Ulasan
Review
. .

Judul : Speed 2: Cruise Control
Arahan : Jan de Bont
Lakonlayar : Randall McCormack & Jeff Nathanson
Pelakon : Sandra Bullock, Jason Patric, Willem Dafoe. Temuera Morrison, Bo Svenson dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Kelajuan boleh membunuh!

Kejayaan besar (baca: keuntungan) filem Speed sekali gus menjadikan Sandra Bullock bintang besar di Hollywood. Filem itu turut menaikkan nama Jan de Bont sebagai pengarah filem tentang ''kemusnahan'' yang cukup berjaya.

Selepas menghasilkan Twister, Jan de Bont kembali dengan Speed, cuma kali ini Jan de Bont membawa kemusnahan di lautan pula.

Speed 2: Cruise Control adalah tipikal filem Hollywood. Membina cerita di sekitar ancaman dan kemusnahan yang bakal tiba. Jika dalam Speed kengerian berlaku kerana ancaman seorang lelaki gila yang memasang bom di dalam sebuah bas awam, dalam Speed 2 ancaman yang sama datangnya dari seorang lelaki gila, Geiger (Willem Dafoe) yang berjaya merampas kapal pesiaran Seaboum Legend.

Kali ini Annie Porter (Sandra Bullock) dan teman lelakinya Alex Shaw (Jason Patric) seorang anggota polis Los Angeles harus berusaha menyelamatkan para penumpang dan diri mereka sendiri dari kegilaan John Geiger yang bukan sahaja mempunyai niat membalas dendam tetapi juga sebenarnya meromrpak permata yang terdapat dalam kapal tersebut.

Speed 2 sebenarnya memperlihatkan satu trend filem-filem Hollywood yang memusatkan kepada keupayaan orang yang menghadap gangguan mental melakukan ancaman kepada orang ramai.

Hinggakan dalam banyak filem Hollywood orang yang menghadapi gangguan mental atau mereka yang melakukan jenayah muncul sebagai hero baru menggantikan hero yang tradisi. Kewajaran plot Speed 2 boleh sahaja dipersoalkan.

Tetapi Hollywood mempunyai cara lain untuk menutup kelemahannya iaitu dengan melebihkan aspek kemusnahannya. Dengan bantuan kepakaran teknologi komputer yang dimungkinkan oleh ILM, efek khas banyak menyelamatkan Speed 2: Cruise Control.

Sebenarnya Speed 2 tidak jauh lebih baik dari Speed yang awal. Baik Willem Dafoe, mahupun Sandra Bullock dan Jason Patric tidak menunjukkan lakonan yang baik. Setelah menonton Speed yang terdahulu, anda sebenarnya tidak perlu ambil tahu jalan cerita dalam filem ini.

Segala-galanya sudah boleh dijangka. Cuma yang hendak dinantikan, bilakah adegan kemusnahan akan berlaku. Speed 2: Cruise Control sepertimana filem mega blockbuster Hollywood membina hiburan dari rasa ngeri dan ancaman.

Sumber : Utusan Online 4/7/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000