Ulasan
Review
. .

Judul : The Man In The Iron Mask
Arahan : Randall Wallace
Lakonlayar : Randall Wallace
Pelakon : Leonardo DiCaprio, Gabriel Byrne, John Malkovich, Gerard Depardieu, Jeremy Iron, Judith Godreche, Edward Atterton dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Leonardo DiCaprio harapan The Man In The Iron Mask

The Man In The Iron Mask Filem ini pastinya cuba mengambil kesempatan daripada populariti bintang Titanic, Leonardo DiCaprio. Dialah bintang muda yang paling panas di Hollywood ketika ini (majalah Premiere, May menyenaraikan Leonardo pada kedudukan yang ke-25 orang yang paling berkuasa di Hollywood). Ini kerana kisah keperwiraan pahlawan ''musketeers'' menyelamatkan raja di Perancis bukan sekali ini difilemkan.

Dengan kedudukan Leonardo yang begitu tinggi di mata peminatnya ketika ini, pastilah filem terbaru lakonannya menjadi tumpuan mereka. Pengarah filem ini Randall Wallace (sebelum ini dikenali sebagai penulis filem epik Braveheart) yang mengadaptasikan novel karya Alexandre Duman tentang seorang raja yang masih muda berlaku kejam terhadap rakyat miskin dan kembarnya.

Leonardo memegang dua watak iaitu sebagai Raja Louis X1V yang kejam dan sebagai adik kembar Louis, Philippe yang dipaksa memakai topeng dan dipenjarakan. Konflik timbul apabila Louis tertarik dengan Christine (Judith Godreche) dan rakyat semakin menderita kerana kekejaman Louis.

Kekejaman Louis ditentang oleh tiga musketeers veteran Aramis (Jeremy Irons), Porthos (Gerard Depardieu) dan Athos (John Malkovich) dengan berusaha membebaskan Philippe bagi menggantikan raja.

D'Artagnan (Gabriel Byrne) adalah bekas ketua musketeers yang terpaksa menyebelahi Louis dan memerhatikan segala kekejaman yang berlaku.

Secara jujur, tidak ada yang menonjol dan menarik di dalam filem adaptasi karya Dumas ini. Malah, Leonardo yang menjadi penggerak utama filem ini tenggelam kerana kegagalan perwatakannya. Kegagalan yang bukan seluruhnya kesalahan Leonardo.

Wajah keanak-anakan Leonardo dan mekap wataknya tidak banyak membantu di dalam menghidupkan watak sebenarnya. Malah, kehebatan Malkovich, Irons dan Depardieu rasanya dibazirkan oleh Wallace dalam filem ini.

Kecuali Gabriel Byrne sebagai D'Artagnan yang membuat hubungan sulit dengan permaisuri (ibu kepada Louis dan Philippe) berupaya memberikan lakonan yang menarik dan berkesan.

Filem yang seharusnya menjadi sebuah epik klasik yang hebat, gagal kerana kelemahan dalam perwatakan dan perkembangan plotnya.

Malah, sebahagian adegan tidak meyakinkan dan terasa diperbodohkan. Kalaupun filem ini mendapat sambutan, ia mungkin kerana bintang Leonardo masih hangat menyinar.

Sumber : Utusan Online 15/5/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999-2001