Ulasan
Review
. .

Judul : The Jackal
Arahan : Michael Caton-Jones
Lakonlayar : Chuck Pearrer
Pelakon : Bruce Willis, Richard Gere, Sidney Poitier, Diane Venora, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Memburu musuh yang licik

Apakah yang dilakukan oleh Hollywood apabila sebahagian daripada mereka kehabisan ide untuk menghasilkan cerita? Mereka sama ada membuat adaptasi, sambungan atau membikin semula filem-filem yang pernah berjaya dahulu.

Atau lebih buruk mengambil episod televisyen yang pernah popular lalu ditulis semula ke dalam bentuk filem.

The Jackal mengambil skrip The Day Of The Jackal (1973) yang ditulis oleh Kenneth Ross untuk dikemaskini dan diberikan sentuhan baru oleh Chuck Pearrer.

Filem The Day Of The Jackal yang diarahkan oleh Fred Zinnemann itu sendiri mengambil dasarnya daripada novel popular karya Frederick Forsyth mengenai seorang pembunuh profesional yang diupah untuk membunuh Presiden Perancis. Filem itu dilakonkan oleh antaranya Edward Fox dan Cyril Cusack.

Di dalam The Jackal, tempat Edward Fox sebagai pembunuh profesional yang memakai gelaran The Jackal digantikan oleh Bruce Willis.

Dalam versi ini, The Jackal diupah oleh seorang penjahat untuk membunuh seorang pegawai tertinggi Amerika, sebagai usahanya membalas dendam kematian abangnya di tangan anggota FBI dan KGB di Moscow. The Jackal adalah sebuah thriller yang bergerak dengan dua plot selari.

Si penjahat (Jackal) menjalankan operasinya dengan matlamat membunuh mangsanya. Pada masa yang sama, anggota FBI yang diketuai oleh Preston (Sidney Poitier) dengan kerjasama anggota KGB Major Koslova (Diane Venora) terus memburu The Jackal yang terkenal licik dan bijak menggunakan teknologi komunikasi.

Maka untuk memerangkap The Jackal dan sekaligus menumpaskannya, mereka memerlukan orang yang selicik The Jackal juga. Mereka perlu bantuan Declan Mulqueen (Richard Gere), seorang bekas pengganas IRA yang pernah mempunyai sejarah sendiri dengan The Jackal yang kini sedang dipenjara.

The Jackal adalah sebuah permainan antara kucing dan tikus, antara yang memburu dan yang diburu. Dimulakan dengan sebuah peristiwa di Moskow sebagai titik-tolak utama keseluruhan binaan plot dan adegan-adegan selepas itu adalah usaha penyelesaian konflik yang sudah boleh dijangka penamatnya.

Sementara Sidney Poitier masih mampu memaparkan lakonan yang bertenaga, sebaliknya, Richard Gere bagaikan kehilangan tenaga. Bruce Willis, tidak ada apa yang boleh diharapkan dari lakonannya kali ini, selain daripada keupayaannya menukar gaya rambutnya.

Plot yang bergerak agak perlahan dan ditambah dengan klimaks penamatnya yang kurang berkesan menjadikan The Jackal hilang debaran thrillernya.

Sumber : Utusan Online 27/2/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001