Ulasan
Review
. .

Judul : The Corruptor
Arahan : James Foley
Lakonlayar : Robert Pucci
Pelakon : Chow Yun-Fat, Mark Wahlberg, Ric Young, Paul Ben-Victor, Jon Kit Lee dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Corruptor formula Asia dan Amerika

The Corruptor Penguasaan Hong Kong ke atas industri filem Amerika pada 1997 adalah satu fenomena. Hong Kong tidak sahaja mengeksport sebahagian daripada bintangnya seperti Chow Yun-Fat, Jackie Chan dan pengarah seperti John Woo dan Tsui Hark, tetapi juga stail pembikinan filem.

Stail pembikinan filem-filem aksi keras Hong Kong menepati kecenderungan sebahagian daripada filem-filem keras Amerika yang diterajui oleh antaranya David Fincher, Michael Bay, Dominic Sena, Simon West dan Antoine Fuqua. Daripada mereka lahir filem-filem aksi-thriller seperti Con Air, The Rock dan The Replacement Killers.

Mereka adalah pengarah dari generasi yang melahirkan sebahagian dari video MTV dan kerana itu visual filem-filem mereka tidak akan terlepas dengan imej yang gelap, basah, set yang dilimbahi neon, letupan, asap dan peluh, tembakan dan pertentangan otot. Mereka pengarah yang menggilai teknik. Segalanya visual, naratif dan perwatakan sudah tidak begitu penting.

The Corruptor hanyalah lanjutan daripada The Replacement Killers dan Chow Yun-Fat sekadar meneruskan wataknya (sepertimana dalam The Replacement Killers) sebagai seorang anggota polis kota raya New York yang ditugaskan mengawasi pekan Cina di kota raya itu daripada kegiatan kongsi gelap.

Kejayaan Nick Chen (Chow Yun-Fat) mengawasi (bukan menghapuskan) kegiatan jenayah gelap di pekan China itu mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Polis New York. Dalam menjalankan tugasnya, Chen sebenarnya mendapat kerjasama daripada sebuah kongsi gelap Tong yang sedang berusaha untuk menguasai pekan itu dan pada masa yang sama menghapuskan kumpulan samseng yang lain.

Inilah permainan kongsi gelap di pekan China yang sememangnya difahami oleh Chen. Dia mendapat pengiktirafan daripada jabatannya dan pada masa yang sama dihormati di kalangan samseng pekan China itu. Tetapi kemasukan Danny Wallace (Mark Wahlberg) seorang anggota polis yang kurang pengalaman tentang budaya dan etika pekan China memberikan kesan kepada operasi Chen. Dan kumpulan samseng yang semakin berpengaruh di situ segera mengambil peluang mencipta pergeseran antara Chen dan Danny.

Kerana filem ini tidak mementingkan naratif yang baik (serta menyimpang dari stereotaip), maka visual yang diberi penekanan utama memang kelihatan cukup kuat, tetapi sekali lagi hanyalah pengulangan stail yang telah dihasilkan oleh beberapa buah filem yang sebegini. Juga tidak ada apa yang dapat diharapkan pada kekuatan lakonan Chow Yun-Fat dalam filem ini selain daripada gaya tembakannya yang menjadi modalnya daripada filem-filemnya yang terdahulu. The Corruptor sekadar melanjutkan persepsi barat terhadap Asia dan dunianya yang penuh dengan gangsterisme, pelacuran, penyeludupan dan rasuah. Dan filem ini hanya sebahagian daripada sejumlah filem-filem buruk dari Hollywood yang dilambakkan ke sini.

Sumber : Utusan Online 19/2/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001