Ulasan
Review
. .

Judul : The Matrix
Arahan : Andy & Larry Wachowski
Lakonlayar : Andy & Larry Wachowski
Pelakon : Keanu Reeves, Laurence Fishburne, Hugo Weaving dan Carrie-Anne Moss

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Matrix masa depan yang menakutkan

Apakah persamaan yang sering ketara di dalam fiksyen sains? Masa depan yang pesimistik, spectacular, terror, mitos dan kemusnahan adalah sebahagian daripada elemen yang kekal di dalam plot fiksyen sains. Teknologi yang membina tamadun manusia malangnya menjadi pemusnah. Kerana itu juga kita terus pesimistik terhadap sebahagian besar impian fiksyen sains.

Sebenarnya, antara genre sastera, fiksyen sains paling kuat menonjolkan gaya dan nilai Amerika. Tradisi sastera abad ke-20 yang cukup dikuasai oleh Amerika. Ini kerana banyak yang mulanya difantasikan oleh fiskyen sains telah berjaya dinyatakan oleh para saintis Amerika dan keupayaan teknologi mereka.

Jadi keyakinan kita turut dibentuk oleh kejayaan tersebut, sungguhpun banyak yang dibayangkan oleh fiksyen sains hanya sekadar impian dan berlalu sebagai fantasi fiksyen. Manusia android, makhluk aneh angkasa lepas atau perjalanan masa tetap masih tinggal sebagai fantasi fiksyen sains.

Matrix filem terbaru arahan Andy dan Larry Wachowski hanya memancarkan kembali elemen-elemen tersebut yang sebenarnya sudah juga tidak asing dalam filem-filem fiksyen sains sebelum ini. Filem ini mengajak kita melihat masa depan yang menakutkan, dunia di tahun 2199 di mana tamadun manusia berada di puncak kehebatannya dan terpaksa berdepan semula dengan kemajuan dan teknologi ciptaan mereka.

Inilah dunia yang dipancarkan oleh The Matrix, di mana teknologi digital dan alam siber menguasai segala aspek ruang kehidupan manusia dan menjadi tuan kepada manusia. Robot-robot artificial-intelligence yang membiak melalui teknologi digital, menguasai dunia dan manusia hanya hamba kepada mereka. Apa yang bakal berlaku adalah kemungkinan yang cukup mengerikan dan mengelirukan.

Garis sempadan antara dunia yang real dan dunia maya menjadi cukup kabur, dan antara fantasi dan realiti silih berganti menjadi mimpi dan igauan yang menakutkan. Kota-kota yang sesak dan kelam serta manusianya yang diprogramkan oleh komputer hanyalah tanda-tanda kemusnahan.

Dan apa kata kalau segala mimpi dan igauan buruk itu menjadi kenyataan yang memerangkap kehidupan manusia. Itulah yang berlaku ke atas Thomas Anderson atau Neo (dilakonkan oleh Keanu Reeves) seorang pakar komputer yang bertugas di sebuah syarikat komputer multinasional, Meta Cortechs.

Cita-cita Neo hanya mahu menjalani kehidupan seharian sebagai manusia yang normal apabila hidupnya tiba-tiba diancam dengan mimpi dan igauan yang mengerikan. Diri dan fikirannya sedang cuba dikuasai oleh satu sistem komputer masa depan. Dia kini menghadapi dilema dan realiti, di mana dia perlu bertarung untuk membebaskan manusia dari tuan baru mereka, robot-robot komputer yang diketuai oleh Agent Smith (Hugo Weaving).

Filem ini sebenarnya pesimis terhadap masa depan dan kehebatan teknologi komputer digital. Masa depan dipenuhi dengan amaran, ketidak pastian, kota yang gelap dan kumuh di sebalik binaannya yang futuristik serta kemanusiaan yang menghilang, tetapi pada masa yang sama pembikin filem ini meyakini manusia harus kembali menjadi manusia.

The Matrix, sebagaimana sebahagian besar filem-filem fiksyen sains hilang originalitinya. Filem ini hanya melanjutkan tradisi filem-filem fiksyen sains yang bergantung kepada kecemerlangan visual dan efek khasnya. Ini kerana bayangan yang diwujudkan melalui persembahan visual itu memberikan kesan yang tersendiri.

Memang gambaran dan latar yang mengisi filem ini bukan lagi sebuah fantasi indah tetapi kemungkinan yang mengerikan dan amaran-amaran tentang kemusnahan. Dan sebagaimana sebahagian besar filem fiskyen sains, The Matrix mempunyai struktur cerita yang lemah. Babak-babak awal yang menggerakkan cerita tidak dibina dengan baik, malah kerana kelemahannya menyebabkan babak-babak awal terasa mengacaukan dan mengelirukan.

Hanya setelah kemunculan Morpheus jalan ceritanya lebih berkesan. Apa yang dipentingkan oleh Larry & Andy Wachowski ialah persembahan visual, perjalanan cerita yang pantas dari satu babak ke satu babak dan aksi fizikal yang hebat.

Filem ini memasukkan pelbagai ramuan, dari filem Blade Runner hingga ke Terminator, dari filem animasi Jepun, Akira hingga ke stail filem kungfu Hong Kong, dan memasukkan unsur komik serta permainan video. Untuk memastikan aksi dan pertempuran yang lebih realistik, Yuen Wo Ping pengarah stunt Hong Kong yang terkenal untuk filem-filem kungfu telah diminta untuk melatih para pelakon utama filem ini (dalam filem ini program kungfu dimasukkan terus ke otak watak-wataknya dan mereka terus boleh berkungfu).

Sumber : Utusan Online 14/5/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net khys 1999 - 2000