Ulasan
Review
. .

Judul : The Horse Whisperer
Arahan : Robert Redford
Lakonlayar : Eric Roth
Pelakon : Robert Redford, Kristin Scott Thomas, Diane Wiest, Scarlett Johansson dan Sam Neill

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Cerita penuh emosi

The Horse Whisperer Robert Redford sebenarnya lebih selalu diingat sebagai pelakon berbanding sebagai pengarah ataupun produser. Kerana itu filem pertamanya Ordinary People mengejutkan banyak orang kerana memenangi anugerah Akademi untuk filem terbaik dan Redford sebagai pengarah terbaik.

Berbanding lakonan, sebagai pengarah dia hanya menghasilkan empat buah filem, di mana yang terbaru adalah The Horse Whisperer. Akhir-akhir ini, Redford sebenarnya lebih banyak dikenali sebagai pengasas dan penggerak Sundance Film Institute, sebuah institusi yang banyak membantu pembikin filem bebas Amerika.

Malah filem-filem arahan Redford sendiri sebenarnya boleh dianggap kecil, bebas dan hampir terkeluar daripada tema aliran perdana filem-filem Hollywood. The Horse Whisperer dengan budget AS$70 juta dianggap yang terbesar dalam sejarah filem-filem arahan Redford.

The Horse Whisperer adalah sebuah cerita yang penuh emosi tentang seorang pelatih kuda yang mempunyai kemahiran luar biasa melatih kuda. Bagaimanapun filem ini bukan sekadar hubungan di antara si pelatih kuda Tom Booker (Robert Redford) dengan Pilgrim si kuda yang cedera, tetapi apa yang penting adalah peranan Tom Booker dalam menukar kehidupan sebuah keluarga yang mempunyai konflik hubungan sesama mereka.

Si anak Grace (Scarlett) selepas kemalangan bersama kudanya menghadapi trauma kehidupan. Si ibu (Kristin) yang perlu bertindak menangani masalah si anak dan pada masa yang sama berhadapan konflik peribadi dengan suaminya (Sam Neill).

Tidak ada luar biasanya tentang filem ini sebenarnya. Memang ceritanya menarik, penuh emosi dan konflik dramatik hubungan antara watak yang menyentuh? Tetapi apa yang turut menarik adalah proses Hollywood membeli hak buku ini untuk difilemkan. Nicholas Evans penulis buku ini lebih dikenali sebagai penulis skrip (Just Like A Woman) dan The Horse Whisperer adalah novelnya yang pertama.

Hak buku ini dibeli oleh Walt Disney dengan harga AS$3 juta ketika buku ini baru setengah disiapkan dan Evans tidak pernah mempunyai senarai buku terlaris. Biarpun buku ini memang menarik tetapi apa yang penting Redford melihat watak Tom Booker dalam The Horse Whisperer amat sesuai dengannya.

The Horse Whisperer mungkin akan lebih diingat kerana keindahan fotografi hasil keupayaan cemerlang pengarah fotografi Robert Richardson (yang sebelum ini lebih banyak menghasilkan fotografi filem-filem arahan Oliver Stone). Dia berupaya menangkap landskap luas Amerika dengan begitu indah, ladang yang luas dan fremnya yang mampu memaparkan konflik emosi hubungan antara watak manusia dan binatang.

Sumber : Utusan Online 6/11/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001