Ulasan
Review
. .

Judul : Stepmom
Arahan : Chris Columbus
Lakonlayar : Wendy Finerman, Gigie Levangie, Jessie Nelson, Steven Rogers, Karen L. Hopkins dan Ronn Bass
Pelakon : Julia Roberts, Susan Sarandon, Ed Harris, Jen Malone & Liam Aiken dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Stepmom persepsi baru ibu tiri

Stepmom Pengarah Chris Columbus pernah memberikan kita komedi yang begitu popular Home Alone dan Mrs. Doubtfire. Filem-filem komedi yang bertemakan keluarga Amerika, selain kelucuannya juga berisi pesanan moral. Columbus di dalam filem Stepmom kali ini masih juga membawakan tema keluarga, persoalan yang juga biasa tetapi didekati secara berbeza. Tentang perceraian dan persepsi ibu tiri hari ini.

Perceraian yang seharusnya berlaku walaupun biasanya menyakitkan, tetapi di tangan Columbus ia diterima dan diterangkan kepada ahli keluarga secara terbuka. Kehadiran ibu tiri pula bukan memburukkan keadaan kerana ibu tiri yang dibawa oleh Columbus bukanlah tipikal ibu tiri masa dahulu yang sering dibayangkan bengis, pemarah dan mementingkan diri sendiri. Ibu tiri hari ini selain muda, lebih cantik, bijak, tetapi yang penting mahu memberikan kasih sayang malah turut mencabar kasih yang diberikan oleh ibu asal.

Dalam Stepmom, Isabel (Julia Roberts) adalah seorang jurufoto professional yang bertugas di sebuah syarikat iklan yang terkenal. Dia adalah bakal isteri kepada Luke (Ed Harris) yang telah pun mempunyai dua orang anak iaitu Anna (Jen Malone) anak gadis yang sedang meningkat remaja dan mudah emosional, dan Ben (Liam Aiken) yang periang, lepas bebas dan sedikit nakal serta bercita-cita mahu menjadi seorang ahli silap mata.

Bekas isteri Luke, Jackie (Susan Sarandon) adalah bekas editor di sebuah penerbitan terkenal di New York yang mempunyai tanggungjawab menjaga kedua-dua anaknya itu. Kerana mereka telah bercerai dan perceraian itu berlaku secara baik, maka setiap hujung minggu Anna dan Ben akan tinggal di rumah ayah mereka. Di sinilah mereka akan menemui Isabel bakal isteri ayah mereka. Apa yang mahu didebatkan oleh filem ini ialah bagaimana sikap seorang ibu terhadap anak-anaknya selepas bercerai dan seorang bakal ibu terhadap anak-anak tiri mereka. Dan bagaimana sikap kedua-dua anak itu kesan daripada perceraian itu terhadap ibu mereka dan terhadap bakal ibu tiri mereka. Memang Isabel tidak mempunyai masalah dengan Luke.

Tetapi masalah utama Isabel ialah hendak memenangi hati kedua-dua bakal anak tirinya itu. Biarpun Ben yang periang itu sesekali masih suka membuli Isabel, tetapi Isabel tidak mempunyai banyak masalah dengan Ben. Bagaimanapun Anna sebagai gadis remaja mudah emosional dan menolak kehadiran bakal ibu tiri itu. Masalah Isabel ialah hendak memenangi hati Anna.

Jackie yang digambarkan mewarisi watak ibu tradisi, akan mengawasi anak-anaknya dengan jadual harian yang ketat dan mementingkan disiplin. Manakala Isabel kerana masih muda dan professional tidak terlalu ketat dalam pengawasannya, malah sebenarnya mudah mendekati anak-anak tirinya dengan watak seorang teman yang memahami perasaan gadis remaja. Kedua-duanya mempunyai kelemahan tersendiri.

Isabel kerana kesibukan tugasnya sesekali terlepas juga perhatian terhadap anak-anak tirinya terutama Ben yang sedikit nakal. Begitu juga Jackie cuba memberikan pengawasan dan disiplin yang cukup ketat juga tidak berapa digemari oleh anak-anaknya.

Pada masa yang sama sebenarnya kedua-dua ibu itu menaruh perasaan cemburu dalam persaingan untuk memenangi hati kedua-dua anak tersebut. Dan persaingan dua jenis ibu inilah yang menjadi inti filem ini. Ditengah persaingan itu ialah kesan kepada anak-anak yang terperangkap dan si bapa yang perlu menjadi penyelesai masalah.

Bagaimanapun Chris Columbus mengakhiri Stepmom secara mudah dan klise. Dia memenangkan Isabel dengan menewaskan Jackie biarpun Columbus tidak mematikan watak Jackie. Jackie si ibu sebenarnya menghidap penyakit kanser yang sudah tidak mampu diubati. Kanser menyebabkan Jackie mendapat simpati daripada seluruh keluarga dan keluarga itu bersatu dalam sebuah keluarga yang lebih besar.

Jackie mengalah juga kepada Isabel apabila akhirnya menyedari bahawa kedua-duanya mempunyai peranan dalam usaha membesarkan anak-anak itu. Dia telah pun melakukan yang terbaik dan masa depan bakal berada ditangan Isabel.

Stepmom diarahkan dengan baik oleh Chris Columbus dengan jalinan melodrama dan humor yang memikat. Humornya tidak keterlaluan sepertimana yang dilakukannya dalam Home Alone. Struktur naratifnya kemas (skrip ditulis oleh Gigie Levangie) sebagaimana lazimnya naratif filem-filem Hollywood, tetapi filem ini dikacaukan oleh cara penyelesaian yang dibuat oleh Columbus. Jalan penyelesaian yang mudah dan klise bagi sebuah filem keluarga begini.

Memberikan penyakit kanser kepada Jackie yang tidak sahaja mengalih fokus filem ini, ia juga kelemahan utama filem ini dengan penamat. Filem ini juga dikuatkan oleh lakonan yang baik para pelakon utama biarpun kesan lakonan Susan Sarandon jelas mengatasi lakonan Julia Robert. Dalam filem ini Columbus menyampaikan saranan moral bahawa tidak semua perceraian akan mewujudkan permusuhan berterusan dan tidak semestinya ibu tiri itu tidak menyenangkan.

Sumber : Utusan Online 12/3/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001