Luc Godard, Francois Truffaut, Jacques Rivette, Eric Rohmer, Claude Chabrol dan Jean Douchet di dalam jurnal Cahiers du Cinema yang bertanggungjawab melahirkan teori auteur.

Kalau Citizen Kane (1941) dianggap filem yang berjaya memecahkan tradisi realisme dan konstruksi naratif konvensional filem-filem sebelumnya, filem Psycho pula dianggap filem moden Amerika yang pertama. Filem ini secara radikal telah memecahkan complacency dan struktur naratif banal kebanyakkan filem-filem Amerika sebelum itu.

Objektif Hitchcock dalam Psycho dan filem-filemnya yang lain adalah memberikan rasa gerun atau gentar kepada penontonnya. Hitchcock mementingkan reaksi dan penyertaan penonton yang perlu membuang halangan psikologi ketika menonton filem ini. Katarsis ini telah menyumbangkan konsep baru filem-filem suspens. Di dalam filemnya Hitchcock secara bijaksana menyeret idea awal yang berkembang menjadi satu obsesi yang membawa ke ruang subjektiviti akibat daripada rasa kemahuan yang melampau dan rasa kengerian. Secara bijaksana Hitchcock telah memainkan kedua-dua elemen subjektif untuk terus memerangkap penonton.

Seperti kata Norman Bates (dimainkan oleh Vince Vaughn), kita sebenarnya yang memasuki perangkap sendiri hingga tidak mampu keluar.

Kata-kata Bates ini telah diakui oleh Marion mungkin secara diluar sedarnya. Perangkap diri sendiri, sebenarnya Hitchcock tidak sahaja merujuk kepada watak-watak yang telah terperangkap (si pembunuh yang mempunyai tujuan dan orang luar yang tiba-tiba muncul menyerah - telah memberikan imaginasi grafik kepada penonton) tetapi juga kepada penonton yang telah diperangkap dalam kerangka naratif dan lonjakan visual. Sebenarnya watak-watak di dalam Psycho berada di dalam sudut pandangan penonton.

Penonton yang terikat dengan dunia real seharian melihat refleksi realiti yang dibentuk di layar oleh kemahuan dan impian mereka yang tidak tertunai dalam dunia real mereka. Kerana itu penonton dapat menerima tindakan Bates dan menunggu tindakan Bates seterusnya. Penonton tidak lagi bersifat objektif tetapi bersedia menerima dunia subjektif. Menafsir hubungan penonton dan layar dalam konteks Psycho akan lebih menarik secara psikoanalisis.

Antara Psycho yang dihasilkan oleh Gus Van Sant dengan Psycho yang asal pastilah penonton berusaha mencari persamaan dan perbezaaan pada imej-imej dan adegan -adegan tertentu. Biarpun Van Sant cuba meenghasilkan semula secara syot demi syot bermula dengan grafik kredit awalnya yang kelihatan absurd, tetapi nyata Van Sant juga cuba menambah atau melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh Hitchcock dahulu.

Adegan yang tidak dapat dilupakan dan pasti ditunggu oleh penonton ialah adegan Marion dibunuh di bilik mandi. Untuk adegan 45 saat itu Hitchcock menggunakan 78 cut yang ditunjukkan dalam suksesi yang pantas untuk memprovokasi penonton. Van Sant melakukan sudut syot dan gaya suntingan yang hampir sama, tetapi kesannya apa? Ketika adegan ini dalam Psycho yang asal saya sukar melupakannya buat beberapa lama, tetapi biarpun Van Sant mengekalkan adegan yang hampir sama tetapi kesannya tidak sekuat yang asal.

Dari segi kekesanan lakonan antara Anne Heche dan Vince Vaughn (Psycho, 1999) dengan Janet Leigh dan Anthony Perkins (Psycho 1960), saya masih memihak pada kekuatan lakonan oleh Janet Leigh dan Anthony Perkins. Bagaimanapun untuk anda yang belum pernah menonton Psycho asal (atau yang telah pernah) filem ini sebenarnya masih mampu memerangkap anda dengan perangkap suspensnya. Rasa dingin dan kengeriannya masih mampu menggigit anda. Tetapi jika saya diberikan pertimbangan peluang memilih antara pementasan Psycho 1960 dengan yang baru, saya memilih Psycho yang asal.

Sumber : Utusan Online 12/2/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001