Ulasan
Review
. .

Judul : The Green Mile
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Kemanusiaan di ruang terakhir

The Green Mile Selama lebih tiga jam, sebahagian besar filem ini berlegar dalam ruang terakhir bilik hukuman mati sebuah penjara di Louisiana. Cerita mengenai pengawal penjara yang bertugas di bilik akhir hukuman mati dan interaksinya dengan banduan yang sedang menunggu hukuman mati.

Membosankan? Nanti dulu, filem ini memang bercerita tentang aspek kebosanan, tetapi sebuah filem yang baik pasti juga akan menghilangkan kebosanan. Dengan kekuatan olahan dramatiknya, filem ini menguasai dan meruntun emosi penonton untuk sama-sama mengikuti cebisan kehidupan dan drama kemanusiaan di ruang terakhir yang sepi itu.

The Green Mile diadaptasi dan diarahkan oleh Frank Darabont daripada novel Stephen King. Sebelum ini, filem Shawshank Redemption (1994) arahan Darabont yang juga mengenai kehidupan di dalam penjara adalah adaptasi daripada karya Stephen King.

The Green Mile adalah gelaran yang diberikan kepada kawasan ruang lalu-lalang pengawal dan banduan menuju ke bilik hukuman, yang dicat dengan warna hijau. Kekuatan The Green Mile pastinya daripada keutuhan lakonan para pelakonnya terutama dinamisme lakonan Tom Hanks sebagai Paul Edgecomb ketua pengawal di bahagian ruang terakhir penjara tersebut.

Tidak ada yang luar biasa kepada Edgecomb, malah, dia mempunyai penyakit pundi kencing yang selalu menyeksanya ketika dia mahu membuang air kecil. Tugasnya yang utama ialah memastikan banduan yang menjalani hukuman mati di atas kerusi elektrik dapat dilakukan dengan sempurna dan kelihatan kurang menyeksakan.

Membantunya menjalankan tugas ialah Brutus Howell lakonan David Morse yang cukup mengesankan sebagai pengawal yang tegas kerana tugasnya, tetapi seperti Edgecomb juga humanistik dan mudah bersimpati.

Bagaimanapun, ketibaan seorang banduan bertubuh besar John Coffey (Michael Clarke Duncan) yang dihukum mati kerana disyaki merogol dan membunuh dua orang kanak-kanak berkulit putih, mengubah plot filem ini.

John Coffey mempunyai kuasa magik yang dapat mengubati penyakit dan mengetahui sesuatu yang tersembunyi.

Dia berjaya mengubati penderitaan penyakit Edgecomb dan penyakit kanser Melinda (Patricia Clarkson) isteri seorang pengawal penjara, selain menghidupkan semula Tingles si tikus yang menghiburkan para banduan dan pengawal yang sering kebosanan dengan telatah sarkasnya.

Tikus itu mati dipijak oleh Percy Wetmore yang dilakonkan dengan cemerlang oleh Doug Hutchison. Watak Percy memberikan kontras yang menarik, dibenci kerana kesombongannya, hubungannya yang baik dengan ramai tokoh atasan dan hukuman yang diterima terasa wajar kerana sifat tidak humanistiknya.

The Green Mile sebuah filem yang digerakkan dengan perlahan, tetapi durasinya yang memakan masa lebih tiga jam itu tidak meletihkan kerana keupayaan Frank Darabont membuat adaptasinya dengan cemerlang iaitu dengan membina naratifnya dengan baik dan kekuatan watak-wataknya.

Walaupun subjek boleh diolah dengan mementingkan yang sensasi mengutamakan aspek superhuman yang ada pada Coffey atau mensensasikan kehidupan di penjara tetapi Darabont lebih mengutamakan persoalan humanistik yang lebih dramatik.

Sumber : Utusan Online 7/4/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000