Ulasan
Review
. .

Judul : Sleepers
Arahan : Barry Levinson
Lakonlayar : Barry Levinson
Pelakon : Brad Pitt, Robert De Niro, Dustin Hoffman

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Berdusta demi keadilan?

Sukar rasanya untuk melepaskan sebuah filem sebaik begini.

Ceritanya agak konvensional tetapi persoalannya cukup menarik. Bukan itu sahaja, tentunya yang membuatkannya menarik adalah para pelakon yang membintangi filem ini.

Sebuah filem yang menonjolkan sekumpulan pelakon yang memiliki kualiti lakonan yang wajar dihormati.

Robert De Niro dan Dustin Hoffman adalah pelakon generasi 70-an dan Kevin Bacon serta Brad Pitt adalah pelakon generasi baru tahun 90-an. Mereka memiliki keupayaan yang terbaik masa kini dan gaya lakonan yang tersendiri.

Robert De Niro yang dikagumi kerana lakonannya dalam Taxi Driver dan Raging Bull agak merosot di hujung tahun 80-an dan awal 90-an.

Sehinggalah bila dia muncul dalam filem `gangster' konvensional, Heat yang menemukannya dengan Al Pacino (adegan dalam satu `shot' yang sukar dilupakan).

Heat bertanggungjawab menaikkan semula nama Robert De Niro.

Begitu juga dengan Dustin Hoffman, pelakon yang pernah membakar layar dengan kehebatan lakonannya dalam filem-filem seperti The Graduate, Midnight Cowboy, Tootsie, The Marathon Man dan The Rain Man.

Dustin Hoffman dan Robert De Niro dalam konteks lakonan menganut fahaman method acting sejenis faham lakonan yang diasaskan oleh Stanislavsky dan diperkenalkan di Amerika oleh Lee Strasberg dan Stella Adler.

Lakonan jenis ini menuntut gaya lakonan yang `natural' bertolak dari dalam diri pelakon. Dalam Sleepers, Hoffman adalah Danny Snyder, peguam yang peminum dan De Niro adalah Paderi Bobby yang harus berdusta demi untuk melepaskan dua orang yang bersalah daripada dihukum.

Lakonan mereka bermula dengan lembut, sedikit perlahan sehingga agak sukar dikesan, tetapi apabila lakonan mereka bermula dan meresap, kita sukar melepaskan mereka, dan mereka akan menguasai keseluruhan filem itu.

Sleepers sebenarnya juga menemukan dua pelakon yang cukup berbakat dan paling menyerlah masa kini iaitu Brad Pitt (antara filemnya Twelve Monkeys dan California) dan Kevin Bacon (The River Wild, A Few Good Men dan Apollo 13). Lakonan yang kuat daripada mereka ini menjadi paksi kekuatan Sleepers. Memang cerita dalam filem ini tidak ada yang luar biasa. Ia adalah berdasarkan buku autobiografi tulisan Lorenzo Carcaterra.

Buku ini sendiri dipersoalkan kesahihannya dan dituduh menambah-nambah untuk memberikan kesan dramatik yang berlebihan. Sleepers berkisar tentang trauma zaman kanak-kanak yang dialami oleh empat sahabat; Tommy, John, Michael dan Lorenzo yang memberi kesan berpanjangan sehingga mereka dewasa.

Bagaimana keindahan zaman kanak-kanak di kawasan kumuh Manhattan itu tercemar hanya kerana kenakalan mereka. Akibat perbuatan nakal mereka, mereka diletakkan di Rumah Pemulihan Wilkinson, tempat yang memberikan mereka kesan sebaliknya. Wilkinson memusnahkan sebahagian daripada sifat mereka. Ini kerana kesan daripada dianiaya secara fizikal dan mental oleh pengawal pusat itu Sean Nokes (Kevin Bacon).

Tiga belas tahun selepas dibebaskan mereka bertemu semula. Kali ini kerana perbicaraan Tommy dan John yang membunuh Sean Nokes. Michael (Brad Pitt) menjadi pendakwa dalam kes ini, manakala Lorenzo yang bertugas sebagai wartawan dengan bantuan teman wanita semasa mereka kecil dahulu iaitu Carol membantu mendapatkan peguam dan saksi yang diperlukan.

Demi persahabatan dan kerana pengalaman yang pernah mereka alami bersama Michael sebagai pendakwa sanggup bekerjasama dengan Snyder dengan mengarahkan perjalanan perbicaraan sehingga yang tertonjol adalah kejahatan Sean Nokes. Dan demi keadilan yang difahami oleh Paderi Bobby, dia sendiri sanggup berbohong. Filem ini mencabar sistem kehakiman Amerika.

Dan melalui filem ini, Levinson berusaha menonjolkan tahap kemanusiaan dan erti persahabatan walaupun yang tertonjol adalah kekerasan dan manipulasi undang-undang.

Filem ini tidak dapat mengelak daripada kekerasan. Malah, Dustin Hoffman yang baru tahun lepas berucap di Festival Filem Cannes yang menyoal penggunaan keganasan dalam filem-filem Amerika terpaksa akur dengan kekerasan dalam filem ini. Kekerasan adalah perlu dalam konteks filem ini. Filem ini sendiri menjadi sukar dilupakan kerana aspek keganasannya. Kekerasan menjadi elemen yang mendasari filem ini dan tindakan watak-wataknya.

Dan Michael Ballhouse yang menerajui fotografi filem ini sendiri menjadikan aspek kekerasan sebagai konsep utama yang menggerakkan kesan visualnya.

Hasilnya, visual filem ini menghantui kita dengan imej-imej dramatiknya yang sentiasa tegang. Sleepers di tangan Barry Levinson (The Rain Man, Disclosure dan Jimmy Hollywood) mencabar sistem kehakiman Amerika hanya untuk mengungkapkan rasa kemanusiaan. Dia turut mempersoalkan erti persahabatan kalau tidak sanggup berkorban. Filem ini dihasilkan dengan kekuatan dan sensitiviti pelakon dan imej-imej yang dramatik.

Sumber : Utusan Online 7/3/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000