Ulasan
Review
. .

Judul : The Bone Collector
Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Bone Collector tiada keaslian

Antara genre Hollywood yang sentiasa menjadi kekuatannya adalah filem-filem thriller dan horror samada tentang pembunuh misteri, pembunuhan ngeri atau pembunuh bersiri. Genre yang berterusan dan diulang-ulang hingga tidak ada lagi keasliannya.

Bagaimana pun kemunculan filem The Silence of the Lambs (1991) arahan Jonathan Demme telah menjadi tanda aras baru bagi filem-filem horror dan thriller. Filem ini bukan lagi kisah seram yang biasa seperti filem-filem The Friday 13th atau Halloween yang dimainkan oleh Freddie Kruger. Kejayaan filem The Silence of the Lambs telah meransang beberapa filem yang lain tentang pembunuhan bersiri. Yang terbaru adalah The Bone Collector.

The Bone Collector bertemakan pembunuhan bersiri dengan mengambil stail filem pembunuhan tahun 70-an. Pembunuhannya dilakukan di bekas-bekas bangunan usang dan lama, dibawah-bawah kolong yang suram dan gelap.

Pembunuh akan meninggalkan bekas dan tanda tertentu sebagai "clue'' kepada penyiasat untuk menghuraikan persoalan dan mendapatkan jawapannya.

Persoalannya sengaja dibentuk seperti jigsaw puzzle dengan menyembunyikan motif pembunuhan dan memerlukan penyiasat membuat banyak kerja rumah sebelum dapat menghuraikan kekusutan atau keganjilan pembunuhan. Penonton dapat diharap untuk diperangkap dan tenggelam dalam puzzle ini.

Dalam The Bone Collector kita melihat bagaimana Lincoln Rhyme (Denzel Washington) seorang anggota polis New York yang telah lumpuh akibat kemalangan yang menimpanya semasa bertugas. Dia cuba menyelesaikan teka-teki kepada satu pembunuhan bersiri yang dilakukan secara kejam dari katilnya yang dilengkapi oleh peralatan komputer yang canggih.

Rhyme memang seorang pakar forensik, sains penyiasatan jenayah pembunuhan dan telah menghasilkan sebuah buku klasik iaitu Scene of the Crime. Dengan menggunakan Amelia Donaghy (Angelina Jolie) seorang anggota polis yang baru lepas dari kolej Rhyme menjejak pembunuh tersebut.

Perhubungan Amelia dan Rhyme yang pada mulanya tegang kerana kedegilan dan keyakinan masing-masing akhirnya berubah menjadi rakan tugas yang baik dalam memecahkan persoalan. Amelia sendiri sebagai anggota polis yang baru sebenarnya sedang berusaha untuk menjadi cepat dewasa dalam tugasnya.

Dari bukti-bukti yang diterima dan dikumpulkan oleh Amelia, Rhyme bertindak sebagai buku rujukan kepada tindakan selanjutnya oleh Amelia. Angelina Jolie sebagai Amelia, polis baru yang harus berhadapan dengan kes yang kompleks ini segera akan mengingatkan kita kepada watak Clarice Starling dalam The Silence of the Lambs yang pernah dimainkan oleh Jodie Foster.

Malah filem The Bone Collector yang didasarkan dari buku Jeffrey Deaver ini tidak akan dapat keluar dari dibandingkan dengan filem The Silence of the Lambs kerana subjeknya dan struktur plot yang hampir sama. Bagaimanapun plot The Bone Collector mengekalkan konsep tipikal Hollywood, dengan menunjulkan pembunuhnya adalah bekas teman sekolej Rhyme yang mahu membalas dendam atas keupayaan Rhyme yang sentiasa lebih cemerlang darinya.

Denzel Washington sebagai Lincoln Rhyme yang cacat hanya berlakon di atas katilnya, tetapi dinamisme yang ditunjukkan oleh Washington berupaya memberikan kekuatan kepada watak Rhyme hingga terasa sekali watak Rhyme berjaya menguasai filem ini.

Phillip Noyce pengarah berasal dari Australia(terkenal kerana filem Clear and Present Danger, Dead Calm) memberikan stail noir kepada The Bone Collector dengan bantuan arahan fotografi yang cemerlang oleh Dean Semler. Arahan cahaya yang terkawal, suram, bayang-bayang dan kegelapan yang mengerikan berjaya memberikan mood visual yang seharusnya.

Sungguhpun filem ini memaparkan adegan-adegan bunuh yang cukup mengerikan tetapi beberapa momen dalam filem ini juga agak melucukan. Selain plotnya yang sudah agak biasa, filem ini dengan nada yang romantis cuba mempermudahkan keyakinan penonton untuk menerima Rhyme yang lumpuh itu menyelesaikan siri pembunuhan dari katilnya sedangkan sepasukan anggota polis di New York gagal melakukannya.

Pembunuhan itu dilakukan hanyalah untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat antara Rhyme atau Richard Thompson (Leland Orser) yang pernah kecewa tidak lebih pandai berbanding Rhyme semasa di kolej. Dan mangsanya adalah mereka yang tidak berdosa.

The Bone Collector cuba untuk menjadi sebuah filem horror dan thriller dengan membina suspen berdasarkan plot yang tipikal cara Hollywood, dan filem ini hilang tarikannya kerana ketiadaan keaslian.

Sumber : Utusan Online 17/3/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000